in

Menjelang Kemuncak Malam Anugerah P.Ramlee

Kemuncak Malam Anugerah P.Ramlee : Ulang Siar Telemovie-Telemovie Bertanding Di TV1

Debaran siapakah yang bakal dinobatkan pemenang pada Malam Anugerah P.Ramlee menerusi sembilan kategori yang dipertandingkan yang menghimpunkan tayangan 10 telefilem arahan pengarah-pengarah tersohor di Malaysia kian terasa.

Malam Anugerah P.Ramlee merupakan satu acara bagi memperingati perjuangan Seniman Agung P.Ramlee yang pernah mengharumkan industri seni tanah air. Selain memperingati karya beliau yang tidak pernah lapuk dek zaman, ia juga bertujuan untuk mengekalkan nama beliau sebagai seorang penghibur terbaik sepanjang zaman.

Program berbentuk pertandingan ini adalah berdasarkan 10 telefilem yang berkaitan dengan lagu-lagu Allahyarham P.Ramlee. Para penonton diberi hak untuk membuat pilihan bagi menentukan para pemenang untuk Anugerah P.Ramlee.

Kesemua 10 telefilem telah ditayangkan di saluran TV1, RTM bermula 4 November 2012. Kategori yang bakal dipertandingkan iaitu Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Skrip Terbaik, Pengarah Terbaik, Telefielm Terbaik, Videografi Terbaik, dan Anugerah Penampilan Istimewa Terbaik. Penghakiman akan dibuat melalui Panel Juri Khas yang berpengalaman luas dalam industri seni.

Bagi penonton yang terlepas menyaksikan slot ini, usah ketinggalan menyaksikan siaran ulangan telefilem Tribute P.Ramlee iaitu pada setiap hari Jumaat menerusi slot Nurani, jam 10.30 pagi iaitu Jodoh Kita (08 Mac 2013), Pelamin Di Pusara (15 Mac 2013) dan Selagi Cinta Berzikir (22 Mac 2013). Manakala menerusi slot Panggung Ahad pula jam 10.05 pagi, saksikan telefilem Getaran Jiwa (03 Mac 2013), Miang Buluh Keladi Birah (10 Mac 2013), Hanya DiKau (17 Mac 2013) dan Di Mana Ku Cari Ganti (24 Mac 2013).

Kongsikan kisah Zainal yang sebelum menghembuskan nafas terakhir sempat berpesan kepada Taufiq yang merupakan teman baiknya dalam telefilem Jodoh Kita. Taufiq diburu rasa bersalah kerana tidak dapat menunaikan permintaan terakhir Zainal. Apakah permintaan itu? Telefilem lakonan Fauziah Gous, Yatt Hamzah, Iqram Dinzly dan Zahiril Adzim ini arahan Ismail Yaakob.

Pelamin Di Pusara pula diilhamkan dari lagu Udan dan Dara mengisahkan konflik cinta yang dihadapi oleh Zamarul (Shahrizal Jaszle) dan Maisara (Raja Farah) dalam mempertahankan kesucian cinta mereka dari perancangan jahat oleh tunangan Zamarul, Suraya (Diana Johor). Pengarah telefilem ini Murali Abdullah.
Selagi Cinta Berzikir arahan Erma Fatimah lakonan Beto Qusyairi, Sharifah Amani, Dato’ Tarmimi Siregar dan Azizah Mahzan kongsdi kisah demi cinta, Nazira sanggup meninggalkan kemewahan keluarga untuk hidup bersama Fazli, seniornya ketika menuntut di Universiti. Tekad Nazira untuk berkahwin dengan Fazli menyebabkan hubungan Nazira dengan ayahnya, Datuk Ramli menjadi renggang.

Menerusi Getaran Jiwa karya Micheal Ang, saksikan kisah kerana kegilaan dan ketaksuban dengan muzik telah memberikan semangat kepada band dari Kampung Sungai Dalam yang digelar Kugiran untuk menjadi bintang Rock. Untuk mencapai impian, mereka telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Ketika inilah mereka melihat Kuala Lumpur adalah kota yang penuh dengan seribu cabaran. Ia dilakonkan oleh Izzue Islam, Amar Mohd Bahrin, Marsha Milan Londoh dan Fir Affandi.

Lakonan Wan Nor Azlin, Shahrolnizam, Dian P.Ramlee, Hanis Kamal Bakar dan Eyka Farhana dalam Miang Buluh Keladi Birah mengisahkan Anisah yang tinggal berjiran dengan Jalal seorang duda. Setelah beberapa bulan berapa di sana, Anisah dan Jalal menjalin hubungan mesra. Bagaiamanapun niat mereka untuk berkahwin ditentang oleh anak masing-masing, Daniel dan Fara. Bagaimanakah Anisah dan Jalal memujuk dan mencari penyelesaian agar anak mereka membenarkan hubungan mereka? Telefilem ini di arahkan oleh Bade Haji Azmi.

Hisham yang sepuluh tahun merantau di Australia kerana kecewa setelah rumah tangganya bersama Sheera runtuh akibat kecurangan Sheera. Namun tanpa disedari Hisyam sebenarnya terpikat dengan Fifi, pembantu rumah keluargany. Dalam masa yang sama, Sheera yang telah bercera dengan suami keduanya berhasrat untuk berbaik semula dengan Hisham. Kisah ini melatari Hanya DiKau arahan Amie Maziah yang dilakonkan oleh Kamal Adli, Elly Mazlein, Melissa Saila dan Maimon Talib.

Menggunakan tajuk lagu sama, Di Mana Ku Cari Ganti pula memaparkan kisah cinta seorang suami kepada isterinya yang meninggal dunia akibat kejadian ragut. Karya menarik pengarah Osman Ali ini menampilkan gandingan pelakon Faezah Elai dan Arja Lee.

Selain itu, penonton juga boleh melayari laman web rasmi tribute di www.rtm.gov.my/tributepramlee.

babak dalam Pelamin di Pusara

Selagi Cinta Berzikir

Kamal Adli dan Elly Mazlein

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pemenang Peraduan Kreatif Baba’s Cu-Bits

Laman Web Maybank Kini Sudah Berubah, Lebih Cool & Mantap