in ,

Layar Isnin Tayang Filem Pilihan Sepanjang Ogos

Slot Terbaru : Layar Isnin Tayang Filem Pilihan Sepanjang Ogos Ini Di TV2

Berhibur dengan filem-filem Melayu terbaik dalam slot terbaharu “Layar Skrin” yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang Ogos ini, setiap Isnin, jam 10.00 malam menerusi saluran TV2.

Empat filem dipilih bermula Apa Kata Hati (6 Ogos 2012), Getaran (13 Ogos 2012), Jaket Biru (20 Ogos 2012) dan sebuah filem berunsur patriotik yang tayangannya khas meraikan sambutan Merdeka, Sarjan Hassan (27 Ogos 2012).

Filem Apa Kata Hati (2008) lakonan Raja Farah, Farid Kamil, Awal Ashaari, Dynas, Awie, Ogy Ahmad Daud, Harun Salim Bachik dan AC mengangkat kisah pegangan hidup seorang gadis bernama Elly seorang pereka fesyen muda bekerja di Butik Karya Anggun. Elly seorang gadis ceria dan berfikiran positif, diuji dengan satu pemberian yang memang diimpikan oleh semua wanita iaitu dapat membaca fikiran lelaki. Namun Elly menganggap itu satu sumpahan apabila dia banyak mendengar yang tidak baik berbanding yang baik. Dengan pemberian itu juga, Elly jadi keliru dalam membuat pilihan teman hidup. Kebuntuan tersebut mendorong Elly mengikut kata hati. Apakah Elly berjaya membuat keputusan tepat dengan menurut kata hati?

Raja Farah dan Farid Kamil dalam filem Apa Kata Hati

Tidak dinafikan antara daya tarikan filem Getaran (2001) yang menyusul kemudiannya pula datang daripada watak-watak anggota kumpulan Kristal yang yang cukup popular ketika itu dengan single lagu Seragam Hitam. Begitu juga watak Awie yang melakonkan watak seorang mekanik yang berusaha mahu menjadikan anak didiknya menjadi artis terkenal. Pada masa sama dia jatuh cinta pada Mona yang menimbulkan dendam dalam diri Zamri yang meminati Mona.

Satu hari Awie dibelasah teruk oleh Zamri hingga mengakibatkannya hilang ingatan. Sejak itu perjuangan Kumpulan Kristal semakin pudar tanpa semangat dan dorongan Awie. Namun adakah situasi itu mampu dipulihkan? Filem ini menggandingkan Awie, Fiza Elite, Faizal Hussein, Aida Khalida, Opie Zami dan anggota Kumpulan Kristal.

Imbas kembali filem lakonan Ebby Saiful, Raja Noor Baizura, Isma Aliff dan Yazid Sobrani dalam Jaket Biru (1991) yang berkisar kisah berlaku apabila pihak polis berjaya menumpaskan satu kumpulan penyeludupan gadis-gadis cantik ke luar Negara yang diketuai oleh Murad. Tanpa bukti, mereka tidak dapat membuat tangkapan. Pihak polis menubuhkan pasukan ‘Jaket Biru’ dan menjalankan kegiatan serupa. Kedua-dua kumpulan ini bergabung. Akhirnya kumpulan ini ditumpaskan oleh Inspektor Faridah yang menyamar sebagai gadis cantik.

Semarakkan semangat cintakan negara yang aman dan harmoni dengan menyaksikan filem Melayu klasik, Sarjan Hassan (1958) yang menemui penonton khas semepena meraikan bulan kemerdekaan ini arahan dan lakonan Tan Sri P. Ramlee di samping pelakon Datin Saadiah, Jins Shamsudin dan Salleh Kamil.

Filem ini pastinya menyumbang kepada mengembalikan ingatan terhadap susah payah dan jerih perih pengorbanan pejuang-pejuang negara dalam melaksanakan misi mempertahankan negara akibat serangan musuh dan pengkhianat negara disampaikan menerusi watak utamanya, Sarjan Hassan. Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan daripada bapa angkatnya daripada menganggotai askar, Hassan nekad meneruskan cita-citanya. Dengan semangat yang gigih Hassan berjaya dilantik sebagai sarjan dan kemudiannya menangkap musuh yang mengkhianati negara.

Kongsikan variasi plot filem-filem sarat pengajaran ini hanya di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Siti Nurhaliza Lancar Koleksi Eksklusif Kosmetik BEJEWELED

Shahrizal Jazle Jadi Samseng & Perompak Dalam Telemovie Cinta Getir