in

Konsert G4 Petikan Legasi

Konsert G4 Petikan Legasi. GABUNGAN GITARIS-GITARIS TERSOHOR

Di zaman kegemilangan muzik rock tanahair, sesebuah kumpulan bukan hanya hebat kerana vokalis sahaja tetapi juga kerana ahli kumpulan yang lain.

Mereka adalah ahli kumpulan yang diminati atas merit mereka sendiri sebagai pemain muzik yang sangat mahir dan corak permainan yang tersendiri. Tidak hairanlah jika era 80an dan awal 90an, gitaris juga mempunyai peminatnya sendiri yang sangat tinggi impaknya.

Atas kenangan unik inilah, pihak RK Polaris menganjurkan konsert istimewa yang akan menggabungkan 4 gitaris tersohor Malaysia yang diberi nama Konsert G4 : Petikan Legasi. Konsert yang akan berlangsung pada 30hb September 2012 bermula jam 8 malam ini akan diadakan di KL LIVE@ LIFE CENTRE. Ianya akan menampilkan : Man Keedal, Hillary Ang, Joe Wings dan Kid Search di atas satu pentas.

Pemilihan gitaris-gitaris ini dibuat atas konsistensi pengaruh mereka dalam dunia gitar Malaysia. Konsert G4 ini turut diserikan dengan penampilan artis-artis undangan istimewa.

Man atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood, 49, berkata, pendedahan yang diterima peminat muzik tempatan hari ini menjadikan mereka bersikap lebih terbuka dalam menghargai muzik serta peranan pemuzik dalam sesebuah kumpulan dan bukan menilai vokalis semata-mata.

“Berdasarkan pengalaman saya selama 35 tahun dalam bidang ini, saya sedar kira-kira 50 peratus peminat muzik mengenali dan menghargai susunan dan komposisi sesebuah muzik. Ini kerana saya sering mendapat undangan beraksi solo di acara-acara hiburan dan majlis korporat. Atas sebab itu saya yakin konsert yang mengetengahkan gitaris sahaja mampu menarik minat orang ramai,” katanya.

Gitaris kumpulan rock Lefthanded itu ditemui mStar Online pada sidang media konsert berkenaan di Restoran Ecoba, Damansara Perdana di sini, petang Khamis.

Konsert G4: Petikan Legasi akan berlangsung pada 30 September depan pukul 8 malam di KL Live, Kuala Lumpur.

Konsert G4: Petikan Legasi

Empat gitaris legenda (dari kiri) Kid (Search), Man Keedal, Joe (Wings) dan Hillary Ang.

Man berkata, usaha berterusan perlu dilakukan secara konsisten bagi mendidik masyarakat untuk menghargai muzik sebagaimana diamalkan penduduk di luar negara.

“Masyarakat kita lambat didedahkan dengan ilmu dan peranan sesebuah muzik. Rata-rata peminat kita hanya tahu menghargai penyanyi dan lagu berbanding sesebuah komposisi muzik. Namun, ia semakin berubah apabila sebilangan besar peminat sekarang tahu mengenai selok-belok muzik. Sebagai penggiat, kami tidak boleh berhenti untuk mendidik masyarakat menerusi acara-acara persembahan di depan khalayak sekerap yang mungkin dan menghasilkan lagu-lagu instrumental baru untuk mereka kenali dan hargai seperti juga lagu-lagu bervokal,” katanya.

Dalam pada itu, wakil penganjurnya Sharifah Murshidah dari RK Polaris berkata, keempat-empat gitaris tersebut menjadi pilihan kerana kredibiliti dan pengalaman mereka dalam bidang muzik.

“Mereka adalah legenda dan memang sejak awal mereka berempat adalah pilihan kami. Tiada lagi gitaris lain di Malaysia sehebat mereka,” katanya.

man kidal
Gitaris legenda Man Keedal (gambar) percaya Konsert G4: Petikan Legasi yang menampilkannya bersama gitaris lain iaitu Hillary Ang, Joe (Wings) dan Kid (Search) mampu menarik minat penggemar muzik rock tanah air.

“Gitaris-gitaris hebat ini telah berada didalam dunia muzik lebih dari 20 tahun. Untuk mencapai bukan sahaja kemahiran dan teknik permainan mereka dan kekal dalam industri muzik sehingga kini bukanlah sesuatu yang boleh dicapai secara sambil lewa tanpa azam, minat dan kesedaran untuk terus majukan diri. Perjalanan karier mereka sahaja sudah cukup untuk menjadikan mereka sebagai ‘role model’ dalam memajukan diri kearah yang lebih baik.”

Tiket-tiket berharga RM100 dan RM120 boleh didapati dengan menghubungi talian 019-9412345 (Dino) atau 019-6249443 (Faiz).

Layari laman Facebook dan Twitter “Konsert G4” untuk keterangan lanjut. Konsert berkenaan dianjurkan RK Polaris.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Review Cyberview Resort & Spa

Konsert BigBang Galaxy Tour di Malaysia