in , ,

“Kurang Dana, Tenaga Kerja, Punca Persembahan Jatuh,” – Low Ngai Yuen

Menurut Ngai Yuen lagi, Anugerah Seni BOH Cameronian (BCAA) hadir lagi tahun ini dengan tema A New Day, Setia Pada Senimu bagi menyeru semua penggiat seni untuk bangkit semula dan kembali dengan semangat yang baru.

Pandemik COVID-19 memberikan tamparan hebat khususnya buat anak-anak seni yang memang bergantung hidup sepenuhnya kepada tawaran persembahan.

Sekatan dan perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika pandemik itu ‘mengganas’ telah membuatkan banyak penggiat seni beralih arah dan bertukar bidang pekerjaan yang boleh menjamin kewangan. 

Perkara ini diakui presiden Kak Seni, Low Ngai Yuen yang mendedahkan bahawa komuniti seni persembahan negara masih bertatih untuk menghidupkan kembali kegiatan seni selepas pandemik melanda dunia beberapa tahun sudah.

“Semasa pandemik tiada langsung pekerjaan yang boleh dilakukan penggiat seni persembahan apalagi bidang ini tidak mempunyai skim simpanan kewangan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) mahupun SOCSO. Mereka tiada tempat untuk bergantung harap. Jadi bila keadaan semakin berlarutan, mereka mula bertukar kerja untuk menampung hidup.

“Apabila mereka sudah memasuki alam pekerjaan selama dua tahun, mereka masih takut untuk kembali ke dunia seni. Kami sedang cuba mengajak mereka kembali, jangan takut dan percayalah kepada sistem.

”Mereka mungkin rasa stabil sekarang tapi mereka tak gembira kerana tiada kepuasan dalam diri,” Bercakap mengenai penyertaan BCAA kali ini, Ngai Yuen melihat sebuah trend baharu di mana  penggiat seni persembahan lebih cenderung memilih pertunjukan secara solo kerana sumber tenaga kerja dan bajet yang terhad. Faktor ini juga memberi kesan secara langsung kepada mutu persembahan penggiat seni pasca pandemik.

“Sebenarnya setiap tahun kami (Kaki Seni) memang sangat aktif untuk menghakimi persembahan. Walaupun kami memang nampak mutu persembahan semakin jatuh, namun kami juga faham para penggiat seni ini melakukan persembahan dalam keadaan yang serba kekurangan. Kami juga menasihati mereka agar tidak membiarkan semua ini mempengaruhi tanggapan penonton terhadap persembahan mereka. 

“Penonton bila tengok sesuatu persembahan, mereka tidak akan fikir apa yang sedang berlaku di belakang tabir seperti kesusahan mereka untuk mencari tenaga kerja untuk bekerja,” tambahnya lagi.

Menghidupkan dan merancakkan kembali seni persembahan di Malaysia memang merupakan sebuah proses yang mencabar dan memerlukan masa yang lama. Ada banyak aspek yang perlu difikirkan antaranya dari sudut penggiat seni, penaja mahupun penonton.

“Korporat belum kembali untuk berikan sokongan kepada kegiatan seni. Penonton pun belum lagi biasakan diri dengan rutin menonton persembahan. Kita berharap selepas raya mereka akan mula pertimbangkan untuk menonton acara seni.

“Beberapa tempat performing art juga sudah tutup. Jika ada pun, sangat susah untuk mereka kekalkan ruangan itu. Kita juga tak tahu nak mula di mana. Adakah kita nak suruh pihak spaces bagi diskaun dahulu atau tunggu orang buat persembahan atau tunggu penonton? Apa pun, yang pasti, kita memang perlukan masa yang lama,” tegas.

Terus menyokong kegiatan seni persembahan di Malaysia, BCAA hadir lagi tahun ini dengan tema A New Day, Setia Pada Senimu bagi menyeru semua penggiat seni untuk bangkit semula dan kembali dengan semangat yang baru.

Majlis Anugerah Seni BOH Cameronian ke-18 ini akan berlangsung pada Ahad, 14 Mei ini di PJPAC, 1 Utama. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Siti Nurhaliza Teruja Nyanyi Lagu OST Filem ANWAR THE UNTOLD STORY

Mahkamah Singapura Tidak Benarkan Penyerang Kamal Adli Diikat Jamin