in ,

Mengakhiri Kemelut, Bubblebee Tamatkan Perjanjian Usahasama di Empat Buah Cawangan

Sebagai sebuah syarikat yang menghasilkan dan memasarkan produk air boba berasaskan madu lebah, Bubblebee Sdn. Bhd. sehingga kini sudah mempunyai 18 cawangan di seluruh negara, di mana 12 cawangan merupakan milik penuh Bubblebee manakala selebihnya dibuka secara usahasama.

Salah satu usahasama tersebut melibatkan usahawan vape terkemuka Mohamad Hafizzi iaitu pengasas House of Vape bersama pasangannya Nikruasma Nik Ruzi atau lebih dikenali di Instagram sebagai @babyanamoi serta Azman Arshad dari Taikun Vape.

“Ketiga-tiga individu ini bersama pengarah-pengarah kami telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan satu siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa baru-baru ini,

“Berdasarkan penjelasan yang telah diberikan oleh mereka, kesemua mereka tidak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat.Mengikut maklumat yang diterima siasatan lanjut oleh pihak berkuasa ke atas suspek yang disyaki juga sedang berlangsung,”

– Pengarah Urusan Bubblebee, Datuk Ismail

Sehubungan itu, beliau menyatakan pihak syarikat memohon maaf kepada mereka kerana tindakan nekad yang telah dilakukan sebelum ini untuk menamatkan perjanjian usahasama bagi empat cawangan iaitu Bubblebee Ampang, Bubblebee Senawang, Bubblebee Sentul, dan Bubblebee Sungai Buloh.

Ujar beliau, syarikat juga memohon kepada semua pihak untuk tidak lagi membuat sebarang spekulasi terhadap mereka.

“Bagi mengakhiri kemelut ini, kami telah mencapai penyelesaian baik bersama dengan Hafizzi berserta Nikruasma dan Azman untuk menamatkan usahasama bagi keempat-empat cawangan Bubblebee tersebut. Penamatan bersama berdasarkan persetujuan baik ini berkuatkuasa serta-merta. 

“Kesemua cawangan di atas juga telah ditutup sementara waktu bagi melancarkan urusan pengambilalihan operasi oleh ibu pejabat Bubblebee. Pihak syarikat memohon maaf khasnya kepada Hafizzi, Nikruasma dan Azman juga kepada semua pelanggan secara am yang terkesan akibat penutupan sementara keempat-empat cawangan tersebut,”

– Pengarah Urusan Bubblebee, Datuk Ismail

Menurut beliau, pembukaan semula keempat-empat cawangan tersebut akan bermula pada 23 November ini selepas proses pengambilalihan selesai.

Dalam pada itu, menganggap apa yang berlaku agak pahit untuk ditelan bagi kedua-dua belah pihak, tetapi ia terpaksa dilakukan kerana pihak syarikat percaya nilai jenama amat penting dalam sesebuah perniagaan dan keputusan penyelesaian baik bersama ini diambil bagi mengekalkan kemandirian jenama Bubblebee untuk jangka masa panjang.

“Perlu saya tekankan, bahawa kelangsungan ini lebih penting berbanding mana-mana individu dalam syarikat mahupun rakan usahasama dalam memenuhi kehendak pelanggan.

“Keputusan penyelesaian baik bersama ini juga diambil oleh mereka untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan teras mereka. Selamat berjaya saya ucapkan. Jika ada rezeki pasti ada peluang kerjasama lain pada masa akan datang bersama mereka,”

“Sesungguhnya, sokongan semua pihak tidak akan dipersia-siakan. Semanis Bubblebee, manis lagi kegembiraan pada senyuman para pelanggan kami,”

– Pengarah Urusan Bubblebee, Datuk Ismail

Menurut beliau, sebagai sebuah syarikat, insya-Allah pihaknya komited untuk terus membangunkan jenama minuman ini pada peringkat tempatan dan antarabangsa. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kali Kedua Dapat Sijil Platinum Recording Industry Association of America, Bukti BTS Diterima Secara Global

Konsert Tampilkan Awie & Search, Projek Bikin Wilayah Ditunda Pada 13 Februari 2021