in , ,

Liyana Jasmay Akhirnya Buka Pekung di Dada, Kisah Dua Bulan Yang Suram

DUA tahun ini menjadi dugaan terbesar dalam hidup pelakon Liyana Jasmay dan keluarganya. Kehilangan dua insan tercinta iaitu ibu bapanya terlalu sukar ditelan dan masih membekas di hati.

Liyana Jasmay, 35, mengakui pemergian itu membuatkan dia merasa tempang dalam hidupnya. Ini kerana ibu bapanya Allahyarham Datuk Jasmay Md Shah dan Datin Habsah Simpon menjadi tiang terpenting untuknya bersandar selama ini.

Bagaimanapun, dia akan sentiasa memperingati segala apa diajari mereka buat pedoman harian. Baginya, semangat merekalah yang dia pinjam tatkala pada hari dia dirundung kesedihan.

“Arwah ibu bapa peminat nombor satu saya. Jadi kadang-kadang waktu yang saya rasa nak putus asa ataupun penat, saya sentiasa ingatkan diri memiliki dua peminat terbaik dalam dunia.

“Memang jasad mereka tiada di sini, tapi saya tahu saya harus buat mereka bangga selamanya. Perjalanan sebagai anak seni memang tak pernah senang. Ada turun naiknya, pergelutan, orang tolak depan-depan muka, hari ini orang suka, esok tidak lagi.

“Namun bagaimana kita harus kekal waras? Kewarasan saya sentiasa disebabkan ibu bapalah. Segala kenangan pernah mereka berikan,” katanya ditemui pada sidang media drama terbaru lakonannya berjudul Alter Naratif untuk Viu baru-baru ini.

Liyana akhirnya membuka pekung di dada bagaimana dua bulan ini menjadi tempoh suram buatnya. Dia akui tidak bersedia dengan pemergian ibunya Habsah pada 11 Mei lalu.

Katanya, terlalu pantas proses itu berlaku dengan agenda lain termasuk kesibukan kerjayanya. Cuma sekarang, barulah dia benar-benar rasa berlapang dada dengan ketentuan itu.

“Ramai bertanya kenapa tak beritahu. Susah nak cakap kerana kami terlalu tersekat dalam kesedihan itu. Masing-masing hilang kata. Ia berlaku tiba-tiba dan kami lambat dapat tahu.

“Dua bulan kebelakangan ini memang berat buat saya. Pada masa sama, saya kena kerja dan berjumpa orang dengan senyuman. Banyak beban berkumpul dalam hati saya.

“Tapi saya reda kerana ibu di tempat lebih baik. Dia tidak lagi menderita kesakitan. Apa yang boleh saya kirimkan hanya doa kami sebagai anak dan jalankan tanggungjawab yang dipesan,” katanya.

Beralih topik kerjaya seninya pula, Liyana terus mensyukuri ingatan ramai terhadap kelibatnya dalam industri. Baginya, rezeki pernah mendapat watak menonjol selama ini sangat bermakna besar.

“Saya rasa karakter menonjol saya yang terakhir menerusi Papadom 2. Selepas itu adalah berlakon, tapi tak ada karakter yang betul-betul menonjol.

“Jadi pelakon di Malaysia ini, bila dapat karakter menonjol, orang akan ingat sampai bila-bila. Jadi, Alhamdulillah untuk karakter menonjol sebelum ini.

“Orang terfikirkan kita itu adalah rezeki. Saya memang sentiasa berdebar kalau berlakon,” katanya.

Demikian juga dirasakan Liyana selepas terbabit dalam drama Alter Naratif arahan Faisal Ishak itu. Katanya, dia memang tidak mensia-siakan peluang apalagi digandingkan dengan Nabila Huda.

“Walaupun sudah berlakon sejak umur sembilan tahun, saya kenal abang Faisal sebagai kawan, tapi tetap hormatnya sebagai pengarah. Saya memang tak sia-siakan peluanglah, insya-Allah.

“Motto saya setiap apa saya dapat, saya akan buat yang terbaik. Tak kisahlah buat untuk TV biasa, TV premium, filem, saya tak suka sia-siakan orang, tak suka susahkan orang kat set.

“Jadi bila dapat tawaran macam Viu ini, saya dengar saja dengan Nabila dan Faisal, tak tahu nak cakap tidak. Kebetulan jadual saya pun kosong, saya terus okay,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

“Maaf, Saya Bukan Lagi Duda Pilihan Anda!” – Sharnaaz Bertunang?

Ifa Raziah Mohon Maaf Isu Tarian Tak Sopan di StarVendors Foodstival