Tahun 2026 bakal bermula dengan gegaran muzik yang pasti membuatkan peminat lama dan baru rasa teruja. Pada 1 Februari 2026, pentas ikonik Zepp Kuala Lumpur akan ‘dilanggar’ oleh dua nama besar dalam industri muzik tempatan – Kristal X dan Azlan & The Typewriter. Kolaborasi ini diberi judul “Rockolusi Kuasa Dua”, satu konsep persembahan yang menyatukan nostalgia, kuasa vokal, dan semangat rock yang masih segar hingga kini.
Kristal X Hidupkan Semula Nostalgia Lagu Rock Popular Era 90an
Nama Kristal X bukan asing bagi peminat muzik tanah air. Lagu-lagu malar segar mereka seperti Memburu Impian, Luahan Hati, Suatu Kenangan dan Seragam Hitam masih kekal dalam memori pendengar. Walaupun sudah lama tidak dipersembahkan secara langsung, karya ini tetap menjadi rujukan generasi baharu tentang betapa kuatnya pengaruh Kristal dalam arena rock Malaysia.
Menurut wakil penganjur Republic Mokhmah Records, “Kristal X adalah sebuah kugiran legenda yang pernah lahir dalam belantika muzik tanah air. Bayangkan sewaktu penubuhannya, Kristal X masih remaja dan telah mendapat khidmat karyawan belakang tabir yang hebat. Mereka menghasilkan lagu-lagu malar segar seperti Seragam Hitam dan menghidupkan semula Memburu Impian melalui persembahan energetik.”
Kali ini, pentas Zepp Kuala Lumpur akan menjadi saksi bagaimana Kristal X kembali dengan tenaga baharu, lebih matang dan lebih ganas seiring perjalanan mereka dalam industri.
Azlan & The Typewriter Bawa Kuasa Vokal Luar Biasa Ke Pentas
Kalau sebut nama Azlan, pasti ramai teringat lagu Jangan Khianati Aku yang pernah mencetuskan fenomena hingga ke Indonesia. Suara lantang dan nada tinggi Azlan membuatkan beliau antara vokalis paling disegani di Malaysia. Untuk generasi milenial, Azlan dikenang sebagai simbol kekuatan vokal yang tulen, manakala untuk peminat generasi kini, konsert ini akan jadi peluang terbaik untuk mengenali karya beliau secara lebih dekat.
Encik Musa dari Republic Mokhmah Records berkata, “Untuk generasi milenial, Azlan adalah salah seorang vokalis terbaik yang pernah dilahirkan di Malaysia dan buat generasi masa kini, selain Jangan Khianati Aku, saya akan pastikan anda lebih jatuh cinta dengan beliau menerusi karya-karya berkualiti sepanjang kariernya.”
Gabungan Dua Legenda Dalam Satu Konsert Eksklusif
Kerjasama antara Kristal X dan Azlan & The Typewriter bukan sekadar gimik, tetapi bukti bahawa muzik rock tempatan masih relevan dan terus mendapat tempat di hati peminat. Musa menambah, “Kolaborasi ini adalah bukti dua pemuzik legenda ini tidak pernah dilupakan meskipun lambakan konsert berlaku sepanjang tahun.”
Bagi Azlan sendiri, peluang ini adalah sesuatu yang tidak ternilai. Katanya, “Saya amat berbesar hati menerima lamaran Republic Mokhmah Records berkongsi pentas dengan Kristal X kerana reputasi mereka dan saya juga membesar dengan karya mereka. Inilah waktu untuk anda keluar dan menikmati Kristal X dan Azlan & The Typewriter secara langsung secara eksklusif setelah sekian lama menanti.”
Harga Tiket Dan Cara Pembelian Untuk Peminat Setia
Bagi peminat yang sudah lama menunggu, tiket telah mula dijual sejak 23 September 2025, jam 3 petang. Harga tiket ditawarkan dengan beberapa kategori: RM168, RM188, RM248, RM348, dan paling eksklusif Royal Box berharga RM8000 untuk 10 orang. Tiket boleh dibeli melalui laman rasmi ilassotickets.com.
Dengan harga yang pelbagai, peminat boleh memilih pengalaman yang sesuai, sama ada menikmati konsert dengan suasana lebih intim atau bergaya mewah bersama rakan-rakan dalam Royal Box.
Kristal X Dan Azlan & The Typewriter Bawa Rockolusi Kuasa Dua Ke Aras Baru
Konsert Rockolusi Kuasa Dua ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi sebuah pernyataan bahawa industri muzik tempatan masih kaya dengan bakat besar yang perlu terus diberi sokongan. Ia juga membuktikan bahawa karya lama tidak pernah lapuk, malah boleh hidup semula dengan lebih segar bila dipersembahkan dengan jiwa dan tenaga baru.
Republic Mokhmah Records jelas mahu menjadikan acara ini sebagai permulaan tahun 2026 yang penuh makna untuk peminat muzik Malaysia.
Informasi Penting Buat Peminat Yang Ingin Hadir
Artis: Kristal X, Azlan & The Typewriter
Acara: Rockolusi Kuasa Dua: Kristal X and Azlan & The Typewriter
Lokasi: Zepp Kuala Lumpur
Tarikh: 1 Februari 2026
Waktu: 8 malam
Penganjur: Republic Mokhmah Records
Harga tiket: RM168, RM188, RM248, RM348, Royal Box RM8000 (10 orang)
Pembelian tiket: https://www.ilassotickets.com
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, konsert ini adalah satu peluang emas untuk peminat muzik tempatan kembali mengimbau kenangan lama sambil meraikan karya-karya baharu yang lebih matang. Gabungan Kristal X dan Azlan & The Typewriter di atas satu pentas bukan sekadar hiburan, ia adalah simbol kesinambungan legasi muzik rock tanah air.
Budiey percaya, Rockolusi Kuasa Dua bakal jadi antara konsert yang akan dikenang tahun 2026 kerana ia menyatukan generasi lama dan baru dalam satu malam yang penuh semangat. Kalau anda benar-benar cintakan muzik Malaysia, jangan lepaskan peluang ini kerana mungkin anda tidak akan dapat menyaksikan gabungan seperti ini lagi dalam masa terdekat.