in , ,

Margosa Lancar Single Terbaru Berjudul Bernafas dan Terus Bernyawa

Kumpulan yang sedang meningkat naik, Margosa kini tampil dengan buah tangan terbaru untuk para peminat menerusi single Bernafas dan Terus Bernyawa (BDTB).

Margosa yang dianggotai Resya Rahman selaku vokalis, Raja Nazrin Shah (vokalis & gitaris) dan Pjay Hamzah (gitaris) pastinya mempunyai interpretasi tersendiri mengenai lagu ini.

Menurut Raja Nazrin yang juga penulis BDTB, lagu ini berkisarkan tentang meraikan pertemuan yang indah selepas dua insan berjauhan. Menyentuh soal keistimewaan pula, lagu ini tidak mengikut mana-mana tren kerana ia dihasilkan dengan keunikan tersendiri.

Margosa Lancar Single Terbaru Berjudul Bernafas Dan Terus Bernyawa

“Lagu ini adalah tentang meraikan cinta antara dua jiwa yang berjauhan, pada satu masa kita raikan dengan pertemuan yang cukup indah sekali”.

“Istimewanya lagu ini bagi saya sebagai penulisnya, ia tidak ikut mana-mana trend, jadinya tak nampak terlalu mencuba untuk mengikut arus. Kita ikhlas menghasilkan lagu ini dan memasukkan sesuatu yang unik seperti elemen penggunaan rebana dan sebagainya. Untuk cara nyanyian, kita campurkan dengan bunyi yang moden seperti vokal R&B disulami susunan yang sangat minimal,” katanya bagi pihak Margosa.

Bercakap tentang cabaran yang dilalui kumpulan ini, mereka mengubah perancangan dengan membatalkan hasrat untuk berkolaborasi dengan seorang rapper atas sebab yang kukuh.

“Antara cabaran yang kami lalui, pada asalnya kami mahu jadikan lagu ini sebagai kolaborasi dengan penyanyi lain dan mahu meletakkan rap di bahagian pengantar. Kami sudahpun fikir siapa rapper yang dimahukan, tapi bila fikir semula, tak sesuai untuk letakkan rap di bahagian tersebut. Jadi kami teruskan sahaja lagu ini dengan band kami,” jelasnya.

Dalam pada itu, Raja Nazrin juga mendedahkan bahawa BDTB telah diciptanya pada tahun 2013. Meskipun melangkau masa bertahun-tahun, dia percaya lagu yang disimpan lama mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Sejujurnya lagu ini dicipta pada tahun 2013, tapi kalau yang mengenali diri saya, kebanyakan lagu saya memang diperam. Apabila diperam lama, mungkin pada satu hari lagu itu akan jadi terbaik, Insya-Allah. Jadi, selepas sembilan tahun diperam, lagu ini terhasil dengan jayanya.

“Untuk proses rakaman, kami habiskan lapan jam bersama-sama dan kami menggunakan hadiah kemenangan kami dari Anugerah Lagu Indie (ALI2020) untuk membuat rakaman lagu ini di studio Kamar Seni, Cheras,” katanya lagi.

Margosa Lancar Single Terbaru Berjudul Bernafas Dan Terus Bernyawa

Setiap pengkarya tentunya mahu taruhan mereka disambut baik oleh peminat. Justeru, Margosa berharap agar para pendengar menerima serta menghargai BDTB memandangkan ia juga merupakan satu pembaharuan genre lagu yang dibawakan oleh mereka.

“Lagu ini adalah satu eksperimentasi bagi saya dan Margosa. BDTB menjadi satu tanda aras dan nafas baru di mana ia adalah lagu ‘major mood’ daripada kami. Kalau sebelum ini orang kenal Margosa hanya dengan lagu-lagu sedih. Memandangkan lagu ini merupakan sesuatu yang berbeza, kami harap mereka yang pernah mendengar lagu-lagu Margosa boleh menerima idea baru kami ini. 

“Saya harap anda boleh melapangkan dada untuk mendengar BDTB dan jangan terlalu cepat menilai kerana pada mulanya mungkin kedengaran janggal, tapi cuba dengar sampai habis dan dengar dulu dua ke tiga kali, Insya-Allah melekat,” katanya.

Margosa Lancar Single Terbaru Berjudul Bernafas Dan Terus Bernyawa

Sementara itu Pjay juga mempunyai harapan sama kerana baginya, belum banyak lagu seperti BDTB dihasilkan dalam pasaran industri muzik tanah air.

“Semoga para pendengar menghayati lagu ini dengan pemikiran yang terbuka kerana tak banyak ada jenis lagu seperti ini, terimalah sesuatu yang baru daripada kami,” tambahnya.

Bernafas dan Terus Bernyawa boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Margosa Lancar Single Terbaru Berjudul Bernafas Dan Terus Bernyawa

Kredit

Artis: Margosa

Tajuk: Bernafas dan Terus Bernyawa

Produser: Raja Nazrin Shah

Komposer: Raja Nazrin Shah

Penulis Lirik: Najmie Des Panik

Margosa Lancar Single Terbaru Berjudul Bernafas Dan Terus Bernyawa

MENGENAI MARGOSA

Kumpulan Margosa mula ditubuhkan pada tahun 2018 dan dianggotai oleh Resya Rahman selaku vokalis, Raja Nazrin Shah (vokalis dan gitaris) dan Pjay sebagai pemain bass. Kumpulan ini memegang satu misi untuk memasuki arus perdana di pasaran muzik tempatan.

Meskipun masih bergelar pendatang baru dalam industri hiburan, Margosa bagaimanapun telah meraih pelbagai pencapaian antaranya menjuarai Anugerah Lagu Indie 2020 menerusi lagu mereka yang berjudul Penawar. Dalam pertandingan itu, mereka berjaya menumpaskan 12 peserta lain yang berentap.

Selain itu, Margosa juga pernah membuat persembahan tribute untuk Paramore dan antara yang terbaru, mereka berjaya menggamatkan suasana dengan persembahan memukau di acara Malam Galau Indonesia baru-baru ini.

Sebelum ini juga, Margosa telah melancarkan album berjudul The Phase. Kumpulan ini juga pernah dipilih untuk membuat persembahan dalam menyokong siri jelajah kumpulan Tiny Moving Parts pada 2020 di Singapura, Thailand dan Vietnam.

Terdahulu, Margosa melancarkan single hasil nyanyian bersama Aepul Roza, Cinta Pasti Bersatu yang telahpun memasuki carta Muzik-Muzik 37. Kini, taruhan terbaru mereka pastinya Bernafas dan Terus Bernyawa yang menjanjikan sisi kelainan dan keistimewaan tersendiri.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Portal Featured Zero 3 1 | 13

Adidas Menghimpun Artis Tempatan di The Adidas Originals Nmd Cypher 

Kris Norynn

Konsert Kris Dayanti & Noryn Aziz: Duo Diva Live In Malaysia di MINES