in , , ,

Konsert Fenomena Faizal Tahir di Hari Raya Kedua

FAIZAL TAHIR SEMANGAT, ROCKENSTEINERS BERTENAGA!

Selesai Akustika 2010, Semua Untukmu… Anuar Zain dan Mentor Raya, kini tiba giliran Fenomena Faizal Tahir, sebuah lagi program muzikal yang bakal memeriahkan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Faizal Tahir tidak tampil berseorangan kerana beliau akan ditemani oleh tiga orang teman yang cukup dikenali iaitu Azlan The Typewriter, Adibah Noor dan M. Nasir. Saksikan Fenomena Faizal Tahir pada Hari Raya Kedua (11 September), jam 6.00 petang, hanya di TV3!

Faizal Tahir

Ratusan peminat telah hadir untuk menjayakan Sesi Rakaman Fenomena Faizal Tahir yang berlangsung di Studio Sri Pentas 2, Shah Alam pada 8 Ogos 2010. Berbeza dengan Akustika 2010 dan Semua Untukmu… Anuar Zain, Fenomena Faizal Tahir berkonsepkan standing crowd, pun begitu ia bukan halangan buat duta Kempen Bebaskan Bumi Palestin ini untuk mendekati peminatnya seterusnya menghiburkan mereka!

Menurut penerbit dan pengarah program ini, Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam), “Pemilihan Faizal adalah berdasarkan permintaan peminat sendiri, justeru itu pihak produksi telah mengadakan perbincangan dengan Faizal untuk merealisasikan program ini.

Jika diimbas kembali di Konsert Inspirasi Muzik Muzik pada bulan Jun lalu, Faizal tidak membuat persembahan seperti kebiasaan kerana mengalami masalah suara. Lantaran itu, Fenomena Faizal Tahir diadakan mengikut perkembangan industri hiburan hari ini.

Konsep ala konsert dengan penekanan penggunaan kesan-kesan khas dari sistem lampu dan LED secara kreatif ini bersesuaian dengan semangat ‘rockensteiners’. Malam ini Faizal dibantu oleh kumpulan muzik beliau sendiri iaitu Royal FT Force yang dianggotai oleh Rizal (gitar), AG (gitar), Fly (bass), Jenk (drum) dan Genervie Kam (keyboard).”

Faizal Tahir

Walaupun Faizal Tahir hanya menduduki tempat kedua di dalam program realiti TV, One In A Million (OAIM), Faizal Tahir tidak pernah mengaku kalah dan terus mencipta nama di persada seni tanahair. Bukan sahaja menjadi antara penyanyi terkenal pada masa kini malah Faizal Tahir telah mencipta fenomenanya sendiri. Tidak kira di mana beliau beraksi, jumlah peminat yang hadir pasti di luar jangkaan!

Faizal Tahir terkenal dengan persembahan yang cukup energetic, Anugerah Juara Lagu (AJL) 24 lalu beliau terpaksa membuat persembahan dalam keadaan tidak sihat, pun begitu beliau tetap memberikan satu persembahan yang hebat dan berjaya merangkul tempat ketiga.

Walaupun sibuk dengan jadual yang ketat, beliau tetap prihatin dan sedar akan tanggungjawab sosial yang harus dipikul, Jun lalu Faizal Tahir telah merakam klip video selama 30 saat sempena kempen Bebaskan Bumi Palestin.

Albumnya yang diterbitkan oleh Monkey Bone Records, Aku.Muzik.Kamu dan Adrenalin sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan dari para peminat. Majoriti single-singlenya menjadi siulan dan bahan bicara peminat muzik tempatan serta rakan media. Selepas single Bencinta, kini lagu Selamat Malam pula menguasai carta-carta radio. Itulah Fenomena, Fenomena Faizal Tahir!

Program muzikal sempena Raya ini dimuatkan dengan enam segmen kesemuanya di mana Faizal Tahir memulakan persembahan secara solo dengan Medley AJL – Mahakarya Cinta, Sampai Syurga, Cuba dan Bencinta.

Dua persembahan seterusnya, beliau bergandingan dengan Azlan The Typewriter untuk lagu Kelibat Si Penyair, Gerak Hati dan Adrenalin, kemudian dengan Adibah Noor untuk lagu Sejujur Hatimu, Terlalu Istimewa dan Selamat Malam.

Sebelum berduet dengan juara tiga kali Anugerah Juara Lagu (AJL) iaitu M. Nasir, Faizal Tahir meneruskan persembahan solo dengan dua buah lagu dari album barunya, iaitu Hanyut dan Superhero serta sebuah lagu cover Bryan Adams, Have You Ever Really Love A Woman dengan set akustik.

Segmen kelima, M. Nasir menyampaikan lagu Sang Pencinta dan kemudian bersama Faizal Tahir mempersembahkan lagu Kias Fansuri. Lagu Selamat Hari Raya yang dipopularkan oleh Ahmad Jais menjadi aksi penutup Fenomena Faizal Tahir.

Fenomena Faizal Tahir diterajui oleh Muhamad Sufian Isa selaku Penerbit Eksekutif dan Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) selaku Penerbit dan Pengarah dari Primeworks Studios. Jangan lupa temu janji anda bersama Faizal Tahir dan teman-temannya pada Hari Raya Kedua (11 September), jam 6.00 petang, eksklusif di TV3!

Faizal Tahir

adibah nor

Faizal Tahir

Faizal Tahir

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program Menarik di TV3 Ramadan 2010

Fasha Sandha, Azhar Sulaiman dalam Drama Rahsia Shaliza