in

Lagu Paling Best Dalam Album Reunion XPDC – Rasopariso

Kumpulan XPDC bukanlah nama asing bagi peminat-peminat muzik rock tanahair. Kelahiran kumpulan ini pada tahun 1989 sudah mencecah 20 tahun usianya.

Seawal penglibatan mereka di dalam industri muzik tanahair atas nama XPDC dengan lagu mengeja; C.I.N.T.A. yang ditampilkan sebagai single pertama XPDC ketika itu menjadi bahan ejekan sesetengah pihak. Namun atas sikap berdiri dan berpegang pada pendirian mereka lagu tersebut berubah menjadi satu kejutan, juga satu fenomena baru sehingga menjadi melodi siulan ramai.

Di puncak kejayaan mereka, XPDC telah merubah dan mewarnai selera muzik tanahair dengan lagu-lagu pop yeh-yeh yang dimetalkan melalui album berkonsep Metal 60’AN dan album METAL 50’60’AN. Walaupun kreativiti itu dikecam hebat oleh pelopor-pelopor lagu-lagu 60’an kerana dikatakan telah merosakkan imej lagu-lagu berentak 60’an tersebut, XPDC tetap dapat menawan hati peminat-peminat muzik rock & heavy metal waktu itu.

Walaupun pada mulanya lagu hit’s pertama mereka (C.I.N.T.A.) menjadi bahan ejekan dan idea-idea kreatif dalam album METAL 60’AN mereka mendapat kecaman, akhirnya XPDC berjaya memegang tunggak industri muzik era 90’an sebagai kumpulan rock tanahair yang unggul selepas kumpulan SWEET CHARITY untuk era hujung 70’an dan selepas keunggulan kumpulan SEARCH untuk era 80’an.

XPDC muncul dari pepecahan kumpulan asal ‘Tragedy’. Ketika itu Tragedy dianggotai Yazid (drum), El (Vocal), Man Tobey (bass) dan Izo (gitar). Di dalam pembabitan awal kumpulan ini, mereka telah melalui pelbagai peristiwa pahit dan manis, dari ditipu ‘promoter show’ sehinggalah penyelewengan dalam pengurusan sehinggalah penarikan diri beberapa anggota asal kumpulan ini. Jesteru itu kumpulan Tragedy telah dibubarkan dan melalui perbincangan dan kata sepakat dari ahli kumpulan maka lahirlah ‘XPDC’ yang mempunyai mesej dan perjuangannya.

Nama kumpulan XPDC ini adalah ilham dari Allahyarham Zul Adnan Mohd Razali atau lebih dikenali dengan nama penanya J.S. Kevin. XPDC diperkenalkan ke LIFE RECORDS oleh saudara JS Kevin yang kemudiannya bertindak sebagai penerbit album mereka yang pertama iaitu ‘DARJAH SATU’.

Ketika itu XPDC dikatakan menjadi satu kejutan dan dianggap satu fenomena di dalam industri muzik tanahair apabila lagu mereka C.I.N.T.A. yang menggunakan konsep mengeja di dalam melodi menjadi siulan ramai.

J.S. Kevin yang telah meninggal pada 7 Ogos 2002, tidak dapat dinafikan bakat serta kebolehannya mencipta lirik dan lagu-lagu ‘berhantu’ juga mentadbir konsep seni untuk kumpulan XPDC. Bakat serta ketajaman skil beliau tidak berakhir begitu sahaja. Berkat kesabaran dan ketekunan akhirnya telah membuahkan kejayaan bagi saudara Mohd Zulkifly Nik Hussin atau lebih di kenali sebagai IZO XPDC mewarisi kebolehan serta bakat J.S. Kevin.     

Anggota asal XPDC ini terdiri dari El/Mael (vokal), Izo (gitar), Zuar (bass) dan Lee (drum) yang kemudiannya digantikan oleh Amy dari kumpulan ‘Handy Black’ ketika proses rakaman album sulung XPDC  ‘DARJAH SATU’ dilakukan. Album ini mula dirakamkan sejak 1989 lagi tetapi hanya mula dipasarkan pada September 1990 kerana mengalami beberapa masalah termasuk penukaran anggotanya. Album ini pernah dibekukan rakamannya selama 6 bulan kerana masalah tersebut.

Walaupun album sulungnya dipasarkan sejak 1990 tetapi nama XPDC mula berada di kemuncaknya melalui album ketiga mereka; KITA PENG YU (1994). Dua lagu dari album ini iaitu BAHALOL dan NAFISA telah di “mixing” dan “mastering” di USA.

Album ini adalah antara album artis tempatan pertama yang diberi peluang sebegitu. Album BRUTAL yang juga merupakan album terakhir Mael bersama XPDC adalah album yang terlaris jualannya. Album ini terjual sehingga mencecah ke angka 350,000 unit. Album ini berada di tangga pertama untuk beberapa minggu di Carta RIM sejak ianya mula dicalonkan dan menduduki takhta top 20 sehingga melebihi 60 minggu.

Album METAL 60’AN yang mengabungkan irama lagu-lagu hit tahun 60’an yang disesuaikan dengan konsep muzik XPDC telah menyuntik banyak artis lain tampil dengan album berkonsepkan sedemekian. Album ini juga dikatakan sebagai penyelamat Industri Muzik Tanahair ketika negara mengalami kegawatan ekonomi.

Penampilan XPDC yang paling berani adalah melalui album UN’METAL (1999). XPDC yang sebelumnya lebih berteraskan irama ROCK HEAVY METAL telah mengubah iramanya ke lebih lembut melalui album ini.Album ini bukan sahaja menampilkan lagu-lagu secara unplagged juga diiringi dengan konsep mini orkestra. Selepas kelahiran album ini, banyak album artis lain yang menampilkan sekurang-kurangnya sebuah lagu dengan muzik iringan orkestra ini.

Ketika Industri Muzik tenat, XPDC adalah antara segelintir artis yang terselamat dan album-albumnya masih tetap mendapat sambutan hangat.

ALBUM PALING SUKAR DIRAKAMKAN

Album keempat XPDC iaitu BRUTAL (1997) dirakamkan ketika Mael mengambil keputusan untuk keluar dari kumpulan ini. Walaupun perit tetapi ianya tetap disiapkan selepas 3 tahun terbengkalai rakamannya. Lagu HENTIAN INI telah dicipta oleh J.S.Kevin 5 tahun sebelum ianya dirakamkan. Ramai yang meramalkan album ini sebagai titik noktah XPDC namun mereka tetap gagah berdiri dan semakin mengganas dengan penyanyi baru mereka Ali.   

PENCIPTA LAGU DAN PENULIS LIRIK

XPDC hanya menampilkan J.S.Kevin, IZO dan MAEL sebagai pencipta lagu dan lirinya. Walaupun banyak menerima sumbangan lagu tetapi kombinasi komper tersebut lebih bersesuaian dengan konsep muziknya. Penulisan liriknya banyak dimonopoli oleh J.S.Kevin. Loloq mula mendapat tempatnya sejak album KITA PENG YU.

ANGGOTA XPDC

IZO dan ZUAR adalah anggota asal yang masih bertahan sehingga kini. LEE menganggotai XPDC tidak sampai setahun sebelum digantikan oleh AMY (1990-1999). kemalangan jalanraya yang melanda AMY pada tahun 1998 telah mengundang LOLA sebagai pemuzik undangan dan 2 tahun selepas itu menganggotai XPDC secara rasminya. MAEL (1990-1997) merupakan penyanyi utamanya sebelum mengambil keputusan mengundurkan diri untuk bergerak solo. Tempatnya sebagai vokalis XPDC telah diambil oleh ALI. Walaupun telah mengikuti siri pertunjukan pentas dan konsert, ALI hanya dinobatkan sebagai penyanyi utama XPDC melalui album KONSERT RAKSASA (1998).

XPDC berada di atas selepas perit menapak dan mengharungi onak dan duri. Mereka di atas bukan bermakna mereka di kemuncak kerana titian perjalanan mereka masih jauh. Mungkin ramai yang ingin berjaya seperti XPDC sekarang ini tetapi tidak ramai yang sanggup mengharungi ranjaunya.

Kumpulan BRUTAL ini hanya ganas dengan irama heavy metalnya, sebagai pemberontak atau pejuang ketika di stage. Kerana itu ada yang memandang sinis kepada mereka. Untuk mengenali XPDC bukan hanya melalui album atau muziknya tetapi berkawan dengannya. Jangan cari mereka di lorong gelap belakang bangunan, tidak juga di pusat hiburan kelab malam. Cari XPDC di mana-mana mereka laungkan akan mengadakan pertunjukan pentas.    

XPDC REUNION “RASOPARISO”

Setelah hampir 20 tahun XPDC berada di persada seni, telah banyak pahit manis serta ranjau duri yang mereka tempuhi seperti pertukaran anggotanya bersilih ganti, kini setelah12 tahun mereka kembali bersatu… bukan satu jangka waktu yang singkat untuk dinantikan. Namun kalau sudah ketentuannya begitu apalagi yang dapat dilakukan. Sejarah akan tinggal sebagai satu sejarah. Yang baik jadi tauladan yang buruk disempadankan.

Begitulah yang terjadi kepada kumpulan XPDC. Pelopor muzik ‘Heavy Metal’ Malaysia ini.
Demi satu perjuangan, kini mereka bergabung semula…BERSATU kepada yang asal untuk peminat-peminat ‘brutal’ mereka.

IZO pemain gitar, ZUAR – bass, AMY – dram, dan MAEL sebagai penyanyi utama…inilah yang dirindui peminat mereka. Kombinasi yang ada karismanya tersendiri.

Kali terakhir mereka bersama adalah pada tahun 1997, di kala penerbitan album keempat mereka,  BRUTAL yang masih berbisa hingga ke saat ini.

Menyentuh tentang album terbaru  XPDC, “RASOPARISO” akan memaparkan lagu-lagu baru XPDC yang berkonsepkan Fast Heavy Metal, Ballad, Moderate, dan 60’s / A go-go.

Keempat-empat konsep ini adalah konsep-konsep muzik yang pernah menaikkan nama XPDC dipersada muzik tanahair. Elemen kombinasi ini sebenarnya datangnya dari 4 album mereka sebelum ini iaitu album: Darjah Satu, Timur Barat, Kita Peng Yu, & Brutal yang digabungkan dalam album penyatuan semula mereka ini demi menyempurnakan kerinduan peminat mereka.

“RASOPARISO” juga adalah kesinambungan bagi album “ROCK UNION” yang telah diterbitkan dan dipasarkan pada tahun 2008. Album tersebut adalah terbitan bersama Life Records dan EMI Malaysia.

Antara lagu-lagu yang bakal berada di dalam album terbaru XPDC – Rasopariso ini pula ialah:

  1. Rasopariso (reggae rock)
  2. Aku Tetap Aku (ballad)
  3. NtahyeNtahtidak (Moderate)
  4. Sana Sini Sama Saja (Heavy Metal)
  5. Rasa (ballad)
  6. Sampai Bila (Heavy Metal)
  7. Puing Cinta (60’s)
  8. Curahan Rasa (moderate ballad)
  9. Menentang Arus (moderate ballad)

Manakala ada 4 lagu ‘Headbang’ yang diambil dari albu terdahulu XPDC yang telah di master kembali dimasukkan dalam album ini selain VCD Kronologi XPDC sebagai bonus kepada peminat setia XPDC. Lagu tersebut iaitu :

– Raja Kertas
– Talam Dua Muka
– Bahalol
– Tak Nak Jadi Soh Chai
 
“RASOPARISO” bermaksud budi-baik. Ianya cukup sesuai dengan tujuan gabungan dan album mereka ini yang mana tidak lain dan tidak bukan menjadi buah tangan mereka untuk industri muzik tanahair dan juga peminat-peminat XPDC sendiri.

Album dan gabungan ini juga sebagai satu balasan yang diterjemahkan sebagai satu penghormatan buat Allahyarham Zul Adnan atau lebih dikenali sebagai J.S Kevin. Individu yang menamakan kumpulan ini sebagai XPDC. Disamping menjadi penerbit eksekutif bagi kumpulan ini, Allahyarham jugalah yang banyak mengubah lagu & lirik berhantu kumpulan ini.

Album RASOPARISO yang diterbitkan oleh kumpulan XPDC sendiri dijangkakan menjengah pasarannya pada 6 November 2009. Apa yang pasti, Mael, Izo, Zuar dan Amy akan bergerak semula sebagai XPDC Reunion untuk memanaskan kembali suasana industri muzik tanahair. Dijangkakan juga mereka akan membuat sebuah persembahan istimewa di atas gabungan semula dan penerbitan album terbaru ini. 

DISCOGRAFY ALBUM-ALBUM XPDC

1.DARJAH SATU (1990)
Terjual melebihi 150,000 units

2.TIMUR BARAT (1992)
Terjual melebihi 100,000 units

3.KITA PENG YU (1994)
Terjual melebihi 200,000 units

4.BRUTAL (1997)
Terjual melebihi 350,000 units

5.SAMURAI (1999)
Terjual melebihi 200,000 units

6.V6 (2002)
Terjual melebihi 80,000 units

ALBUM-ALBUM KHAS XPDC

1.METAL 60’AN (1997)
Terjual melebihi 250,000 units

2.METAL 50’60’AN (1998)
Terjual melebihi 150,000 units

3.UNMETAL (2000)
Terjual melebihi 110,000 units

4.REAL N REALITI (2000)
Terjual melebihi 35,000 units
 
ALBUM KONSERT

1.KONSERT RAKSASA XPDC BRUTAL, STADIUM NEGARA (1998)
Terjual melebihi 95,000 units  

VCD

1.MTV KARAOKE XPDC SAMURAI (1999)
Terjual melebihi 15,000 units

2.MTV KARAOKE XPDC ENTAH APA-APA ENTAH (2000)
Terjual melebihi 25,000 units

3.MTV XPDC KRONOLOGI (2001)
Terjual melebihi 8,000 units 

ALBUM KOMPILASI

1.XPDC ROCK BALLAD (1996)
Terjual melebihi 80,000 units

2.XPDC KOLEKSI HEADBANG (1997)
Terjual melebihi 55,000 units

3.XPDC & RAKAN-RAKAN UNPLUGGED (1995)
Terjual melebihi 25,000 units

4.XPDC DOUBLE HEADBANG “XPDC VS RUSTY BALDE” (2000)
Terjual melebihi 6,000 units   

What do you think?

73 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply
  1. Nak ulas sket album rasopariso, nak tulis panjang2 harap admin tak kisah sebab aku tak de blog sendiri.

    Aku nak tulis komen ni setelah dengar berulang2 kat pc dari cd ori yg aku rip sejurus setelah beli. Sebagai die hard fan mereka suatu masa dahulu membeli yang ori adalah kewajipan aku.

    Seperti apa yang tertulis diatas, aku akan komen setiap lagu terbaru yang ada kat album Rasopariso.

    Rasopariso –

    Melodi ringkas dan santai menepati vokal Mael
    Lirik ringkas sarat dengan nasihat positif
    Susunan muzik catchy dan santai
    – Sebuah karya yang amat baik dari Izo.

    Aku Tetap Aku –

    Melodi yang hampir sempurna
    Lirik tak begitu santai dan susah nak layan
    Susunan muzik menghiburkan

    NtahyeNtahtidak –

    Melodi lagu ni boleh tahan tapi ntah apa yang tak kena, sepatutnya Mael menyanyikan lagu ni lebih tinggi lagi. Tapi lagu ni terlalu mendatar dan memang tak boleh nak layan.
    Lirik kira ok la.
    Susunan muzik tidak menghiburkan dan antara track yang tak tersenarai dalam playlist.

    Sana Sini Sama Saja –

    Melodi yang bagus dari Izo.
    Lirik yang sarat dgn messages positif.
    Susunan muzik berat yang menarik.
    Ada sesuatu yang tak kena pada vokal mael pada lagu ni, Mael menyanyi terlalu santai dan tidak seiring riff dari Izo.

    Rasa –

    Melodi biasa2 je
    Lirik biasa2 je
    Susunan muzik menghiburkan
    Lagu ni tak de chorus yang baik, kalau Izo dapat hasilkan melodi chorus lebih baik lagu ni mampu menyaingi “Hijau Bumi Tuhan”.

    Sampai Bila –

    Melodi baik
    Lirik ala2 Nasyid
    Susunan muzik terbaik dalam album ni, vokal mael pun baik. Ganas dan menghiburkan.

    Puing Cinta –

    Sebuah lagu yang bermelodi catchy
    Lirik simple dan best karya sani sudin
    Susunan muzik tak kreatif sbb terlalu mirip riff lagu “Hidup Bersama”.

    Curahan Rasa –

    Melodi, Lirik & Susunan lagu sangat sempurna.

    Menentang Arus –

    Melodi, Lirik & Susunan lagu sangat sempurna. Tapi lagu ni dah lama sangat sebab Joe Wings pernah terbitkan untuk Ziana Zain secara berduet long2 time ago.

    Album ni amat berbaloi dibeli yang ori oleh peminat setia XPDC Mael, Tapi susah nak dapat kelompok peminat baru.

    Beberapa kekurangan dalam album ni.
    Tak dapat nak dielakkan oleh diehard fan Xpdc untuk mengcompare album ni dengan album2 terdahulu. Dan antara kekurangan itu ialah tiada lagu pecah tekak seperti Selendang Merdeka, Senapang Patah ect. Tiada lagu meleleh seperti Aku Masih Disini, Hentian Ini ect. Sepatutnya lagu2 seperti ni dikekalkan kerna acuan terdahulu ini lah Xpdc tetap dihati peminat2 sejatinya.

  2. bagi aku ..xpdc tetap xpdc walau apa pun mereka..walau apa pun muzik mereka itulah kreativiti seni mereka ..yang sememangnya mereka matang….

    Tetapi itulah kematangan yang telah dilalui oleh xpdc sejak akukenali mereka sejak aku darjah satu bersama album mereka…..sehingga kini aku tetap aku bersama alunan muzik XPDC walau apapun muzik baru yang muncul di bumi malaysia ini…….

  3. bagi kwn suara mael xpdc belom ada jumpa lagi di malaysia hanya dia sorang saja itu lah dia xpdc….kwn dah beli cd yg ori memang sedap didengar dengan telinger klau dngan tangan tak sedap…peminat xpdc beli cd yg ori,,,baru lah xpdc boleh pusing satu malaysia…beli!!beli!!beli!!!yang ori….

  4. saya memang minat giler dgn band xpdc ni..vokal mael ada kurang cikit. tapi still power. lagu paling mengancam “ntah ye ntah tidak”. dia punya susunan muzik…fuhh!! walaupun berirama keras tapi ada sentuhan ballad kat situ

  5. kenapa promosi dan publisiti album rasopariso kurang. dalam tv pun tak de..mcmana peminat-peminat baru nak kenal xpdc. cargass sikit!!!

  6. apa lagi dah bergabung balik. pas nie wat la album brutal part II..rakaman cantik live lantak la…janji jauh lebih bagus dari bebudak AF…

  7. XPDC mng unggul..vokal mail tiada bandingan di nusantara!!!Peminat setia dulu..kini..dan selamanya..harap xPDC dapat buat konsert 1 malaysia pas nii

  8. salam. wa rasa wa suka album baru diorang. pedulik la ape stail pon diorang nak buat. that’s what we call improvement. lu org tengok metallica, album mana wa tak ingat pasal wa bukan fanatik. time diorang tukar konsep mcm hapehapentah, peminat diorang ok je. mula2 tu biase la. lu org penah dengar tak org dengar lagu metal boleh tertido? pasal ape? pasal konsep same dari dulu sampai la nie. mcm greenday, kalo lu org suroh wa dengor sumpah wa tak nak. semua same. nyampah pon ada. first time dengor ok la. lama2 wa pon buleh tido beb. syabas buat xpdc utk album baru nie. lu org memang serasi bersama…mael, izo, zua, amy.

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Hafiz AF7 Jadi Ben 10 Alien Swarm Versi Bahasa Melayu

Mamat Exist Dibebaskan Dari Dakwaan Curi Telefon Bimbit