in , ,

Mat Kilau Pecah Rekod, Catat RM39.2 Juta Dalam Tempoh 10 Hari

Menurut Syamsul, filem Mat Kilau terus mencipta fenomena apabila mencatat kutipan sebanyak RM7.3 juta untuk satu hari tayangan semalam.

” Kami tengok Mat Kilau kali ke -3 semalam. Panggung masih full house. Lepas habis wayang orang still tepuk tangan. Masyaallah!”

” Tengok gaya boleh cecah 100 juta nih, tak mustahil”

Itu antara komen ditinggalkan warganet sebaik perkongsian pengarah Syamsul Yusof yang berkongsi tentang kutipan terkini filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

Menurut Syamsul, filem Mat Kilau terus mencipta fenomena apabila mencatat kutipan sebanyak RM7.3 juta untuk satu hari tayangan semalam.

Lebih membanggakan, ia menjadikan jumlah keseluruhan kutipan filem berkenaan selepas 10 hari ditayangkan di negara ini, Singapura dan Brunei sebanyak RM39.2 juta.

RM7.3 juta dalam tempoh satu hari

Justeru, tidak mustahil Mat Kilau mampu ‘mencantas’ kutipan filem tempatan paling laris ketika itu iaitu Munafik 2 yang juga arahan Syamsul yang memperoleh kutipan keseluruhan sebanyak RM48 juta membabitkan tayangan di tiga negara itu.

” Tiada kata. Alhamdulillah kutipan tiket Mat Kilau untuk semalam adalah RM7.3 juta dalam tempoh satu hari.

” Keseluruhan RM39.2 juta dalam tempoh 10 hari tayangan. Sejarah dan rekod baharu untuk tayangan filem Melayu. Kuasa Allah.

” Terima kasih kepada penonton di Malaysia, Brunei dan Singapura. Terima kasih juga kerana masih percaya dengan sentuhan saya dan pasukan produksi,” katanya.

Perkongsian Syamsul di Instagram turut dihujani ucapan tahniah daripada rakan-rakan selebriti tanah air serta peminat filem terbabit.

Sementara itu, Syamsul ketika dihubungi bagi mendapatkan komennya berhubung pencapaian itu memaklumkan dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran.

Terdahulu, HarianMetro melaporkan Syamsul berhasrat mahu ‘mencantas’ rekodnya sendiri menerusi filem Munafik 2 yang juga lakonannya.

Sebelum ini, ramai menjangkakan Mat Kilau mampu mengatasi Munafik 2 yang mencatat kutipan RM48 juta membabitkan tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Di Malaysia, setakat ini Munafik 2 adalah filem paling laris sepanjang zaman apabila mencatat kutipan sebanyak RM37.7 juta.

Menurut Syamsul, dia memang sentiasa mahu bersaing dengan diri sendiri dan mengatasi rekod sebelum ini.

” Saya memang mahu dan tentulah kalau diizinkan Allah, kalau ada rezeki saya nak mencantas rekod sendiri. Tak ada masalah pun.

” Saya akui banyak melihat momentum atau fenomena terhadap filem Mat Kilau ini.

” Malah ramai yang dah bercakap mengenai filem ini adakah bakal mengatasi kutipan filem Munafik 2 yang mana di Malaysia saja RM37.7 juta dan secara keseluruhan RM48 juta.

Filem paling laris dalam negara

” Seperti semua tahu filem ini masih di tangga teratas filem paling laris dalam negara.

” Susah saya nak bagi pandangan mengenai perkara ini kerana kutipan tiket ini kita tak boleh terlalu yakin pada peringkat awal.

” Sebab kutipan tiket ini kadang tak seimbang, kadang momentum tak seimbang, pendek kata berubah-ubah.

” Bagaimanapun, saya akui momentum filem ini semakin bertambah dari sehari ke sehari. Kutipan hari bekerja pun masih kuat seperti hari cuti dan hujung minggu.

” Sekiranya filem Mat Kilau ini mengatasi filem Munafik 2, saya tidak ada masalah. Mudah-mudahan dan saya berdoa filem Mat Kilau ini, insya-Allah dan mungkin mengatasi filem Munafik 2.

” Kalau ia terjadi, itu pencapaian peribadi. Sebab saya memang bersaing dengan diri sendiri dan nak atasi rekod sebelum ini,” katanya kepada HarianMetro.

Menurut Syamsul, kejayaan diraih filem epik Melayu itu sedikit sebanyak membantu industri perfileman tempatan sekali gus membolehkan pengkarya dan penerbit lain menghasilkan filem yang berkualiti.

” Ini bukan untuk saya saja, tapi bagus untuk industri filem Malaysia dari segi ekonomi dan perkembangan filem.

” Apabila filem ini sukses lebih ramai penerbit menghasilkan filem dan akan mewujudkan peluang pekerjaan dan menambah baik ekonomi negara juga.

” Diharapkan dengan kejayaan kutipan filem Mat Kilau ini bukan saja membakar semangat saya untuk menghasilkan karya yang baik.

” Malah diharap ia dapat membakar semangat pengkarya dan penerbit lain dalam menghasilkan filem baik, berkualiti dan menepati cita rasa penonton,” katanya.

Filem Mat Kilau terbitan Studio Kembara menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As’ari, Yayan Ruhan dan ramai lagi.

Yusof Haslam pengkritik nombor satu Syamsul

Dalam pada itu, memetik laporan HarianMetro bertarikh 21 Oktober 2018, Syamsul pernah berkongsi tentang rahsia kejayaan beliau dalam menghasilkan filem.

Antara Syamsul mendedahkan individu-individu penting termasuk siapa pengkritik nombor satu beliau.

” Pada awalnya, bapa saya, Datuk Yusof Haslam pun tak yakin dengan kemampuan saya untuk menjadi pengarah filem. Jadi, saya sentiasa berfikir saya boleh jadi lebih baik daripada bapa saya.

” Dia adalah pengkritik nombor satu saya dan saya buktikan kepadanya apa yang saya mampu lakukan.

” Proses yang saya jalani bukanlah singkat. Saya mula mengarah pada 2006 dan bermula dari bawah. Semua orang ada ujian masing-masing. Jangan jadikan itu sebagai alasan untuk berjaya.

Syamsul juga berkata beliau pernah merujuk dengan beberapa pengarah dalam menghasilkan karya berkualiti.

” Saya sendiri pun pernah merujuk kepada pengarah tempatan antaranya bapa saya, Aziz M Osman, Ahmad Idham dan ramai lagi. Banyak yang saya belajar daripada mereka.

” Dari situ, saya wujudkan identiti karya saya sendiri. ukan saya nak buruk-burukkan, tapi masih ada juga pengkarya di luar sana yang berpuak-puak dan itu sangat menyedihkan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Happening Betul! Jom Leypark Di B5 Johor Street Market Sempena Aidiladha

Program Pelaris Challenge & Infaq Wanita Muda Soleque X Putra Amaris