in ,

Najdi Keluar Grup, UNIC Kembali Tinggal Berdua

Selepas empat tahun bersama kumpulan nasyid UNIC, salah seorang anggotanya, Najdi telah membuat keputusan untuk mengundurkan diri. Biarpun keputusan sukar dilakukan, apatah lagi perlu memikirkan perasaan dua anggota UNIC, Fakhrul dan Bazli, Najdi akhirnya nekad dengan keputusan dibuat.

“SAYA dapat tahu apabila terbaca di Instagram dan status sama diletakkan dalam kumpulan WhatsApp kami,” kata anggota kumpulan UNIC, Mohd Fakhrul Radhi Khamaruddin mengenai pengunduran seorang anggota mereka, Wan Najdi Wan Mohd Noh, hari ini.

Fakhrul berkata, perkara itu tidak pernah disuarakan Najdi dan mengganggap ia keputusan yang mengejutkan.

Unic

Namun, Fakhrul menghormati keputusan dibuat Najdi apatah lagi sepanjang tiga bulan ini mereka tidak mempunyai sebarang persembahan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sejak 18 Mac lalu.

“Selepas dia hantar mesej yang sama dalam Instagram, dia terus ‘left group’ (keluar kumpulan WhatsApp). Saya pun tak sempat nak bertanya apa-apa lagi secara peribadi.

“Sepanjang tahun ini sehinggalah PKP dan PKPB, dia tidak ada cakap pun nak keluar UNIC. Cuma, mungkin sepanjang tempoh itu dia berfikir panjang. Kita faham keputusan dibuat untuk diri sendiri dan keluarga. Lagipun, UNIC pun tidak ada aktiviti. Jadi, dia perlu fikir benda lain untuk keluarga. Jadi, dia mungkin mahu lebih fokus pada itu. Takkan nak selamanya menyanyi. Kami hormat keputusan yang dibuat,”

– Fakhrul
Unic-2020

Fakhrul mengakui, sepanjang empat tahun Najdi bersama kumpulan itu, banyak kenangan dan kejayaan dicapai bersama.

“Ada kenangan dan kejayaan bersama kami. Mestilah sedih dia keluar, tapi ini pilihan dia. Sebab komitmen orang berbeza. Harapnya ada rezeki luas dan dia pun lebih berkembang selepas ini,”

– Fakhrul

Ditanya mengenai masa depan UNIC selepas ketiadaan Najdi, Fakhrul berkata, dia akan meneruskan perjuangan bersama Bazli Hazwan Che Osman.

“Buat masa sekarang UNIC berdua saja dulu. Kami teruskan apa yang ada. Dulu, masa 2014 UNIC pernah berdua juga iaitu saya dan Bazli selepas Najdi sertai kami.

“Insya-Allah, kami cuba sesuaikan semula keadaan dalam suasana normal baharu ini. Soal pengganti tak fikir lagi. Tapi rasanya memang berdua saja. Saya pun tak jumpa Bazli lagi,” katanya.

– Fakhrul
Najdi-Unic

Terdahulu, Najdi menerusi Instagram memuat naik kenyataan berkenaan pengundurannya dari kumpulan nasyid itu.

Najdi berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira masa depan bersama isteri dan tiga cahaya mata.

“Pandemik Covid-19 sudah tentu sangat memberi kesan kepada industri hiburan khususnya nasyid. Saya sangat merindui detik memegang mikrofon menghiburkan anda dengan ‘punchline’ dan ‘showmanship’, namun ia mungkin mengambil masa yang lama untuk pulih.

“Jadi saya terpaksa membuat keputusan demi isteri saya yang tercinta, serta tiga cahaya mata saya yang indah yang banyak membahagiakan saya sepanjang tiga bulan ini.

“Saya yakin UNIC mempunyai peminat lama dan baru yang sangat menghargai UNIC, mungkin kehadiran saya mengguris peminat lama, namun begitu ‘survival’ UNIC perlu diteruskan demi keperluan peminat baru yang sangat dahagakan muzik rohani. 

“Dengan itu saya juga memohon maaf kepada yang terguris dengan saya secara sedar atau pun tidak. Tidak dilupakan juga seribu penghargaan @familiunic yang byk menyokong UNIC,”

– Najdi

Najdi juga berharap keputusannya itu tidak disalah erti kerana ia sudah difikirkan dalam tempoh yang lama.

“Mungkin ada yang merasakan tindakan ini adalah mengikut perasaan dan tidak matang, namun siapalah saya nak menghalang anda dari komen tentang hidup saya. Tetapi ini tentang keputusan hidup saya dan kebahagiaan saya.

“Perkara ini bukanlah difikirkan dalam tempoh tiga bulan ini, tetapi sebelum dari itu lagi.

Semoga anda terus memberikan sokongan terhadap Karier saya dan juga kumpulan UNIC.

“Sudah tiba masanya saya membuat keputusan yang sudah lama bermain dalam fikiran saya, saya harap anda semua menghormati keputusan saya,” katanya.

– Najdi

Ketika ini, Najdi belum memikirkan pekerjaan lain sebagai ganti. Sepanjang bersama UNIC, banyak kejayaan diraih termasuk menjadi finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) dan menjuarai pertandingan Gema Gegar Vaganza.

Dalam tempoh empat tahun, Najdi pernah berselisih faham dengan anggota lain dan membuat keputusan menarik diri bersama UNIC pada awal 2018. Bagaimanapun, mereka masih kekal bersama.

Sumber: Harian Metro & BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Cassidy | 17

Cassidy La Crème Kini Kembali dengan Lagu RENTAK TANDAK

Remy Ishak 2020 | 18

Remy Ishak Kemurungan Gara-Gara PKP, Kini Rehat Di Kampung