in

Mamat Exists Bebas Dengan Jaminan Polis

Selepas ditahan polis atas kesalahan dadah pada Ahad malam, vokalis Exists, Mamat dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis sekitar pukul 4.30 petang Selasa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim yang berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara , keadaan Mamat sangat baik dan dia begitu tenang sebaik dibebaskan.

Shirazdeen berada di Johor Bahru untuk membawa Mamat ke Kuala Lumpur bagi memberi tumpuan pada latihan dan persiapan konsert Exists Reunion pada 28 September ini.

“Alhamdulillah, keadaan Mamat okey. Saya belum sempat berbual panjang dengan dia. Kami akan berangkat ke Kuala Lumpur petang ini juga,”

– Shirazdeen Karim

Pada Ahad malam, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamaruddin ditahan oleh polis di Taman Perling, Johor.

Penahanan Mamat, 41, itu difahamkan ada kaitan dengan kesalahan dadah semasa menunggang motosikal bersama seorang rakannya.

Sementara itu, Shirazdeen juga berkata, selaku penganjur konsert reunion, Shiraz Projects sedang merancang untuk mengundang wartawan dalam sidang media bersama Mamat.

“Kami ada rancangan untuk buat sidang media untuk menjelaskan situasi sebenar selain memaklumkan mengenai perkembangan konsert Exists Reunion,”

– Shirazdeen Karim

Berita baik ini juga dikongsi oleh Shiraz bersama anggota-anggota Exists Reunion yang lain.

Tiada yang terbaik untuk kami lafazkan selain mengucap syukur ke hadrat Allah SWT. Terima kasih kepada pihak penganjur Shiraz Projects yang sangat peka dan prihatin. Ini menunjukkan pihak penganjur konsert kami menjalankan tanggungjawab yang lebih dari komitmen sebenarnya. Perkara sebegini harus dicontohi oleh yang lain,”

Kami amat menghargai sokongan yang anda berikan dan Shiraz Projects akan sentiasa berkongsi perkembangan mutakhir mengenai konsert Exists Reunion dari semasa ke semasa, “

– Exists Reunion

Pihak Shiraz Projects juga berterima kasih pada semua pihak yang tidak putus-putus bertanya khabar dan prihatin dengan situasi yang melanda.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pengguna Boleh Kemaskini Apple iOS 13 Bermula 20 September Ini

Peraduan Premiere With Budiey Menonton Filem PLAYMOBIL: THE MOVIE