in ,

Konsert Satu Wajah M Nasir di Stadium Negara

Selepas mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan dari peminat muzik tanahair dengan persembahan beliau di Istana Budaya Februari lalu, penyanyi-penerbit filem-pengarah-pelakon dankomposer tersohor M Nasir bakal mengegarkan Stadium Negara dengan sebuah lagi konsert mega.

3700081122 24329C228E O | 4

Konsert Satu Wajah M Nasir yang bakal menemui peminat-peminat muzik pada 25 Julai, 2009 jam 8.30 malam merupakan satu persembahan yang cukup menarik untuk mereka yang tidak berpeluang menyaksikan ‘Konsert Alam Muzik M. Nasir’ yang telah diadakan di Istana Budaya Februari lalu.

Konsert Satu Wajah M Nasir menjanjikan yang terbaik dari artis serba boleh ini dan mempamerkan karya-karya beliau yang tebaik selama 30 tahun di dalam industri muzik. Nasir yang telah memenangi banyak anugerah sepanjang pembabitan beliau dalam industri hiburan akan mempersembahkan 29 lagu-lagu terbaik dari pelbagai genre dari kesemua tujuh album yang telah diterbitkan sejak tahun 1979.

Berhibur dan hayati lagu-lagu beliau yang sentiasa diminati ramai seperti Hati Emas, Mentera Semerah Padi, Raikan Cinta, Pheonix Bangkit , Langgam Pak Dogo, Kias Fansuri, Kepadamu Kekasih,  Anak-Anak Kita dan banyak lagi dalam persembahan selama dua jam ini. Tiket-tiket berharga RM253, RM153, RM83 dan RM53 setiap satu  (Harga termasuk RM3.00 Tiket Hotline yuran process). Tiket-tiket boleh di beli dari Ticket Hotline di www.tickethotline.com.my atau dengan menalipon  03-7725-1177/1166.

“Kita yakin bahawa Konsert Satu Wajah M Nasir bakal menjadi satu lagi kejutan untuk peminat muzik khususnya peminat-peminat M Nasir, oleh kerana itu  penaja-penaja perlu mengambil peluang keemasan ini untuk bersama-sama menjayakan konsert yang bakal mengegarkan Stadium Negara nanti. Sumbangan mereka bukan hanya dinilai dari segi keuntungan semata tetapi yang lebih penting ianya membantu mempertingkat industri muzik tempatan, ” kata Pengarah Urusan Samirah Hambali.

Maya Axis Creative Sdn Bhd, adalah sebuah syarikat pengurusan acara yang dimiliki oleh Bumiputera sepenuhnya dan telah ditubuhkan pada tahun 2005. Syarikat ini telah menerajui beberapa projek besar temasuk majlis pembukaan dan penutup Sukma XII di Terengganu tahun lalu. Konsert Satu Wajah M.nasir ini turut dibantu oleh syarikat Beyond Events selaku pengurus Artis, M.Nasir.

Samirah berkata syarikat dan individu yang berminat untuk menjadi penaja Konsert Satu Wajah M Nasir boleh menghubungi Maya Axis Creative Sdn Bhd di 03- 8076 9872/9873 atau fax kepada 03- 8070 7871 (Samirah Hambali) untuk keterangan lanjut.

Katanya Sinar FM akan menjadi radio rasmi untuk konsert tersebut. “Kami ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada Dato’ Hazman Ahmad dan Sinar FM yang telah sudi berkerjasama dengan kami dan keyakinan yang diberikan kepada artis tempatan, kami sememangnya memerlukan sokongan anda semua untuk menjayakan konsert ini.”

Selain dari kejayaannya dalam ‘Konsert Alam Muzik M Nasir’ di Istana Budaya, persembahan Nasir seperti ‘Konsert Canggung M. Nasir’ di Stadium Negara pada tahun 1994 dan ‘Konsert Akar Manifestasi Akustika M Nasir’ di Pusat Dagangan Dunia Putra, KL pada tahun 1995 juga mendapat sambutan luar biasa dari peminat.

Karier muzik Nasir bermula pada tahun 1979 dengan pelancaran album sulungnya Untuk Pencita diikuti oleh Solo pada tahun 1988,  Saudagar Mimpi (1991), Canggung Mendona (1993), Phoenix Bangkit (2001) dan Sang Pencinta (2006). Hasil karya beliau merangkumi pelbagai genre dari muzik tradisional Melayu, kontemporari ke ‘World Beat’ yang begitu diminati dan diterima oleh ramai peminat muzik. Lagu-lagu M Nasir mempunyai teknik dan pengaruh muzik tradisional Asia Tenggara yang sering menjadi hit carta-carta lagu dan memenangi pelbagai anugerah.

Kejayaan M Nasir di dalam bidang muzik telah menjadikan beliau terkenal di kebanyakan Negara di Asia sekaligus mendapat pengiktirafan  termasuk empat anugerah di Anugerah Industri Muzik (AIM), Lagu Terbaik ;Tanya Sama Itu Hud Hud’ pada tahun 1994, Lagu Terbaik dalam kategori Irama Malaysia dan Lagu Terbaik Ghazal Untuk Rabiah di Anugerah Juara Lagu (AJL) TV3 pada tahun 1999, Lagu Terbaik (kategori Pop Rock) dan Lagu Terbaik untuk  Andalusia di Anugerah Juara Lagu pada tahun 2000.

Anugerah Penyanyi Lelaki Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian yang diraih oleh Nasir pada tahun  2001 membuktikan popularitinya yang begitu menyerlah, pada tahun yang sama beliau telah mendapat Anugerah Planet Muzik di Singapura untuk kategori Artist Lelaki Popular, Artis Lelaki Terbaik dan Album Terbaik untuk album Phoenix Bangkit.

Sumbangan Nasir kepada industri muzik tempatan telah mendapat pengiktirafan dari Akademi Muzik Malaysia apabila pada tahun 2002 ‘sifu’ ini telah dianugerahkan Anugerah Wirama. Anugerah lain yang diterima beliau termasuklah Album Pop Rock Terbaik untuk album Sang Pencinta dan Lagu Terbaik untuk lagu Juwita Citra Terindah di Anugerah Industri Muzik 2007 dan beliau adalah juga penerima Anugerah Pencipta Terunggul MACP dari tahun 1999 sehingga 2007.

Sebagai seorang artis yang ‘versatile’,  Nasir juga telah membuktikan kebolehannya di layar perak sebagai pelakon dan juga pengarah. Filem Merah yang mengandingkan beliau dengan penyanyi Awie merupakan filem pertama arahan Nasir. Nasir mencatat sejarah dalam karier lakonannya apabila muncul sebagai watak utama iaitu Hang Tuah dalam Puteri Gunung Ledang bergandingan Datin Tiara Jacquelina, epik paling mahal dalam sejarah industri filem Malaysia.  Filem yang menelan belanja RM2 juta ini telah mendapat pengiktirafan di Filem Festival Malaysia dan juga peringkat antarabangsa.
 
Filem-filem lakonan Nasir antaranya ialah Kembara Seniman Jalanan, Selubung, Fenomena, Balada dan Simfoni Duniaku. Nasir juga telah membintangi beberapa drama termasuk Hambali Seorang Jeneral, Ilhamku dan Salam Taj Mahal. Umum mengetahui bahawa karya-karya kreatif Nasir telah banyak menyumbang kepada perkembangan industri muzik Malaysia. Karya-karya beliau yang banyak mendapat pengiktirafan telah berjaya meletakkan ramai penyanyi tempatan di persada hiburan tanahair antaranya Alleycats, Anita Sarawak, Awie, Search, Ziana Zain dan Wings.

Saksikan persembahan yang penuh keunikan dari ‘music extraordinaire’ ini di ‘Konsert Satu Wajah M Nasir’ pada 25 Julai ini di Stadium Negara, sebuah persembahan yang mesti ditonton oleh semua peminat muzik.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Michael Jackson Memorial Live TV Streaming

Sekitar Konsert Memperingati Michael Jackson The Memorial