in , ,

Nabila Huda dan Cat Farish Hos 1 2 Jus di NTV7

Permainan zaman kanak-kanak semua, 1..2.. Jus! kembali menemui penonton dengan musim baru yang lebih menyengat. Saksikan aksi nakal dan sifat keanak-anakan terpendam selebriti-selebriti ini di 1..2.. Jus! Musim ketiga, setiap Jumaat pada 8.31 malam, mulai 14 Ogos 2009, hanya di Saluran Ceria Anda!

Dengan menampilkan Nabila Huda, pelakon genit, petah dan sentiasa riang sebagai pengacara di samping Cat Farish, ikon irama hip hop, penonton tentunya akan merasai keseronokan tanpa henti dan tertawa selama sejam di 1..2 Jus! Nabila mewakili elemen ‘protagonis’ rancangan, memberi dorongan dan sorakan kepada peserta-peserta manakala Cat Farish berperanan ‘antagonis’, menduga peserta di samping merangsang mereka meragui kebolehan diri masing-masing.

Gurau senda di kalangan pengacara sudah tentun menceriakan lagi 1..2 Jus! yang turut menampilkan barisan artis mengagumkan. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan telatah mencuit hati selebriti-selebriti seperti Nabil Mentor, Azhar Sulaiman, Rina Omar, Rebecca, Sazzy Falak, Raja Farah, Nubhan, Marsha, Awal Ashaari, Diddy, Kefli, Marion Counter, Jaclyn Victor, Faizal Tahir, Alif, Farhan, Juliana Evans, Tomok, Aweera dan ramai lagi.

Setiap minggu menyaksikan enam orang selebriti bertarung hebat bagi memenangi hadiah menarik. Musim kali ini mempertaruhkan empat segmen dan dalam segmen pertama, selebriti ini dikehendaki bermain permainan 1..2 Jus bagi menentukan giliran masing-masing. Pemenang segmen pertama kemudiannya, akan diberi peluang untuk menjawab soalan mengenai selebriti terkenal tanahair dan antarabangsa. Jawapan yang betul akan diberikan markah manakala jawapan yang salah akan didenda dengan cabaran yang berbeza setiap minggu. Tentunya, penonton akan teruja melihat selebriti kegemaran mereka didenda dengan aksi-aksi menggelikan hati.

Segmen kedua sehingga segmen keempat rancangan berkenaan akan memaparkan lebih banyak karenah menggelikan hati apabila selebriti ini terpaksa mengharungi cabaran berbentuk fizikal yang berlainan pada setiap minggu bagi mendapatkan markah. Markah terkumpul akan dikira dan selebriti yang kecundang akan menjalani ‘hukuman’ pada segmen keempat iaitu segmen terakhir. Persembahan menarik dari artis indie akan mengakhiri rancangan ini. Antara aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan oleh barisan artis termasuklah ‘Guling Bersama’, ‘Isyarat Simpulan Bahasa’, ‘Celup & Kunyah’, ‘Teknik Menghias Kek’, ‘Tempahan Kek’, ‘Cabaran Bola’, ‘Kutip, Baling & Goyang’, ‘Bola, Tilam & Angin’ dan beraneka lagi jenis permainan yang menarik dan lain daripada lain.

Menurut Penerbit 1..2 Jus, Shannen Lee Siew Fong, “Apabila saya dimaklumkan oleh pihak atasan yang saya akan menerajui program 1..2 Jus untuk musim ketiga, saya amat teruja namun ada juga terbit kerisauan di hati apabila memikirkan program ini adalah antara yang paling mendapat penerimaan hebat di kalangan penonton ntv7 pada dua musim lepas.”

“Untuk mencipta permainan yang kreatif, menghiburkan dan lain dari lain adalah sesuatu yang sangat mencabar kerana kalau boleh, kami mahu mengelak dari berlakunya klise – tentunya penonton tidak mahu melihat artis kegemaran mereka melakukan aktiviti atau jenis permainan yang biasa mereka tonton di game show yang lain. Tambahan lagi, untuk menyuntik mood yang berbeza di setiap episod, saya dan krew harus memerah otak untuk memutuskan corak pakaian, tema solekan, set dan props yang diperlukan pada setiap episod,” kata Shannen Lee.

Tambahnya, “Walaupun agak kepenatan kerana terpaksa mengadakan sesi rakaman back to back, namun kami amat berpuas hati dengan segalanya, apatah lagi apabila melihat rakan-rakan artis yang menjadi peserta berseronok sakan di set rakaman. Harapan kami agar penonton turut dapat bergembira bersama kami di 1..2 Jus.”

Untuk malam Jumaat yang lebih menghiburkan, penuh dengan gelak ketawa, keseronokan dan permainan, pastikan anda menonton 1..2 Jus! pada 8.31 malam hingga 9.30 malam mulai 14 Ogos ini! Untuk informasi selanjutnya atau siaran ulangan di CatchUp TV online, sila layari www.ntv7.com.my.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kejutan DEKO DEKO DEKO Celcom Blue

Sekitar Gathering Shawal FC Retro Agogo II