in , ,

Misha Omar Akhirnya Cipta Lagu Pertama Berjudul TANPA RELA

Baru-baru ini, penyanyi Misha Omar sempat berkongsi video pendek dirinya sedang menjalani rakaman lagu. Tidak menyatakan secara spesifik mengenai projek terbaharunya itu kecuali keterangan video yang antaranya berbunyi; “Tolong senyap, rakaman sedang berjalan”, ia memaparkan aksi salah satu pemuzik yang terlibat di projek itu iaitu Ude.

PERNAH beberapa kali dalam pertemuan kasual sebelum ini, teralun keluar daripada bibirnya rangkaian kata yang tidak berapa jelas, namun tersusun dalam melodi yang membuai sayu. Terjadi tanpa sengaja, ternyata itu bukan lagu yang biasa didengari sebelum ini. Jauh sekali melodi lagu penyanyi lain yang dinyanyikannya semula, seperti yang biasa dilakukan untuk menghiburkan pengikutnya di platform media sosial.

Tidak dinafikan, lagu Sampai Bila berjaya melakar pelbagai catatan manis dalam kerjaya penyanyi terkenal Misha Omar.

Lalu rentetan daripada sukses tersebut, penyanyi kelahiran Kelantan itu sering diasak persoalan daripada peminat yang bagaikan tidak sabar menanti kemunculan single terkininya.

Bagaiamanapun bagi Misha, desakan tersebut tidak sekali-kali memberinya tekanan, sebaliknya menyifatkan keterujaan peminat itu sebagai isyarat kehadirannya sentiasa dirindui.

Ubati Kerinduan Peminat Dengan Single Tanpa Rela

Misha Omar Akhirnya Cipta Lagu Pertama Berjudul Tanpa Rela
Misha Omar Akhirnya Cipta Lagu Pertama Berjudul TANPA RELA

Hampir dua tahun membuai emosi peminat dengan Sampai Bila, Misha akhirnya berkongsi berita gembira apabila single terbarunya, Tanpa Rela bakal menemui umum pada pertengahan bulan depan.

Single itu cukup memberi Misha kepuasan tersendiri, apatah lagi apabila berpeluang memberikan sentuhan untuk lagu berkenaan.

Selain bertindak sebagai komposer, turut sama terlibat di dalam pembikinan Tanpa Rela termasuk Sze Wan manakala Slen dan Zul bertindak sebagai penulis lirik di samping Misha sendiri.

Pada masa sama, Misha menjelaskan semangatnya hadir untuk menghasilkan melodi Tanpa Rela selepas mendapat inspirasi menerusi sambutan luar biasa yang diterima ketika menjayakan konsert This Is Misha di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang lalu.

“Selepas 18 tahun dalam industri muzik, saya terfikir mengapa tidak saya memulakan satu langkah ke hadapan dengan menghasilkan melodi.

“Biarpun proses penghasilan Tanpa Rela menuntut perjalanan yang panjang, saya bertuah kerana niat itu dipermudahkan apabila dipertemukan dengan pengarah muzik, Lee Sze Wan ketika menjayakan Konsert Soul Sisters di Istana Budaya, April tahun lalu.

“Dari situ, kami mula rapat hingga tercetus idea untuk menjalin kerjasama dalam penghasilan single terbaru ini. Saya bersyukur kerana Sze Wan banyak memberikan tunjuk ajar, malah sentiasa sabar melayani kerenah saya yang masih hijau dari sudut komposisi lagu,”

– Misha Omar

Mengakui kejayaan Sampai Bila turut mendorongnya untuk meletakkan standard lebih tinggi dalam penghasilan single terbaru, Misha berkata, perkara itu membuatkan dia begitu teliti sebelum melangkah ke studio rakaman pertengahan Julai lalu.

Tambahan pula, Tanpa Rela adalah single pertama ciptaannya dan Misha turut memasang harap agar lagu tersebut berjaya memenuhi kehendak pencinta muzik tempatan.

Lalu, Misha mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas vokal secara lebih intensif bersama pensyarah vokal berkaliber, Datuk Syafinaz Selamat demi memastikan dia mampu memberikan penghayatan dan penyampaian terbaik untuk Tanpa Rela.

“Tanpa Rela memberikan banyak pengalaman manis untuk saya kenang. Tidak hanya menjadi lagu pertama yang saya hasilkan, saya juga teruja kerana buat kali pertama dapat bekerjasama dengan Datuk Syafinaz di studio rakaman sebagai penasihat dan pengarah vokal.

“Ia memberikan suasana yang berbeza buat saya. Sebelum ini, saya hanya melangkah ke studio rakaman untuk memasukkan vokal apabila semua proses awal sudah selesai.

“Tetapi untuk Tanpa Rela, saya terbabit dari awal. Bermula dengan mencari idea untuk menghasilkan melodi, seterusnya berbincang dengan Sze Wan dari segi susunan muzik, saya juga terbabit dalam penulisan lirik,”

– Misha Omar
Misha Omar Akhirnya Cipta Lagu Pertama Berjudul Tanpa Rela
Misha Omar Akhirnya Cipta Lagu Pertama Berjudul TANPA RELA

“Apabila semua proses awal selesai, saya mendapatkan khidmat Datuk Syafinaz untuk membantu dari sudut penghayatan dan penyampaian lagu. Ia bukan perjalanan yang mudah, malah kami banyak berbincang bagi menceritakan emosi yang diluahkan menerusi setiap bait lirik.

“Untuk karya pertama ini, saya tidak mahu syok sendiri, sebaliknya saya turut membuka ruang untuk bekerjasama dengan banyak pihak kerana mahu memberikan yang terbaik kepada semua.

“Jujur saya akui, saya berasa selamat kerana di sisi saya ada banyak tangan, termasuk penulis lirik berpengalaman, Slen yang sentiasa bersedia memberikan magis mereka untuk melihat Tanpa Rela mencatat kejayaan membanggakan,” katanya.

– Misha Omar

Meskipun proses itu ada ketika memberinya tekanan, malah pernah membuatnya sukar melelapkan mata, Misha berdoa segala usaha dan kerja kerasnya itu membuahkan hasil yang diharapkan.

“Selalunya apabila sudah membuat persediaan rapi, ia memudahkan lagi tugasan sebelum melangkah ke studio rakaman. Saya pula sebaliknya.

“Saya menjadi semakin takut dan tidak senang duduk, terutama apabila memikirkan harapan tinggi yang diletakkan peminat. Ia cukup membuatkan saya resah.

“Namun, saya percaya, apabila sudah memberikan sepenuh hati, usaha itu harapnya dapat sampai dekat di hati peminat. Itu lebih penting kerana dokongan peminat menjadi kekuatan untuk saya berdiri selama ini,” katanya.

– Misha Omar
Misha Omar
Misha Omar Akhirnya Cipta Lagu Pertama Berjudul TANPA RELA

Tidak menafikan, semakin tidak sabar menanti detik Tanpa Rela dilancarkan, Misha berharap, usaha itu memberikan anjakan supaya dia lebih bersemangat dan serius mengorak langkah menjadi insan seni disegani.

“Tanpa Rela memberikan makna yang begitu besar dalam kerjaya nyanyian saya. Prosesnya tidak mudah kerana semua pihak yang terbabit, terutama Sze Wan dan Datuk Syafinaz begitu teliti.

“Mereka mementingkan kesempurnaan dari semua sudut dan sebagai penyanyi, kepercayaan besar mereka membuatkan saya berasa dihargai serta disayangi.

“Saya berharap Tanpa Rela akan menjadi penyambung legasi Misha Omar dalam perjalanan menuju dua dekad sebagai insan seni,” akhirinya optimis.

– Misha Omar

Yang pasti, magis selebihnya untuk hasil akhir lagu baharu ini terletak pada disiplin kerja Misha sendiri.

Mengenalinya sebagai seorang yang amat mementingkan kesempurnaan karya supaya ia terus dirujuk, dikenang, dinyanyikan, dan disenangi hingga bertahun-tahun, Tanpa Rela tentunya bakal menjadi sebutir lagi permata yang menjanjikan daya tahan Misha Omar dalam industri serta menambah kemilau legasinya.

Sumber: Media Hiburan

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Zazo Maulana

Zazo Maulana Menampilkan Tam Mustafah Dalam Single KASIH BERMULA

Dzil Afnan | 17

Kumpulan Nasyid Dzil Afnan Buat Comeback Lancar Single BAHAGIA SEJATI