in , ,

Kugiran Masdo Kembali Dengan Single Terbaharu INILAH JALANNYA

Sejak kemunculan mereka dalam arus muzik perdana pada tahun 2016 menerusi lagu hits mereka berjudul ‘Bunga’, percaturan Kugiran Masdo tidak pernah gagal dalam mempertaruhkan lagu berasaskan muzik pop klasik era 1960-an yang digubah mengikut citarasa masa kini.

Taruhan mereka ternyata menjadi apabila lagu-lagu hits mereka seperti ‘Dinda’, ‘Janji Manis’ dan ‘Teruna Dan Dara’ berjaya menjadi fenomena dan tular di media sosial sehingga ke negara jiran, Indonesia.

Kejayaan mencipta fenomena sebegini telah memungkinkan Kugiran Masdo untuk melebarkan sayapnya dan terbang lebih jauh dalam menakluki persada muzik di rantau Nusantara ini sehingga pernah diundang ke Indonesia untuk menjayakan persembahan di tiga lokasi iaitu Jakarta, Bekasi dan BandungMalah kumpulan muzik yang dianggotai  4 anak muda ini telah menutup kalendar seni mereka pada tahun 2022 dengan cemerlang apabila bergabung dengan band ternama Indonesia, The Changcuters dalam menjayakan konsert Kugiran Masdo x The Changcuters di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Disember yang lalu.

Kugiran Masdo Kembali Dengan Single Terbaharu INILAH JALANNYA

Kini untuk meneruskan lagi momentum kejayaan mereka, Kugiran Masdo kembali dengan melancarkan lagu terbaharu mereka yang berjudul ‘INILAH JALANNYA’sebagai pembuka lembaran seni mereka di tahun 2023.

‘INILAH JALANNYA’ merupakan ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer tersohor Noh Salleh. Lagu yang sarat dengan estetika muzik retro ini, menceritakan tentang detik-detik manis percintaan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata tetapi diluahkan hanya dengan berbalas pandangan dan senyuman dengan seseorang yang diminati. Mengulas tentang lagu ini, Ali Sariah sebagai vokalis Kugiran Masdo ini berkata, “Kami berasa sangat bertuah kerana berjaya mendapatkan lagu ciptaan Noh Salleh ini. Beliau memang pakar dalam mencipta melodi dan senikata yang menangkap telinga. Sejak kami perdengarkan lagu ini kepada peminat dalam konsert di Zepp KL tempohari, peminat telah memberikan sambutan yang hangat dan tidak sabar menantikan lagu ini dilancarkan secara rasmi.”

Ali turut menyifatkan kerjasama yang terjalin antara kumpulan ini dengan Warner Music Malaysia dan Warner Music Indonesia mampu menaikkan lagi portfolio muzik mereka, “Ini merupakan single pertama dari tiga buah lagu yang bakal diterbitkan dalam kerjasama ini. Kami percaya kerjasama dengan Warner Music Malaysia dan Warner Music Indonesia ini mampu membawa kami ke aras yang lebih tinggi dan membuka peluang lebih besar untuk kami di masa akan datang.”

Single ‘INILAH JALANNYA’ terbitan Warner Music Malaysia bersama Warner Music Indonesia ini boleh didapati di kesemua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 13 JANUARI 2023 manakala video muzik rasmi ‘INILAH JALANNYA’ boleh ditonton di saluran YouTube MASDO bermula 13 JANUARI 2023 jam 9 malam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

LEGOLAND

LEGOLAND® Malaysia Resort Membawa Tradisi Tahun Baru Lunar Terbaik

Puteri Sarah Pernah Hubungi Ustazah Asma’ Harun Minta Nasihat