in , ,

M. Nasir & Jamal Abdillah Bergabung dalam Konsert Duo Legenda

Konsert yang pertama kali menggandingkan Jamal dan M. Nasir itu diadakan selama empat malam berturut-turut bermula 20 hingga 23 Disember 2018 di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Memilih Datuk M. Nasir untuk bergandingan menjayakan Konsert Duo Legenda, Datuk Jamal Abdillah, 59, mengakui, sudah lama menyimpan hasrat untuk berkolaborasi dengan Sifu Muzik itu.

Seperti juga dirinya yang mempunyai ramai peminat, terkenal dengan jolokan Raja Pop Malaysia sebagai penyanyi legenda yang mempunyai pengikut tersendiri pastinya memberikan nilai tambah kepada gabungan mereka dengan suatu persembahan yang akan menjadi memori.

Konsert Duo Legenda

Penganjur: Binjamal Event Sdn Bhd
Tempat: Panggung Sari, Istana Budaya
Jenis: Konsert
Tarikh:20 – 23 Disember 2018
Masa:8.30PM
Harga Tiket:RM158 – RM1000
Hotline:03-2170 6333

“Sudah tentu saya mahu berkolaborasi dengannya kerana dia seorang legenda dan sifu dalam industri muzik tempatan. Ini pilihan yang tepat,” – Jamal Abdillah.

Mengakui dia juga teringin untuk menjalinkan kerjasama dengan penyanyi Wany Hasrita di pentas yang sama, bagaimanapun perancangan tersebut tidak menjadi.

“Saya tengok dia banyak cover lagu saya dalam YouTube seperti Rayuan Maut serta Kekasih Awal dan Akhir dan merasakan itu satu idea baik untuk menjemputnya menyertai konsert ini. Malangnya pengurusan Wany Hasrita tidak lepaskannya.

“Kemudian kawan mencadangkan nama Cassidy Anderson yang selalu menyanyikan lagu-lagu saya dan dia petah berbahasa Melayu. Dia turut menyanyi lagu Aku Penghibur dan Sandarkan Pada Kenangan.

“Saya tertarik untuk bawa dia dalam konsert ini bagi menggantikan Wany,” kata Jamal yang mengundang penyanyi Australia itu untuk menjadi artis pembuka tirai.

M. Nasir & Jamal Abdillah Bergabung dalam Konsert Duo Legenda

Bercerita tentang persiapan Konsert Duo Legenda, Jamal akan menyajikan satu segmen santai bersama-sama M. Nasir.

“Untuk segmen santai ini, kami akan bercerita tentang perkara orang jarang dengar dan mengimbau nostalgia kami sewaktu pertama kali bertemu di Lion Studio, Singapura.

“Saya dulu suka nyanyi lagu-lagu ciptaan M. Nasir untuk Flybaits malah ketika menjuarai Bintang RTM pun saya menyanyi lagu ciptaan M. Nasir, Senandung Semalam,” katanya yang turut menyimpan impian untuk berduet Datuk Awie dan Amy Search.

Tun Dr. Siti Hasmah bakal buat penampilan khas di konsert Duo Legenda

Isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali bakal membuat penampilan khas semasa Konsert Duo Legenda Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir yang dijadualkan berlangsung pada bulan Disember depan.

Berita gembira berkenaan dikongsi oleh Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah semasa sidang akhbar pengumuman konsert yang berlangsung di Istana Budaya bermula 20 hingga 23 Disember depan.

“Terdapat salah satu malam untuk VVIP iaitu pada 22 Disember nanti akan menampilkan Tun Dr. Siti Hasmah.

“Istimewanya Tun akan menggesek biola mengiringi nyanyian saya bersama Datuk M. Nasir untuk sebuah lagu,”

Tambah Jamal, segmen berkenaan sengaja diadakan bagi mengutip dana untuk disalurkan kepada golongan kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim dan pusat jagaan orang tua.

“Kami akan menjemput mana-mana badan korporat untuk hadir menghulurkan bantuan, dalam masa sama mereka boleh berhibur.

“Saya juga terharu apabila Tun begitu teruja dan menerima pelawaan saya ini dengan hati terbuka. Malah, Tun Dr. Mahathir juga akan datang menonton konsert pada malam VVIP nanti,”

Selain tetamu VIP, penyanyi dari Australia, Cassidy Anderson juga akan dipanggil sebagai artis undangan untuk keempat-empat malam konsert berlangsung.

M. Nasir & Jamal Abdillah Bergabung dalam Konsert Duo Legenda

Momen Lamar Tun Siti Hasmah

Dalam pada itu, Jamal berkata, pada malam ketiga persembahan (22 Disember), satu segmen istimewa yang menampilkan isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali sebagai tetamu khas.

Katanya, Dr. Siti Hasmah begitu teruja dan terus menyatakan persetujuan apabila dia melamarnya untuk bermain biola pada konsert itu.

“Sewaktu perjumpaan, beliau pegang tangan isteri saya tak lepas-lepas. Duduk berbual macam anak beranak. Saya senang dapat bertemu dengan beliau tanpa perlu prosedur yang ketat,”

Bakal mengiringi lagu Gubahanku yang akan dinyanyikan secara duet dengan gesekan biola, segmen itu juga bertujuan untuk mengutip dana bagi mereka yang memerlukan.

“Segmen khas ini akan dijual secara santai kepada pihak korporat yang sanggup membeli dan kutipan akan disalurkan kepada orang yang memerlukan dan anak yatim.

“Kami tidak menetapkan jumlah kutipan, semua itu terpulang kepada pihak penaja, Shahpadu yang akan menghantar jemputan khas kepada pelanggan mereka.Tugas saya menghiburkan,”

M. Nasir & Jamal Abdillah Bergabung dalam Konsert Duo Legenda

Berbeza tapi ada persamaan – M. Nasir

BUKAN tidak pernah bekerjasama sebelum ini, namun Konsert Duo Legenda merupakan kolaborasi julung kalinya buat mereka dan akui Datuk M. Nasir, 61, dia berbesar hati menerima pelawaan Jamal Abdillah kerana sudah lama mengenali penyanyi itu.

Mengakui bukan sikapnya bergandingan dengan rakan artis, namun berbeza dengan Jamal kerana biarpun hala tuju muzik mereka berbeza, tetapi mereka mempunyai persamaan dari segi pengalaman dan pemikiran.

Menyingkap semula pengenalan mereka, kata M. Nasir, semuanya bermula apabila Jamal bergelar juara Bintang RTM 1979 menerusi lagu Senandung Semalam, dendangan kumpulan Alleycat yang dicipta oleh M. Nasir.

Kata M. Nasir, pada waktu itu, lagu Senandung Semalam yang dimuat dalam album Melayu pertama Alleycat kurang mendapat sambutan di Malaysia berbanding di Singapura.

“Bagaimanapun selepas Jamal mendendangkan lagu tersebut pada pertandingan itu, lagu tersebut terus melonjak.

“Kerjasama kami diteruskan untuk filem Azura dan ketika itu baru saya dapat bertemu dengan Jamal. Azura merupakan lagu pertama ciptaan saya untuk Jamal yang dirakam di Lion Studio, Singapura,” katanya yang turut mencipta lagu Sandarkan Pada Kenangan untuk filem Azura, lakonan Jamal.

Sering berkolaborasi di pentas yang dianjurkan oleh pihak RTM, malah dia juga pernah menjemput Jamal sebagai penyanyi undangan pada salah satu konsertnya.

“Dia seorang penyanyi balada yang punya kedudukan tinggi dalam genre ini. Saya yakin ramai yang akan menonton kerana mahu melihat Jamal menyanyi. Dia tidak perlu gimik untuk tarik perhatian ramai,” katanya.

Menyentuh tentang perkembangan terkini, kata M. Nasir, dia sedang menyiapkan single baharu.

Jelasnya, dia mengambil masa yang lama kerana perlu meneliti minat pendengar sekarang.

“Dunia hiburan sudah berubah. Saya perlu hasilkan lagu kontemporari agar seiring dengan kehendak semasa.

“Saya tak terlalu ikut gaya sekarang tapi saya sedar untuk memasarkan lagu-lagu ciptaan saya pada masa ini adalah satu cabaran.

“Sebenarnya kita tak boleh baca kehendak orang sekarang yang begitu terikat dengan dunia sosial media.

“Ada yang pandai manipulasi lagu tersebut untuk tular dan saya tak akan ikut cara itu. Saya lebih suka menitikberatkan kualiti,” katanya.

Untuk membeli tiket, anda boleh menghubungi Hotline: 03-2170 6333 atau boleh melayari www.ilassotickets.com

Sumber: Utusan Malaysia

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Mengidap Kanser Esofogus Tahap 4 Zaibo Kini Berehat di Johor

Reed Hasting, Netflix CEO di SEE WHAT’S NEXT: ASIA 2018

Ad Blocker Detected

Refresh