in , ,

Meer Nash Bawa SERIBU TAHUN Ke TikTok

Lagu berhantu Seribu Tahun dendangan Imran Ajmain sudah berusia lebih sedekad. Malah hingga kini lagu yang pernah menjadi runut bunyi drama Kerana Cintaku Saerah di TV3 itu boleh dianggap malar segar.

Pendek kata irama lagu berkenaan boleh membuai rasa dan menyentuh jiwa. Jadi tidak pelik apabila lagu itu boleh sohor kini di aplikasi TikTok baru baru ini.

Lantas TikTok bersama Universal Music Malaysia tampil dengan usaha terus mengembalikan kegemilangan karya berkenaan dengan memilih Meer Nash untuk menyanyikan semula lagu itu.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, keputusan berkenaan mengujakan Meer atau nama sebenarnya Muhamad Shahmeer Mohd. Nashrul.

“Apabila pihak TikTok berkata lagu itu sedang ‘trending’ semula dalam aplikasi mereka dan ingin menerokai kemunculan semula, saya sendiri terkesima. Iyalah kerana dalam ramai ramai artis, diri ini yang terpilih.

“Tambah pula saya sendiri secara peribadi meminati lagu berkenaan. Saya percaya bukan diri ini saja yang meminatinya, malah ramai lagi orang di luar sana berasakan hal sama,” 

– Meer Nash

Kata penyanyi yang mendapat jolokan Oppa Malay ketika menyertai program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) tahun lalu, perancangan menjadikan usaha ini bermula sekitar 29 Mac lalu.

“Seterusnya terjadi perbincangan antara TikTok dan Universal Music hingga wujudnya kumpulan WhatsApp. Malah dengan situasi semasa pandemik COVID-19, mesyuarat dan perbincangan juga dibuat menerusi aplikasi video Zoom.

“Saat itu, perbincangan juga dilanjutkan dengan membabitkan pemuzik untuk susunan semula lagu itu, tarikh rakaman dan pelancaran serta sebagainya.Akhirnya lagu itu dirakamkan pada 18 Mei lalu di RMP Production di Damansara Perdana,” 

– Meer Nash
Meer Nash Bawa Seribu Tahun Ke Tiktok

Tambah penyanyi lagu Saranghae itu lagi, proses rakaman berjalan lancar.

“Saya berjaya lunaskan proses rakaman sekitar tiga keempat jam. Tak saya nafikan lagu itu sangat meruntun jiwa. Perkara yang paling mencabar untuk dilakukan ketika merakamkan lagu ini ialah di bahagian harmoni.

“Nak dijadikan cerita, emosi itu jadi terbawa bawa lagi sebab saya baru saja putus cinta. Jadi barangkali situasi itu memudahkan saya menyelami bait lirik lagu berkenaan,” 

– Meer Nash

Sempat ditanya apakah dia mengenai pelantun asal lagu berkenaan, Meer mengakui pernah berjumpa Imran beberapa tahun lalu.

“Saya tidak mengenalinya secara rapat. Tapi pernah berjumpanya dalam acara hiburan ketika lagu itu rancak dipromosikannya.

“Bayangkan kali pertama jumpa, saya ini bukanlah sesiapapun ketika itu, tapi Imran banyak berkongsi ilmu dan nasihat berkaitan seni. Sejak itu saya terus meminatinya,”

– Meer Nash

Sebagai komposer, Meer juga sehabis baik mendalami maksud dalam lagu berkenaan sekali gus memudahkan proses rakaman dilakukan.

“Malah saya pernah merumuskan lagu ini dalam bentuk sinopsis. Daripada perspektif saya, lagu ini maksudnya menceritakan mengenai kekesalan dan rasa kehilangan terhadap insan tersayang sama ada ahli keluarga ataupun kekasih.

“Disebabkan kekesalan itu juga, watak dalam lagu berkenaan sanggup melakukan apa saja untuk kembali menambat hati insan yang telah ditinggalkan.

“Tidak kira berapa lama jangka masa atau betapa jauhnya  perjalanan itu, dia sanggup bertahan. Tiada istilah putus harapan dalam dirinya hingga sanggup mempertaruhkan segala galanya,”

– Meer Nash
Meer Nash Bawa Seribu Tahun Ke Tiktok

Dalam perkembangan lain, Meer masih rancak mempromosikan lagu Saranghae yang diciptanya sendiri.

“Lagu itu dilancarkan sekitar lebih sebulan lalu. Buat masa sekarang, saya masih terus mempromosikannya.

“Dalam masa sama, saya juga cuba mencuri ruang mencipta  lagu baru untuk single seterusnya.  Cuma biasalah lama terperuk dalam rumah, ilham itu tenggelam timbul. Otak pun tepu, kreativiti berkurangan.

“Pastinya saya sendiri tak sabar untuk menantikan reaksi peminat terhadap rendisi lagu Seribu Tahun,”

– Meer Nash

Sementara itu, Ketua Pemasaran, TikTok Malaysia, Cheah Sheau Mei berkata pemilihan  lagu itu dibuat berdasarkan impak tular yang dicatat sejak awal tahun ini.

“Lagu itu kembali tular di TikTok hingga menembusi carta lagu hit Malaysia di stesen radio ERA dan Hot FM.Setakat ini lagu itu sudah mencapai lebih daripada 41 juta paparan dan 20,000 video dimuat naik di aplikasi TikTok,”

– Meer Nash

Katanya lagi, lagu berkenaan juga masih relevan hingga kini.

“Lagu Seribu Tahun adalah antara karya hebat yang melonjakkan nama Imran Ajmain. Di tambah pula dengan impak drama popular Kerana Cintaku Saerah arahan Shahrulezad Mohameddin disiarkan di TV3 turut diminati ramai,” 

– Meer Nash

Pemilihan Meer Nash memberi nafas lagu terbabit juga sejajar dengan pendirian TikTok yang sentiasa membuka ruang kepada bakat baru menyerlahkan potensi mereka.

“Sejak dulu lagi, TikTok berdiri sebagai platform kepada artis baru untuk menyerlahkan kreativiti mereka. TikTok berfungsi untuk mencungkil bakat dalam bidang seni dengan menyediakan tempat untuk artis baru sama kreator membina rangkaian pengikut dan sekaligus berhubung dengan masyarakat.

“Meer Nash merupakan salah satu bakat yang kami ingin terus meneroka kebolehan yang dimilikinya. Bakat dan populariti yang diraihnya di TikTok serta arus muzik perdana selayaknya menjadi isyarat untuk lagu penuh makna ini dihidupkan kembali dengan caranya tersendiri. Meer Nash mempunyai vokal yang cukup merdu dan sesuai memberi jiwa kepada lagu itu,” 

– Meer Nash
Meer Nash Bawa Seribu Tahun Ke Tiktok

Dalam pada itu, beliau melihat kerjasama erat terjalin antara TikTok dan Universal Music Malaysia selama ini perlu diperluaskan tanpa sempadan.

“Universal Music antara rakan kongsi kami sepanjang tahun ini. Baru-baru ini, kami bekerjasama merakamkan lagu Kecoh Raya buat rakyat Malaysia dan sama sama menemui bakat baru dan berpotensi untuk menjadi sebahagian daripada projek berkenaan.

“Universal Music memiliki pasukan kerja berpengalaman dan profesional. Malah cadangan diberikan cukup bernas dan kreatif. Jadi kami melihat kerjasama terbaru ini akan memberi impak lebih besar kepada komuniti TikTok dan seluruh Malaysia,” 

– Meer Nash

Lagu ini boleh didengarkan di kesemua pelantar pentsriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music mulai 13 Ogos 2021 jam 12 tengah malam. Manakala, lirik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Meer Nash pada hari yang sama.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hafeez Mikail | 21

Jaga Bahasa, Hafeez Mikail Tegur Cara Naim Daniel Beri Teguran Pada Ejen Insurans

Betty Rahmad | 22

“Hati Tersentak Baca Surah Ar-Rahman,” Betty Rahmad Kini Bertudung Umie Aida & Erma Fatima Menangis