in , ,

Misi Kemanusiaan Ebit Lew Ke Mesir Dapat Kelulusan Untuk Beri Sumbangan Kepada Palestin

Misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dirancang oleh delegasi pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew, mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pendakwah itu bagi memaklumkan misi kemanusiaan yang dijadual bermula hari ini hingga 30 Mei.

“Misi kemanusiaan ke Mesir ini bertujuan memberi sumbangan kepada rakyat Palestin yang terkesan teruk susulan serangan rejim Israel ke atas Gaza.

“Urusan membabitkan misi berkenaan dirancang oleh delegasi Ustaz Ebit Lew secara terus dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Mesir. DISYORKAN UNTUK ANDA

“Segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ustaz Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir,” katanya.

Beliau berkata, walaupun misi itu adalah inisiatif sendiri, delegasi Ebit dinasihatkan sentiasa berhubung, bekerjasama dan mendengar arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mesir.

“Selain itu, segala peraturan, prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan oleh negara tuan rumah juga mesti dipatuhi.

“Ini penting terutamanya demi memastikan keselamatan Ustaz Ebit Lew dan delegasi beliau sepanjang di perantauan kelak,” katanya.

Kamarudin turut mengingatkan delegasi itu untuk mematuhi semua SOP dalam negara yang berkuat kuasa apabila kembali ke Malaysia.

Beliau berkata, secara dasarnya, kementerian menyokong penuh usaha delegasi Ebit dan sentiasa mengalu-alukan rakan NGO yang lain untuk turut menggerakkan pelbagai usaha bagi membantu rakyat Palestin, termasuk mewujudkan tabung bagi mengumpul dana bantuan kemanusiaan.

“Sekiranya diperlukan kementerian boleh membantu untuk menyalurkan dana yang selesai dikumpul oleh NGO kepada pihak berwajib di Palestin melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri.

“Selain membantu memudahkan usaha NGO, kerajaan juga melalui Kementerian Luar Negeri akan terus menggerakkan usaha bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin,” katanya. 

Sementara itu, Ebit dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini, memuat naik sekeping gambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sambil memegang pasport dan tiket penerbangan.

“Pohon doakan ya Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin. Semoga Allah bantu dan mudahkan semuanya.

“Ya Allah bantulah kami dan hanya kepada-Mu kami berserah,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Wisma Putra yang menyokong misi kemanusiaan itu.

“Semoga setiap usaha kita demi rakyat Palestin dirahmati Allah SWT,” katanya sambil memaklumkan Turkish Airlines menaja tiket penerbangan rombongannya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Scammer Lakonan Siti Saleha & Kamal Adli, Ini Fakta & Sinopsis Yang Anda Patut Tahu

Salammusik Menyeru Agar Segera Menghentikan Kitaran Keganasan antara Israel & Palestin ini