in , ,

Konsert Dewa 19 Diteruskan Walaupun Ahmad Dhani Dipenjara

Penganjur Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia Feat Ari Lasso & Once Mekel, Nizra Production menafikan, konsert itu bakal ditunda atau dibatalkan.

Pengarah Urusannya, Nik Iruwan berkata, konsert yang bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu ini akan tetap diteruskan seperti yang dirancang.

“Kami ingin memaklumkan tiada sebarang penundaan atau pembatalan konsert seperti yang digembar-gemburkan.

“Peminat yang sudah membeli tiket tidak perlu risau kerana konsert itu akan tetap berlangsung seperti dijadualkan.

“Dewa 19 juga akan memberikan persembahan terbaik buat semua,” katanya dalam satu kenyataan media.

Isu itu tercetus apabila ketua kumpulan Dewa 19 yang juga gitaris utamanya, Ahmad Dhani dikenakan hukuman penjara 18 bulan selepas disabitkan kesalahan atas tuduhan menyebarkan kata-kata kebencian di laman sosial menerusi perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Jakarta Selatan, hari ini.

Dalam satu temu bual bersama media Malaysia sebelum ini, Dhani memberi bayangan, konsert itu mungkin menjadi persembahan terakhir mereka.

Katanya, ini kerana kumpulan itu tidak lagi menghasilkan album atau single baharu, sebaliknya boleh dianggap sebagai ‘band panggilan’ yang hanya muncul apabila diundang.

Konsert ini juga dianggap istimewa kerana menggabungkan tiga vokalis asal kumpulan itu iaitu Dhani, Once dan Ari Lasso. Mereka bersilih ganti berada di posisi vokal sejak Dewa 19 ditubuhkan di Surabaya pada 1986.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ikon & Legenda Sukan Antarabangsa Dalam Dokumentari NATIONAL ICONS

Maxis Raikan Tahun Baru Cina Bersama Warga Emas