in , ,

Ada Sebab Episod Pertama Lagu Cinta Kita 2 Trending di Media Sosial

Diadaptasi daripada program popular CJ ENM, ‘Love At First Song’, program ‘music dating’ Lagu Cinta Kita 2 (LCK2) telah membuka tirai pada 8 November 2020, bersiaran secara langsung di TV3 dan episod pertama tersebut juga telah ‘trending’ di media sosial!

Gandingan mantap hos program LCK2 iaitu Elly Mazlein dan Azwan Ali yang muncul dengan penampilan baharu yang segak dan bergaya sekaligus mencuri perhatian penonton dan warga net yang terhibur dengan keletah lucu mereka. Ia dihangatkan lagi dengan penampilan juri cinta, Hael Husaini, Mas Idayu dan Ajai serta panelis cinta pada minggu tersebut, Ruhanies dan Sufian Suhaimi. Episod tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh Yonnyboii dan Zynakal

Episod Pertama Lagu Cinta Kita 2

36 peserta LCK2 akan dipadankan kepada 18 pasangan duet mengikut pilihan lagu cinta masing-masing di pusingan awal. Mampukah mereka mencari cinta sejati melalui muzik? Adakah pemilihan lagu cinta itu dapat mencipta keserasian di pentas dan memikat hati juri cinta nanti?

Episod pertama menampilkan enam pasangan duet iaitu Kael & Evie, Amir & Balqis, Akmal & Fatin, Syafiq & Annisa, Hakim & Serra, dan Hariz & Mafa. Mereka tidak saling mengenali dan hanya mendengar suara di sesi latihan.

Mereka memulakan persembahan nyanyian berduet di dua pentas yang berasingan. Hanya pentas pasangan duet yang mendapat semua undian daripada panel juri akan dicantumkan dan memperolehi peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.

Pasangan duet Hariz dan Mafa mempertaruhkan lagu ‘Mencintaimu’ mendapat pujian dan standing ovation daripada Hael Husaini, Mas Idayu dan Ajai. Peserta terakhir pada malam itu memberikan persembahan penutup yang sangat bagus dan menjadi contoh terbaik dan ‘benchmark’ di program LCK2.

Mereka dapat menzahirkan keserasian yang dimahukan oleh juri cinta, Hael Husaini. Mas Idayu turut memberi komen positif kerana Hariz dan Mafa bukan saja mempunyai keserasian dalam suara, malah mereka kelihatan sepadan dan dapat saling melengkapi. Ajai mengatakan ini barulah kualiti nyanyian peserta yang boleh menjadi penyanyi. 

Selain itu, Kael dan Evie yang mempersembahkan lagu ‘Fantasia Bulan Madu’ dengan penuh bertenaga dan juga menjadi pilihan daripada panel juri cinta.

Dengan keserasian yang baik dan paduan dua suara yang hebat dapat dirasai walaupun ini merupakan kali pertama Kael dan Evie berjumpa dan menyanyi di atas pentas. 

Pasangan duet kedua, Amir dan Balqis memilih lagu ‘Paling Comel’ yang pernah dipopularkan oleh Siti Nordiana dan Allahyarham, Achik Spin. Persembahan mereka dapat memberikan mood yang ceria juga berjaya memikat hati ketiga-tiga juri cinta LCK2.

Namun, Amir dan Balqis perlu memperbaiki teknik nyanyian dan persembahan apabila Amir masih kelihatan malu di atas pentas. Ajai memuji Amir dan Balqis kerana mereka sangat peka dengan beberapa pertukaran key lagu dan dapat menjayakan persembahan itu dengan cantik sekali. 

Sayangnya, tiga pasangan duet tidak mendapat undian penuh daripada panel juri. Akmal dan Fatin gagal menyampaikan lagu ‘Kau Ilhamku’ kerana tiada keserasian dan hanya satu pihak sahaja yang memberi. Juri tidak dapat melihat keserasian dalam Akmal dan Fatin. Suasana studio menjadi panas apabila panel juri bertelagah pendapat yang menyaksikan Ajai berpendapat bahawa para peserta harus mengutamakan kebolehan bernyanyi kerana keserasian tidak memadai untuk menang dalam pertandingan ini.

Mempertaruhkan lagu Mewangi oleh kumpulan Akim & The Majistret, pasangan Syafiq dan Annisa hanya menerima satu undian daripada panel juri. Ajai memberi kritikan yang pedas apabila Annisa melakukan kesilapan pada not lagu dan keserasian mereka gagal menyelamatkan keadaan. Pasangan Hakim dan Serra juga gagal memikat hati juri dalam persembahan lagu ‘Sempurna’.

Juri tidak dapat melihat keserasian yang ditampilkan malah mereka dikatakan syok sendiri. Juri cinta telah membuat keputusan untuk menyingkirkan Akmal, Fatin, Hakim dan Annisa. Peluang kedua diberikan kepada Serra dan Syafiq apabila mereka ditukarkan pasangan dan masih dapat beraksi di pusingan seterusnya. 

Lagu Cinta Kita Ke-2 menampilkan Celcom Xpax Prepaid Tanpa Had dan NIVEA Hokkaido Rose dengan haruman ros mewah sebagai penaja bersama serta Hot FM sebagai rakan radio rasmi.

Diterbitkan oleh Primeworks Studios dan diketuai oleh Muhamad Sufian Che Isa dan Russell Mark Rodriguez sebagai penerbit eksekutif, Lagu Cinta Kita Ke-2 menemui penonton TV3 secara siaran langsung pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam hingga 11.30 malam. ia juga boleh strim live HD di www.tonton.com.my dan Youtube TV3 Malaysia. 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia. Gunakan #LaguCintaKita2 untuk menghangatkan lagi perbualan di laman media sosial. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Syomirizwa Gupta Cipta Tema Dunia Selari Penuh Misteri di KLFW2020 Digital

TikTok Membawakan Anugerah Bintang Berita Popular Harian ABPBH 33 Secara Langsung