in , ,

Nasir Bilal Khan, Atie AF dalam Drama Seram Loga Maya

TV2 PERKENAL SLOT SERAM LOGA MAYA MULAI 25 MEI INI

Slot drama bersiri seram sememangnya memiliki pengikutnya sendiri. Apatahlagi dengan variasi tajuk dan unsur seram termasuklah membongkar kisah-kisah misteri gangguan makhluk halus, jelmaan wanita cantik, dan gangguan di lebuhraya yang begitu hangat diperkatakan bagi individu yang pernah melalui pengalaman itu sendiri.

Justeru mulai 25 Mei 2010 ini, setiap Selasa, jam 11.00 malam menerusi saluran TV2, RTM bakal muncul dengan slot drama seram bersiri terbaharunya, Loga Maya dalam memenuhi citarasa penonton yang mahukan rancangan bercorak sebegini.

Disiarkan sepanjang 13 episod, slot Loga Maya menampilkan episod-episod berbeza setiap minggu yang membongkar kisah-kisah misteri yang begitu menarik tumpuan masyarakat antaranya episod Penjara yang mengetengahkan kisah seorang isteri yang dihantui gangguan-gangguan misteri setelah ditinggalkan suaminya yang keluar bekerja sebagai kelasi kapal. Sejak itu dirinya mula tidak tenteram hingga terpaksa menumpang di rumah saudara maranya bagi mengelak gangguan.

Menariknya di ketengahkan juga episod di mana menampilkan plot misteri dialami seorang lelaki yang kedekut. Kerana tidak mahu mengeluarkan duit membayar wang tol, dia sanggup melalui jalan lama untuk pulang ke kampungnya. Namun misteri bermula apabila dia tidak sampai-sampai ke kampung sebaliknya bila diperhatikan sekeliling dia masih berada di jalan yang sama meskipun sudah berjam-jam perjalanan.

Slot menarik drama terbitan Global Station Sdn Bhd ini dimulai dengan episod berjudul “Anak” yang mengisahkan watak Nurul, sedang sarat mengandungkan anak keduanya selepas kelahiran Nadia, anak pertamanya kira-kira lima tahun yang lalu. Pada suatu subuh yang hening, tiba-tiba terdengar suara tahun jeritan Nurul memecah kesunyian pagi. Apa tidaknya, bayi dalam kandungan Nurul hilang begitu sahaja.

Kejadian itu mengimbaukan kembali ingatan Saleh, suami Nurul, kepada apa yang telah dilakukannya enam tahun yang lalu. Mereka yang pada ketika itu telah hampir lima tahun mendirikan rumahtangga, masih belum dikurniakan dengan seorang cahayamata. Ini membuatkan hati Saleh meronta-ronta menginginkan anak.

Hampir kesemua usaha mereka menemui kegagalan, membuatkan Saleh semakin terdesak untuk melakukan sesuatu. Atas keinginan yang menggila itu, Saleh telah termakan kisah temannya yang menceritakan tentang sebatang pokok keramat yang kononnya terdapat di dalam hutan di hujung kampung mereka.

Tanpa membicarakan hasratnya dengan Nurul terlebih dahulu, Saleh telah masuk ke dalam hutan itu untuk mencari pokok keramat yang diberitakan. Namun, walaupun Saleh berjaya menemui pokok besar seperti gambaran yang diberikan oleh Zainal, kawannya itu, tetapi Saleh tidak menemui sebarang penunggu seperti yang dikatakannya. Ini merupakan Saleh kesal dan terpaksa keluar dari hutan itu dengan perasaan hampa.

Namun apakah yang menyebabkan bayi Nurul tiba-tiba hilang dari kandungan? Benarkah Saleh tidak menemui ‘penunggu’ itu dan apa sebenarnya yang telah terjadi? Bagaimana pula dengan nasib keluarga Saleh seterusnya?

Pelakon utama drama seram ini termasuklah Nasir Bilal Khan, Mohd Shadan Salleh (Ahdan), Ray Redzuan Awang, Suriati Abu Bakar (Atie AF) dan Ejoy Azari.

Kepada anda peminat drama bersiri seram, pastikan anda menonton slot Loga Maya mulai 25 Mei 2010 ini, setiap Selasa, jam 11.00 malam di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Koleksi Gambar Baby Pertama Yatt Hamzah

Multi-Talented! Gambar Awal Ashaari Nyanyi di Showcase No Black Tie Alibi Music