in

Konsert Double Trouble Wings & Search

Pada 1 Mei ini, dua kumpulan rock lagenda, Search dan Wings akan bergabung dalam Konsert Double Trouble di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort. Gerenti gempak habis. Ternyata, setelah hampir 30 tahun dalam industri dan melalui pelbagai kontroversi, namun kumpulan rock ini masih gah berdiri sehingga ke hari ini.

4507877473 7E6901B80A O | 4

Menyedari komitmen besar yang digalas itu, Awie dan geng Wings termasuk Joe, Eddy dan Black yang sedang sibuk dengan latihan untuk konsert itu turut bergiat aktif dalam persiapan fizikal.

Terbaru, kumpulan yang popular dengan lagu Sejati ini dikatakan mula aktif bersenam di gimnasium bagi mengekalkan stamina dan mengembalikan kecergasan fizikal mereka. Aktiviti ini adalah sebahagian daripada persiapan mereka untuk menghadapi konsert penting itu kelak.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, dia dan geng Wings yang lain mula aktif dengan aktiviti senaman di gimnasium sejak kira-kira sebulan dua yang lalu.

Bermula dengan dirinya, Awie kemudiannya mengajak rakan-rakan kumpulannya itu untuk turut serta.

“Sebagai persiapan fizikal bagi memantapkan stamina dan tenaga kami untuk konsert ini, saya dan geng Wings sudah mula bersenam di gimnasium sejak sebulan yang lalu. Maklumlah, umur pun bukan makin muda dan kami pula sudah terlalu lama tidak mengadakan konsert besar seperti Double Trouble 2. Masing-masing sudah ‘pancit’ dan kurang berstamina seperti dulu.

“Atas kesedaran itu, saya ajak geng yang lain untuk bersenam di gimnasium. Pada awalnya, saya yang mula-mula bersenam semula di gimnasium. Kemudian saya ajak mereka untuk turut serta. Selain latihan nyanyian, hampir setiap malam kami akan ‘layan’ gim untuk bersenam,” katanya.

“Bersyukur akan disatukan semula di atas satu pentas selepas 17 tahun dan kali terakhir adalah pada Konsert Double Trouble tahun 1993. Kami rasa ‘teragung’ apabila anak watan diberi kepercayaan untuk menjayakan konsert besar-besaran seperti ini. Kami harap konsert ini akan menjadi yang terulung dan terbaik untuk tahun ini.

“Walau bagaimanapun, konsert ini hanya akan diadakan di Kuala Lumpur buat masa ini. Tiada konsert jelajah dalam perancangan,” kata Awie.

Akui penyanyi dan pelakon berusia 41 tahun itu lagi, sudah hampir dua tahun dia tidak bersenam di gimnasium sejak terlibat aktif dalam bidang lakonan filem, drama dan teater.

Justeru, peluang untuk beraksi di konsert ini adalah alasan terbaik untuk dirinya kembali aktif ke gimnasium seperti dulu.

“Sudah dua tahun lebih saya tidak bersenam di gimnasium. Seingat saya selepas berlakon dalam filem Sumo-lah pada 2007, saya tidak lagi aktif ke gimnasium.

“Komitmen dalam karier lakonan yang silih-berganti membuatkan saya semakin sibuk dan tidak kisah untuk menjaga bentuk badan.

“Memandangkan konsert ini makin hampir dan kami memerlukan stamina dan kecergasan, jadi saya ajak mereka ‘layan’ gim untuk memantapkan stamina dan fizikal kami,” jelas Awie yang bakal menimang anak kelimanya pada pertengahan bulan ini.

Konsert yang akan berlangsung dua jam akan menyaksikan dua lagenda rock Malaysia mempersembahkan 20 lagu hits seperti Gemuruh, Opera Hidup, Fantasia Bulan Madu, Isabella dan Derap Komando.

Konsert Double Trouble akan diadakan pada 1 Mei 2010 di Arena Tertutup, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort bermula jam 8.45 malam.

Tiket boleh didapati dengan harga RM70 di lokasi seperti Viva Sports – Kompleks Pertama, Triways Travel Network – KLCC, Istana Budaya, Sri Amera Holidays – Plaza Alam Sentral dan HTO De Futsal – Dataran Sunway ataupun layari www.1malaysiaticket.com atau www.ticket2u.biz

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Siri Human Target Di TV3 11 April Ini

Gambar Candid & Spontan Selebriti