in ,

Segalanya Tentang Konsert Rockstars & Konsert Metal Legend II Live In JB

‘Malam Bintang Lagenda’ – Irama Rock & Metal Bergema Di Pasir Gudang

Buat pertama kali peminat muzik di selatan tanahair bakal disajikan dengan persembahan nama-nama besar dalam arena rock dan metal tempatan seperti Ella, Cromok, Prime Domestic dan Sil Khannaz dalam Konsert Rockstars dan Konsert Metal Legend II Live In Jb di Stadium Perbandaran Pasir Gudang pada 7 dan 8 September nanti. Kedua-dua siri konsert ini masing-masing dianjurkan secara berasingan oleh syarikat tempatan D Grand Stage Event dan Dreamstage.

Namun, atas rasa kekitaan dalam usaha kedua-dua pihak memartabatkan aliran muzik rock dan metal, kedua-dua pihak penganjur bersetuju untuk menggabungkan kedua-dua siri konsert ini di bawah satu nama iaitu Malam Bintang Lagenda.

Konsert Rockstars & Konsert Metal Legend II

KONSERT ROCKSTARS anjuran D Grand Stage Event (7 September 2018)

Konsert ini bakal menampilkan ratu rock Ella sebagai tarikan utama dan menampilkan Prime Domestic sebagai band jemputan. Kali terakhir Ella beraksi dalam konsert berskala besar yang seumpamanya dalam Konsert ELLA 2016 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada tahun 2016. Ella juga pernah menjayakan konsert skala kecil di Esplanade, Singapura dan Dewan Filharmonik Orkestra, Kuala Lumpur pada tahun 2017. Meskipun baru sahaja pernah menjayakan konsert perdananya di dua pentas berprestij di Asia, ini tidak menghalang Ella untuk kembali beraksi di pentas marhain. Dalam Konsert Rockstars in, Ella bakal menyajikan persembahan yang lebih mantap dengan pemilihan lagu dan susunan muzik yang lebih bercitarasa peminat ‘rock & roll’. Persembahan Ella bakal diiringi oleh pemuzik-pemuzik handalan dibawah pimpinan pengarah muzik Aji Samin. Peminat boleh menjangkakan mereka bakal dihiburkan dengan gabungan lagu hits malar segar Ella antaranya seperti Dua Insan Bercinta, Kesal dan Kitalah Bintang, yang pastinya akan membawa peminat mengimbau kembali tahun-tahun mereka bersama Ella.

Konsert Rockstars & Konsert Metal Legend II

Turut mengegarkan pentas konsert ini adalah Prime Domestic iaitu kumpulan ‘super band’ yang diterajui Joe (gitar) turut menampilkan Aweera sebagai penyanyi, Hillary Ang (gitar), Fauzi (bass) dan Ainoll (dram). Meskipun nama Prime Domestic masih baru, namun ahli-ahli kumpulan Prime Domestic ini bukanlah nama yang asing dalam industri hiburan tempatan. Bermula sebagai band projek pada tahun 2012, Prime Domestic menggabungkan pemuzik profesional terkenal yang sebelum ini pernah mencipta nama bersama band-band rock tempatan seperti Wings, Search, NRG dan Kristal. Maka dengan sebab itulah mereka digelar sebagai ‘superband’ dan kini mereka makin ligat mengorak langkah seni mereka dalam memartabatkan irama rock acuan mereka sendiri.

KONSERT METAL LEGEND II LIVE IN JB anjuran Dream Stage (8 September 2018)

Di atas kejayaan Konsert Metal Legends Live In Concert yang menampilkan paduan dua band metal terkemuka Malaysia, XPDC dan Cromok beraksi di atas satu pentas di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada 3 Februari yang lalu. Sebagai kesinambungan dan atas permintaan ramai, pihak penganjur Dream Stage kini membawa konsep yang sama ke Pasir Gudang dalam Konsert Metal Legends II Live In JB. Konsert ini menampilkan band lagenda metal, Cromok yang cukup terkenal dalam persada aliran muzik metal tanahair. Cromok yang dianggotai oleh Sam selaku pemain bass dan vokal, Karl (gitar) serta Miji (dram) adalah kumpulan perintis muzik ‘thrash metal’ tempatan dan sudah 31 tahun dalam industri. Cromok dijangkakan akan mempersembahkan lagu-lagu hits mereka seperti Another You, I Do Not Belong Here, Misty dan Memories yang pastinya akan memberi sejuta nostalgia buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka.

Bagi menghangatkan lagi suasana pentas, kumpulan yang berpaksikan kepada aliran muzik ‘death metal’ iaitu Sil Khannaz turut ditampilkan sebagai band jemputan. Sil Khannaz yang dianggotai oleh Jaie (vokal), Dark-e (gitar), Roi (gitar), Neer Hashirim (bass) dan Afzal (dram) ini ditubuhkan sejak tahun 1987. Kumpulan lagenda ‘death metal’yang paling berpengaruh di Malaysia ini antara pejuang muzik ekstrem yang masih aktif hingga kini.

Bintang-bintang lagenda yang ditampilkan dalam kedua-dua konsert ini cukup berwibawa di arena muzik yang mereka pelopori, baik di arena mainstream atau underground. Justeru, kredibiliti dan karisma mereka dalam aliran muzik yang dinaungi mereka sudah tidak perlu dipertikaikan lagi.

Konsert Rockstars & Konsert Metal Legend II

Selain daripada penampilan bintang lagenda yang berwibawa, pihak penganjur turut menjanjikan kelainan dari segi pemilihan lagu, susunan muzik, sistem bunyi, set pentas sehingga kepada penataan cahaya yang terbaik, bagi memastikan konsert ini memberi impak berbeza kepada peminat. Yang lebih menarik, ianya bakal memberikan pengalaman baru kepada peminat yang hadir apabila pihak penganjur akan menggunakan sistem bunyi 7:1 Stereo Surround untuk kedua-dua konsert. Ini merupakan pertama kalinya sistem bunyi keliling yang seumpamanya digunakan untuk konsert tempatan. Sistem bunyi keliling ini bukan sahaja dijangka mampu menampung keperluan bunyi di pentas terbuka seperti lokasi Stadium Perbandaran Pasir Gudang itu sendiri, malah gegaran bunyi yang bakal dihasilkan juga dikatakan mampu memberi kepuasan tahap maksima kepada peminat yang hadir.

Pihak penganjur D Grand Stage Event dan Dream Stage menjangkakan dengan gabungan persembahan yang mantap, sistem bunyi yang padu dan permainan cahaya yang menarik bakal membuat peminat pulang dengan kepuasan sekaligus menjadikan kedua-dua konsert ini sajian konsert rock dan metal terbaik untuk tahun ini.

Tiket KONSERT ROCKSTARS boleh didapati dengan dengan harga RM58 (Lepak Zone), RM78 (Rama-Rama Zone), RM80 (Kasih Zone), RM150 (7.1 Surround Zone) dan RM250 (Gemilang Zone). Manakala tiket KONSERT METAL LEGEND II LIVE IN JB boleh didapati dengan dengan harga RM48 (Lepak Zone), RM68 (Thrash Zone), RM90 (Hardcore Zone), RM180 (VIP Lepak Zone) dan RM250 (VIP Hardcore Zone).

Tiket boleh dibeli secara online di: http://www.ilassotickets.com.

Konsert Rockstars & Konsert Metal Legend II

Peminat juga boleh mendapatkan tiket-tiket di lokasi berikut:
• Rock Corner The Garden Midvalley
• Victoria Music Sungai Wang
• Victoria Music Amcorp Mall

Bermula 3 September 2018, tiket juga boleh dibeli di kaunter pintu masuk Stadium Perbandaran Pasir Gudang.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berkenaan tiket atau konsert sila hubungi:
+603-2170 6333 (ILASSO TICKETS SDN BHD)
+6010-3837552 (D GRAND STAGE EVENT)
+6017-2630437 (DREAMSTAGE)

MAKLUMAT KONSERT

“KONSERT ROCKSTARS” dianjurkan oleh D GRAND STAGE EVENT
Tarikh : 7 September 2018
Masa : 8.30 malam
Tempat : Stadium Perbandaran Pasir Gudang
Artis : ELLA menampilkan Prime Domestic
Harga Tiket : RM58 (Lepak Zone)
RM78 (Rama-Rama Zone)
RM80 (Kasih Zone)
RM150 (7.1 Surround Zone)
RM250 (Gemilang Zone)

“KONSERT METAL LEGEND II LIVE IN JB” dianjurkan oleh DREAMSTAGE
Tarikh : 8 September 2018
Masa : 8.30 malam
Tempat : Stadium Perbandaran Pasir Gudang
Artis : Cromok menampilkan Sil Khannaz
Harga Tiket : RM48 (Lepak Zone)
RM68 (Thrash Zone)
RM90 (Hardcore Zone)
RM180 (VIP Lepak Zone)
RM250 (VIP Hardcore Zone)

Konsert Rockstars & Konsert Metal Legend II

Konsert Rockstars & Konsert Metal Legend II

Konsert Rockstars & Konsert Metal Legend II

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lavida Go Bola Dato Seri Vida Kini Mula Trending

Mudah & Murah Itu Sebab Budiey Pilih FLOWER CHIMP