in , ,

MeerFly Cabar Diri Bereksperimen Dalam Single DUIT, Sebuah Lagu Tema Dalam Drama SCAMMER

Pemikiran materialistik sememangnya sudah tidak boleh dipisahkan dengan masyarakat. Manusia berlumba-lumba mengejar kekayaan sehingga ramai yang sanggup bertuhankan duit. Itulah yang ingin disampaikan penyanyi MeerFly dalam buah tangan terbarunya ‘Duit’.

Melihat judulnya saja, sudah pasti pendengar sudah boleh meneka inti keseluruhan karya nukilan komposer hebat, Farouk Roman itu. Menariknya, kolaborasi mereka agak unik di mana ia mencantumkan dua hala tuju yang cukup berbeza dalam sebuah lagu. Sebagaimana ramai tahu, Farouk sendiri lebih kepada penghasilan lagu berat dan menusuk.

Justeru, gabungan melodinya dengan lirik ciptaan MeerFly semestinya memiliki magis tertentu. Jelas, untuk Farouk semestinya ia sebuah angin baharu dalam corak karyanya. Bagaimanapun, MeerFly mendedahkan lagu Duit ini sebenarnya eksperimen baharu buat dirinya juga sekali gus mereka berkongsi pengalaman sama.

Tampil dengan melodi yang agak keras, pertaruhan Meerfly ternyata sangat berani kerana selama ini muziknya lebih kepada santai namun mendalam maksudnya.

Kali ini, dia hadir dengan karya yang menyerlahkan sisi berbeza muzikalnya selain boleh dikatakan segar dan mengejutkan daripadanya.

Berkongsi mengenai pemilihan hala tuju yang agak berbeza itu, MeerFly mengakui melodi terbabit adalah sebagai melengkapi kekuatan mesej ingin disampaikan itu sendiri. Baginya, elemen rentak rock keras yang disuntik amat sempurna dengan jalan cerita lagu Duit berkisar kealpaan manusia hanyut kepada godaan wang.

MeerFly

“Lagu ini tidak lain sepenuhnya memang mengenai wang. Sekarang, manusia berlumba-lumba dan rakus mengejar wang sehingga alpa bahawa kekayaan wang bukanlah segala-galanya dalam kehidupan. Ada yang sanggup bertuhankan wang dan sentiasa merasa tidak cukup dan terus mengejarnya lebih daripada keperluan sebenar,” katanya.

MeerFly mengakui sebenarnya banyak lagi mesej tersirat yang disampaikannya dalam lagu ini. Dia percaya pendengar sendiri pasti akan dapat meneroka mesej itu satu-persatu apabila mendengarnya. Apapun, menurutnya bukan mudah untuk menyempurnakan karya berkenaan kerana hampir keseluruhannya adalah eksperimen yang cukup asing buatnya.

“Secara peribadi, saya suka cara saya bawa lagu ini. Terdapat empat corak berbeza saya cuba dalam lagu ini yang belum pernah dibuat dalam mana-mana lagu sebelum ini. Bahagian paling mencabar tentunya pembawaan corak baharu itu. Duit adalah sebuah eksperimen yang mencabar namun proses hasilkan muziknya paling memuaskan,” katanya.

MeerFly

Menariknya, lagu ini juga dipilih sebagai lagu tema untuk drama arahan Norhanisham Muhammad yang berjudul Scammer. Ditayangkan di Astro Ria, jam 11 malam, bermula 24 Mei, drama berkenaan dibintangi pelakon hebat termasuk Kamal Adli, Siti Saleha, Fasha Sandha, dan ramai lagi.

Bertepatan dengan tema cerita itu sendiri, MeerFly juga menyifatkan lagu Duit cukup sempurna menggambarkan perjalanan kisah drama Scammer. Baginya, penonton drama pasti akan dapat merasai sendiri betapa lagu itu ada kesinambungan yang cukup menarik apabila mengikutinya kelak.

“Bagi saya, lagu Duit ini boleh menyentuh sesiapa saja kerana ia adalah topik yang cukup meluas diperdebatkan sejak azali lagi. Ia mampu memberi pengajaran buat sesiapa juga termasuk diri saya sendiri. Bagi pendengar yang suka meneroka lirik lebih mendalam, pastinya akan mempunyai interpretasi sendiri terhadap lagu ini,” katanya.

Mula mencipta nama dalam arena hip hop tempatan sejak 2019, MeerFly cukup disanjung sebagai penyanyi rap generasi baharu. Lagunya seperti Haa Tepok, Aku Nak, Makan Cili, dan Bossku benar-benar mencetuskan fenomena tersendiri dalam industri muzik tempatan. Dia juga aktif berkolaborasi dengan penyanyi rap hebat lain termasuk MK K-Clique dan Kidd Santhe.

‘Duit’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Akui Kesilapan, Iman Troye Minta Maaf Selepas Teruk Dikecam Netizen

Perkhidmatan Tajuddin sebagai Pengerusi Prasarana Ditamatkan Serta Merta