in ,

Jodoh Bukan Milik Kita

Ramai yang berpendapat bahawa mereka harus dapat apa yang mereka inginkan, termasuk soal jodoh dan cinta. Namun bagaimana pula sekiranya cinta yang berbentuk segi tiga? Pastinya memerlukan pengorbanan yang besar demi mengecapi kebahagiaan itu. Tetapi pengorbanan sebesar manakah yang cinta perlukan? Zul Ariffin, Fathia Latiff, dan Afiq Muiz akan menjawab persoalan-persoalan itu dalam drama terbaharu mereka, ‘Menanti Febuari’.

Drama 15 episod ini, Menanti Febuari diterbitkan oleh Sha’s Media Sdn Bhd di bawah arahan saudara Ayie Mustafa. Drama ini turut membariskan pelakon-pelaokn hebat seperti Zul Ariffin, Fathia Latiff, Afiq Muiz, Juedian Omar, adik Kirana Batrisyia, Dato’ Rahim Razali, Wan Nur Azlin, Nurman Salleh, dan Helvera Susanti.

Menanti Februari Logo

Menurut pengarah Menanti Febuari, saudara Ayie Mustafa,

“Istimewanya drama Menanti Febuari ini adalah gabungan pelakon-pelakon yang mantap. Mereka telah memberikan kerjasama yang amat baik. Terutamanya apabila ketiga-tiga pelakon utama, Zul Arffin, Fatiya latif, dan Afiq Muiz dapat mewujudkan keakraban yang diperlukan seperti dalam naskah drama ini. Selain itu, kru produksi juga telah memberikan kerjasama yang baik sehinggakan kami dapat mengakhiri penggambaran drama ini, tepat pada masanya. Justeru, dengan usaha yang telah kami lakukan, saya bagi pihak seluruh produksi Menanti Febuari akan berserah pada rezeki Allah dan para penonton dalam menilai drama ini.”

Menanti Febuari mengisahkan cinta tiga segi antara tiga sahabat, Arie (Zul Ariffin), Fiza (Fathia Latiff), dan Edi (Afiq Muiz). Kisah mereka bermula sebagai rakan sekelas di kolej dan mereka bertiga tidak pernah berenggang walau kemana pun, akan tetap bersama. Arie dan Edi merupakan anak usahawan terkenal tanah air, manakala Fiza pula hanya bersederhana setelah kematian kedua ibu bapanya. Namun, dalam persahabatan mereka, tetap terdetik perasaan cinta antara mereka secara diam. Arie dan Edi menyukai Fiza, tetapi nasib menyebelahi Arie kerana Fiza turut menyukainya.

Setelah setahun mereka menamatkan pengajian mereka, Arie membantu ayahnya untuk menguruskan sebuah syarikat usaha sama carigali minyak di beberapa buah negara yang berpotensi. Edi membuka syarikat pembangunan sistem komputernya sendiri, dan Fiza berkerja di sebuah syarikat swasta. Walaupun mereka sudah mula mengorak langkah kehidupan mereka tersendiri, hubungan Arie dan Fiza tetap utuh, malah semakin rapat. Akhirnya, Arie dan Fiza disatukan menjadi suami isteri di bulan Febuari, dan Edi hanya mampu mengukir senyuman dan menguburkan perasaan cintanya terhadap Fiza.

Pada awal perkahwinan mereka, hubungan mereka amat baik. Sehingga Arie mula taksub dengan pekerjaannya, Arie mula mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami dan menangguhkan bulan madunya bersama Fiza. Baginya, hati Fiza mampu dipujuknya manakala pelabur syarikatnya akan memberi impak yang lebih besar pada masa hadapan mereka. Perbuatannya itu melukakan hati Fiza, tetapi Fiza hanya berdiam diri dan memendamkan perasaan kecewanya itu.

Setelah beberapa bulan berlalu, Fiza pula telah disahkan mengandung. Setelah diketahui Arie, Arie mula menatang isterinya bagai minyak yang penuh dan mempelajari untuk membahagikan masa untuk pekerjaan dan keluarganya. Ketika itu, Fiza berasa amat bahagia kerana hadirnya seorang suami yang mengasihinya. Setelah tujuh tahun pasangan suami isteri itu hidup dengan aman dan bahagia, terutamanya dengan kehadiran puteri sulung mereka, Intan, kehidupan mereka bagai direstui Tuhan.

Namun, kebahagiaan itu hanyalah sementara apabila Arie kembali ke sikap lamanya iaitu taksub pada pekerjaannya dan mengabaikan keluarganya. Sekali lagi hati Fiza terluka dan sentiasa berdoa agar diberi kekuatan daripada Tuhan. Sangkanya panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari, kehibaan Fiza bertambah buruk apabila Arie didapati mengalami kemalangan ketika beriadah bersama pelabur syarikatnya dan hilang di tengah lautan. Semenjak kejadian itu, Fiza sentiasa berdoa agar suaminya dikembalikan kepangkuannya sebelum terbitnya bulan Febuari.

Dapatkah kebahagiaan Fiza dipulihkan sepenuhnya? Adakah Fiza akan dipertemukan kembali dengan suaminya? Mungkinkah hati Fiza bakal terisi kembali dengan kehadiran Edi yang telah lama mengharapkannya? Saksikan drama bersiri yang penuh trajis Menanti Febuari setiap Isnin hingga Rabu pada pukul 10 malam di TV3 dalam slot Samarinda bermula 3 April 2017.

Poster Menanti Februari

Fiza Dan Intan

Intan Berdoa Agar Ayahnya Pulang

Fiza Dan Intan Menanti Kepulangan Arie

Edi Dan Fiza

Arie Dan Fiza Ketika Berbulan Madu

Arie Dan Fiza Berbulan Madu

Arie Bermain Jet Ski

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

First Ever Czech Republic Film Festival In Malaysia

Penyertaan Bengkel DFKL 2017 Pecah Rekod