in , ,

Lagu Raya Ernie Zakri ZAPIN LEBARAN Dirakam Dalam Tempoh Berpantang

Penyanyi Wanita Bersuara Emas Tanah Air Rakamkan Single Raya Terbaharu Ketika Dalam Tempoh Berpantang

Walaupun baharu sahaja bergelar ibu kepada puteri comel, Nur Khawla Soleha Binti Syameel Aqmal, penyanyi wanita bersuara emas tanah air, Ernie Zakri hadir dengan single Raya solo berjudul ‘Zapin Lebaran’, hasil ciptaannya sendiri dengan penyanyi-penggubah lagu berbakat, Yuka Kharisma, dan diterbitkan oleh label hiburan Rocketfuel Entertainment.

“Alhamdulillah, perasaan gembira itu tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata apabila menimang cahaya mata pertama, saya juga turut merasa sedikit gementar kerana tidak sabar hendak membesarkan puteri sulung kami. 

“Walaupun sekarang saya sedang fokus dengan anak, namun naluri seni saya terpanggil untuk merakamkan lagu Raya baharu pada tahun ini,” kata pemenang vokal terbaik AJL ke-32 dan 35.

Klasik Pilihan Ernie Zakri Menerusi ‘Zapin Lebaran’

Menurut Ernie, ini merupakan single Raya solonya yang pertama kerana sebelum ini beliau belum berkesempatan berbuat demikian. 

“Sudah lama saya idamkan hendak merakamkan lagu Raya sendiri, lalu saya mempelawa rakan pemuzik, Yuka Kharisma untuk turut serta dalam penghasilannya. 

“Kami mengambil masa selama beberapa hari sahaja untuk mencipta lirik dan melodinya, manakala proses rakamannya pula dilakukan di rumah saya ketika masih lagi berpantang,” kongsi Ernie.

Zapin Lebaran mengangkat martabat irama tradisional Melayu asli berentak zapin yang diperindahkan lagi melalui alunan petikan instrumen gambus yang menggamit nostalgia Raya zaman dahulu kala.

Jelas Ernie: “Saya terinspirasi menciptakan lagu ini kerana pandemik COVID-19 yang melanda kita semua, hampir 2 tahun kita diduga dan 2 tahun jugalah kita tidak dapat beraya bersama keluarga tercinta dan rakan taulan.

Zapin Lebaran bermaksud sambutan meraikan hari kemenangan kita sebagai umat Islam, bukan sahaja dari menahan lapar dan dahaga, tetapi juga ujian dari yang Maha Kuasa. Mungkin ada sinar harapan pada tahun ini apabila dapat merasa kembali suasana Raya setelah beberapa tahun tidak dapat menjenguk keluarga yang berada jauh di kampung halaman.

Video muzik single ini masih lagi dalam perancangan dengan konsep Raya yang tidak keterlaluan namun masih dalam suasana keraian.

Encik Erick Yew, Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment berkata, “Komitmen yang ditunjukkan Ernie sebagai penyanyi wajar dijadikan contoh, tempoh berpantang bukan penghalang bagi dirinya untuk terus berkarya.

“Semoga Zapin Lebaran dapat dinikmati oleh kesemua masyarakat Malaysia ketika menyambut Hari Raya nanti dan memeriahkan lagi sambutan pada tahun ini.

Namun Aidilfitri bagi pasangan selebriti popular pada tahun ini pastinya berbeza kerana ketiadaan ibu serta mertua tercinta.

“Walaupun sedih tanpa kehadiran ibu mertua, anak menjadi penyeri Raya kami nanti, Syamel dan saya sangat rapat dengan keluarga jadi perbezaan itu akan jelas terasa.

“Saya berharap semua dapat menikmati lagu ini dengan penuh kegembiraan setelah puas berkorban, dan semoga lagu ini sentiasa mekar menjadi di antara lagu-lagu Raya yang malar segar.

Lagu ‘Zapin Lebaran’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Tajuk : ZAPIN LEBARAN

Artis : Ernie Zakri

Penulis Lirik : Ernie Zakri & Yuka Kharisma

Komposer : Ernie Zakri & Yuka Kharisma

Terbitan : Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.

Verse 1:

Sudah sebulan kita berpuasa

Penat menahan lapar dan dahaga

Bahagia rasa ku sebagai hamba

Dipertemukan hari yang ku damba ~ 

Pre cho:

Walaupun ku dikejutkan

Zaman yang penuh keresahan

Ku tahu ada cahaya

Dan kini Syawal dah menyapa

Chorus:

Selamat hari aidilfitri 

Maafkan zahir dan batin

Selamat hari aidilfitri

Semoga semua ibadah diberkati (2x)

Verse 2:

Gembira menyapa di bulan Syawal

Sanak saudara ada dijiwa

Syukuri sambut sederhana

Takkan di lupa pesanan Nya

Chorus:

Selamat hari aidilfitri (aidilfitri)

Maafkan zahir dan batin (dimaafkanlah)

Selamat hari aidilfitri

Semoga semua ibadah diberkati (2x)

Selamat hari aidilfitri 

Maafkan zahir dan batin

Selamat hari aidilfitri

Semoga semua ibadah diberkati (2x)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Arja Lee | 21

Semakin Maju & Sukses, Arja Lee Kini Pensyarah Di Universiti Malaysia Kelantan

Forceparkbois

FORCEPARKBOIS Lancar Single Rap Berjudul TOPBOI, Kisah Tentang Kereta