in , ,

Konsert Sulung Khai Bahar Diteruskan, Mungkin Berpindah Lokasi

Penerbit Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia, Fauziah Ahmad Daud menyatakan komitmen untuk meneruskan penganjuran konsert itu.

Fauziah atau dikenali sebagai Ogy berkata, buat masa sekarang pihaknya sedang berbincang mengenai beberapa perkara termasuk mendapatkan lokasi persembahan yang baharu.

“Saya ambil maklum mengenai pertanyaan daripada beberapa pihak termasuk peminat yang sudah membeli tiket. Jadi, ingin dinyatakan saya selaku penganjur akan tetap meneruskan konsert sulung Khai Bahar ini.

“Seperti mana besarnya harapan peminat untuk menyaksikan konsert ini, begitu juga komitmen saya dan pasukan untuk merealisasikan persembahan ini yang sudah dirancang sejak awal tahun lagi.

“Cuma, disebabkan insiden yang semua tidak dapat elak iaitu Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini membuatkan segala perancangan tergendala,” katanya.

– Ogy Ahmad Daud

Menurut Ogy, konsert yang sudah 80 peratus sedia dipersembahkan itu wajar diteruskan.

“Sebenarnya, sebelum segala aktiviti konsert dan persembahan hiburan dibatalkan, Khai dan pasukan sudah bersedia. Ketika itu hanya menunggu tarikh sebenar konsert saja.

“Malah, selepas ada kelonggaran diberikan pihak kerajaan, pasukan juga sudah menyatakan kesediaan untuk kembali begitu juga dengan Khai. Jadi, adalah tidak adil jika konsert ini tidak diteruskan.

“Jika semua perbincangan berjalan lancar, saya akan umumkan tarikh baharu persembahan. Insya Allah kita nak buat sebelum hujung tahun ini,” katanya.

– Ogy Ahmad Daud

Mengenai status lokasi di Istana Budaya (IB), Ogy berkata kapasiti yang dibenarkan tidak berbaloi dengan kos dibelanjakan untuk penganjuran konsert itu.

“Pihak IB hanya membenarkan 500 penonton termasuk kru. Jadi, dengan segala kos yang perlu ditanggung, bagi saya ia tidak berbaloi.

“Disebabkan itu, saya dan pasukan perlu mencari solusi terbaik. Memandangkan konsert ini tidak dibuat di IB, jadi nama konsert ini juga akan ditukar. Nama terbaharu juga akan diumumkan kelak,”

– Ogy Ahmad Daud

Terdahulu, konsert sulung Khai itu dijadual berlangsung pada 27 dan 28 Mac lalu di Istana Budaya.

Keputusan itu dibuat berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan hingga susulan penularan COVID-19.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Opie Zami Sah Bercerai Talak Satu dengan Zamzarina

Persembahan Maya 360 Darjah Konsert Manifestival Siti Nurhaliza X HootKool