in ,

MPB Umum Pelantikan Pengurusan Kanan Rangkaian Radio RIPPLE

Media Prima Berhad (Media Prima atau Kumpulan), selaku kumpulan media bersepadu terbesar dan terkemuka di Malaysia mengumumkan pelantikan pengurusan kanan dalam rangkaian radio RIPPLE, hari ini.

Nazri Noran dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, manakala Aaron Pinto pula sebagai Ketua Pegawai Kandungan berkuatkuasa esok. Bagi memacu pemulihan perniagaan, Media Prima Berhad (MPB) turut melantik Datuk Jake Abdullah sebagai pakar runding kepada RIPPLE.

“Nazri mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri hiburan. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyiaran radio dan dikenali kerana kepakaran menyediakan kandungan yang berjaya menawan hati pendengar tempatan.

“Sebelum ini, Nazri pernah bertugas sebagai Penolong Kanan Timbalan Presiden, Astro Radio Bahagian Radio Melayu dan Tamil, di mana beliau mengetuai jenama radio ERA, Sinar, Gegar, ZAYAN dan Raaga.

“Beliau memulakan kariernya di Astro Radio pada 2002 dan menjawat pelbagai jawatan di Hitz FM, Xfresh FM dan Sinar FM. Menerusi peranan baharu dalam MPB, Nazri bertanggungjawab atas strategi dan operasi keseluruhan RIPPLE dalam mengukuhkan kedudukan sebagai rangkaian radio popular,” kata MPB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Sementara itu, Aaron yang bakal melapor kepada Nazri mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam industri radio dan bertanggungjawab dalam mentransformasi jenama dan produk radio untuk menaikkan semula pertumbuhan jumlah pendengar dan perolehan.

“Sebelum ini, beliau adalah Ketua Kandungan, Astro Radio dan mengetuai strategi pembangunan kandungan serta bakat bagi 12 jenama Astro Radio.

“Aaron juga mengetuai pasukan Astro Radio dalam inisiatif transformasi digital yang membabitkan langkah penyusunan semula ekosistem keseluruhan kandungan bagi membangunkan rangkaian produk audio dan perkhidmatan untuk mengembangkan capaian digital,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Jake adalah seorang veteran dalam industri media dan penyiaran dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam penubuhan beberapa stesen radio yang berprestij dan peneraju pasaran di Asia.

“Beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Pyjama Media Sdn Bhd dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Astro Radio. Sebagai pakar runding kepada RIPPLE, beliau akan memberikan khidmat pakar runding dan membantu merangka strategi berkaitan kandungan, penjenamaan dan pendengar radio,” tulis kenyataan itu.

Pengarah Eksekutif Kumpulan, Media Prima, Rafiq Razali dengan sukacita mengalu-alukan kehadiran mereka.

“Pelantikan ketiga-tiga personaliti yang terkenal dalam industri penyiaran radio diharap memacu kemajuan berdasarkan keutamaan strategik penting dan membantu transformasi operasi RIPPLE dalam industri penyiaran radio yang semakin berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, MPB juga mengumumkan Seelan Paul, bekas Ketua Pegawai Eksekutif RIPPLE ditukar ke Rangkaian Televisyen Media Prima dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, ntv7 berkuatkuasa sejak 1 Mei lalu.

*Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini beliau aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Bersiri Pertama TVS, HOPE FINDS LOVE Ditayangkan Pada 1 Jun Ini

Admin IG Noor Kartini Tampil Mohon Maaf Selepas Komen Sinis Terhadap Sultan Johor