in

Minggu Karyaone Bersama Alumni Rai 20 Tahun Penubuhan FITA

Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) akan menganjurkan Minggu KaryaONE Bersama Alumni 2017 untuk meraikan 20 tahun penubuhan fakulti berkenaan. Acara tersebut akan berlangsung dari 12 sehingga 17 Disember 2017 bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC).

Dekan FiTA, Dato’ Profesor. Dr. A. Razak Mohaideen berkata acara tahun ini akan diraikan secara besar-besaran dengan menghimpunkan alumni fakulti sejak tahun 1998. Minggu KaryaONE adalah program tahunan pelajar yang diwujudkan oleh Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), UiTM untuk pelajar, sejak tahun 2010 sebagai platform mempamerkan bakat dan hasil seni kreatif para pelajar kepada umum.

Minggu Karyaone Bersama Alumni Rai 20 Tahun Penubuhan FITA

“Ini bersempena dengan meraikan sambutan ulangtahun FiTA yang ke 20. Fakulti ini berkembang dari beberapa kelompok pelajar sehingga melahirkan ribuan pelajar yang memeriahkan industri kreatif negara pada masa kini. Saya amat gembira dengan perkara ini,” ujarnya yang menerajui FiTA sejak tahun 2011.

“Perkembangan pesat dunia digital ditambah dengan kemunculan banyak platform untuk tujuan hiburan memberikan peluang luas untuk alumni dan bakal graduan FiTA. Ini menjadikan graduan fakulti ini menjadi rebutan syarikat produksi di luar sana,” tambah beliau yang kini menunggu tayangan filem terbarunya berjudul Badang, lakonan Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dan Fasha Sandha.

Sementara itu, Ketua Pengarah Minggu KaryaONE 2017 yang juga pengarah teater terkenal, Puan Norzizi Zulkifli berkata, Minggu KaryaONE Bersama Alumni 2017 ini menyediakan pelbagai acara berbentuk ilmiah dan artrepreneur.

“Ia akan melibatkan para pelajar dan dibantu oleh pensyarah dan seluruh kakitangan fakulti ini. Antara program- program yang bakal berlangsung adalah FiTA KaryaOne Awards, Malam Promosi Filem Badang, Wacana Seni, Animation Kingdom, Pameran Fotografi Nostalgia FiTA, Tayangan Filem Pendek, dan Mini Carnival.

“Malam anugerah FiTA KaryaOne Awards pula adalah acara kemuncak yang dinanti-nantikan di mana hasil kerja para pelajar FiTA akan dipertandingkan. Karya akademik kerja mereka akan dinilai dan diberikan penghargaan sebagai satu suntikan semangat untuk menghasilkan karya akademik yang lebih baik dan berkualiti,” tambahnya.

Norzizi berkata, pada majlis ini juga FiTA akan memberikan Anugerah Ikon FiTA bagi menghargai sumbangan alumni FiTA di dalam industri seni tanah air.

“Penganugerahan Ikon FiTA adalah pengiktirafan tertinggi fakulti kepada alumni fakulti yang telah mencapai kejayaan yang baik dari segi akademik dan juga pencapaian kerjaya seninya,” ujarnya yang turut mengalu-alukan orang ramai untuk hadir ke Konsert Emoji.

Untuk maklumat lanjut mengenai Minggu KaryaONE Bersama Alumni 2017 sila –

Layari laman sesawang rasmi KaryaOne : http://karyaone.com/
Layari laman sesawang rasmi FiTA : http://fita.uitm.edu.my/v4/index.php/en/
Like kami di Facebook – https://web.facebook.com/karyaonefita/
Follow kami di Twitter – https://twitter.com/karyaonefita
Follow kami di Instagram – https://www.instagram.com/karyaonefita/

Minggu Karyaone Bersama Alumni Rai 20 Tahun Penubuhan FITA

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ini Cara Fattah Amin & Ayda Jebat Berselfie Dengan Kamera OPPO F5

Muzik Video Charlie Puth HOW LONG Antara Trending di Youtube Malaysia