in ,

Konsert AWIE ROMANTIKA Raikan Ulangtahun ke-25 Perjalanan Seni Awie

Konsert AWIE ROMANTIKA bakal dipersembahkan di Stadium Malawati Shah Alam pada 15 Februari 2020, Jam 8:00 malam. Sambutan Jubli Perak Datuk Awie Dalam Konsert Awie Romantika.

Datuk Awie atau lebih dikenali sebagai Awie merupakan sebuah nama besar dalam industri seni tempatan. Pemilik nama sebenar Ahmad Azhar bin Othman ini bukan sahaja dikenali sebagai figura rock lagenda malah beliau turut berjaya memahat namanya dalam bidang lakonan, pengacaraan dan melawak, sekali gus menjadikannya antara bintang tanahair yang paling versatil.

Namanya mungkin lebih sinonim dengan kumpulan rock lagenda Wings apabila memulakan kerjaya seninya sebagai penyanyi utama kumpulan itu.

Konsert AWIE ROMANTIKA

Namun, bintang Awie tidak pernah berhenti bersinar walaupun pernah mengundurkan diri seketika dari kumpulan lagenda itu pada tahun 1993.

Awie

Langkah beraninya bergerak secara solo menyaksikan Awie tampil dengan lima buah album studio solo dan satu album ‘live’. Bermula dengan album solo pertamanya ‘Awie’ pada tahun 1994, yang memuatkan lagu hits seperti Tragedi Oktober, Ukiran Jiwa, Permainan Duniawi dan Dibayang Awan, album itu mencecah jualan 220,000 unit menjadikan beliau masih memegang Rekod Album Solo Lelaki Paling Laris Di Malaysia sehingga kini.

Konsert AWIE ROMANTIKA

Disusuli dengan album seperti Awie – “Live” Unplugged (1995), O-Tak (1996), Satu (1998), Rentap (2000) dan Santai (2005) berjaya mencipta fenomena tersendiri dan menjulang popularitinya sebagai artis lelaki popular.

Walaupun kembali menyertai Wings pada tahun 2000 dan terlibat dalam beberapa projek khas bersama Wings, perjalanan seninya sebagai penyanyi solo tetap berlangsung dengan jayanya.

Berbekalkan kekuatannya yang tersendiri, kerjaya seninya semakin berkembang apabila beliau berjaya menakluk cabang seni lakonan, pengacaraan dan melawak menjadi sebahagian portfolio seninya.

Awie merupakan antara artis yang mempunyai kerjaya solo yang sangat cemerlang dan puncak kegemilangannya di persada seni adalah ketika beliau menjalani kerjayanya secara solo.

Walaupun bermula sebagai vokalis utama Wings, Awie berjaya membina sebuah jenama yang tersendiri. Tanpa memerlukan sedikit pun bayangan jenama Wings di pangkal namanya, nama Awie tetap tersohor di zaman kegemilangannya sehingga kini.

Bagi meraikan ulangtahun ke-25 perjalanan seninya sebagai artis solo, Awie bakal mempersembahkan sebuah konsert istimewa bertemakan cinta berjudul KONSERT AWIE ROMANTIKA. 

Konsert ini bakal dipersembahkan di Stadium Malawati Shah Alam pada 15 Februari 2020, Jam 8:00 malam.

Sekiranya sebelum ini Awie lazim muncul dalam konsert bersama Wings, konsert yang menggandingkannya bersama lagenda rock tempatan seperti Ella, atau konsertnya bersama band projeknya Dragon Malaya.

Kali ini KONSERT AWIE ROMANTIKA bakal menyajikan kelainan apabila buat pertama kalinya selepas hampir 25 tahun, Awie tampil dengan konsert solo.

Kali terakhir Awie tampil solo dalam sesebuah konsert adalah menerusi konsert solo perdananya, Konsert Awie Live Unplugged di Live Centre KL pada tahun 1995.

Dalam konsert anjuran bersama Atirox Ltd dan IK Global Berhad ini, Awie bakal mempersembahkan seleksi lagu dari katalog album-album solonya yang diberikan susunan muzik yang lebih segar.

Persembahan Awie bakal diiringi oleh pemuzik-pemuzik handalan dibawah pimpinan pengarah muzik terkenal.

Mengulas tentang penganjuran konsert ini, Awie berkata,

“Konsert ini diadakan atas dasar meraikan ulangtahun jubli perak saya dalam dunia nyanyian solo.

Untuk konsert ini saya cuba tampilkan persembahan berkonsepkan konsert teatrikal/muzikal yang mengangkat tema romantika,”

“Walaupun konsert ini dijadualkan untuk dipersembahkan sehari selepas Hari Kasih Sayang (Valentine’s Day), namun jauh sekali niat kami untuk menyambut hari tersebut.

Konsep konsert bercorak romantika sudah lama saya rancang, Cuma secara kebetulan saja tarikh 15 Februari dipilih setelah mengambilkira jadual seni saya dan mereka yang bakal terlibat dalam konsert ini,”

– Awie

Awie menjelaskan mengenai tarikh yang dipilih untuk KONSERT AWIE ROMANTIKA turut menampilkan artis undangan istimewa yang bakal diumumkan kelak.

Peminat boleh menjangkakan mereka bakal dihiburkan dengan gabungan lagu hits malar segar Awie yang suatu masa dahulu pernah membawanya ke pentas berprestij Anugerah Lagu, memenangi anugerah berprestij di Anugerah Industri Muzik dan mengangkatnya sebagai antara vokalis lelaki terunggul di Malaysia.

Lagu seperti Tragedi Oktober, Ukiran Jiwa, Di Bayang Awan, Ratuku, Di Penjara Janji, Alif Ba Ta Duniaku dan banyak lagi yang pastinya akan membawa peminat mengimbau kembali tahun-tahun mereka bersama Awie.

Dalam menyatakan harapannya tentang sambutan peminat terhadap konsert ini, Awie berkata,

“Setelah hampir 25 tahun tidak muncul dengan konsert secara solo, saya berharap peminat saya berasa teruja dengan penganjuran konsert ini.

Dapatlah kiranya semua yang pernah membesar dengan lagu-lagu saya hadir ke konsert ini.

Selain daripada berhibur, pihak penganjur juga ada menyediakan hadiah-hadiah istimewa dalam cabutan nombor bertuah.

Istimewanya konsert bertema romantika yang dibawakan secara muzikal/teatrikal ini, sedikit sebanyak bakal membawa penonton mengimbau kembali zaman mereka masih muda, zaman ketika mereka baru mengenal erti cinta, ketika mereka baru merasa sakitnya patah hati, kisah cinta sebelum dan selepas ikatan perkahwinan.

Pastinya konsert ini menjanjikan suatu pengalaman yang berbeza.”

– Awie

Tiket KONSERT ROMANTIKA dijual bermula dengan harga RM88, RM128, RM188, RM238, RM308 dan RM438. EARLY BIRD 20% daripada harga semua tiket bermula 1hb Oktober 2019 hingga 30hb November 2019.

Tiket boleh dibeli secara online di: https://myticket.asia

Konsert AWIE ROMANTIKA

MAKLUMAT KONSERT

KONSERT AWIE ROMANTIKA” dianjurkan oleh ATIROX LTD & IK GLOBAL BERHAD

Tarikh : Masa : Tempat : Artis : Harga Tiket :

15 Februari 2020, 8.00 malam

Stadium Malawati Shah Alam Awie

Free Seating:

Numbered Seating –

RM88 (Green Zone) RM128 (Purple Zone)

RM188 (Yellow Zone) RM238 (Red Zone) RM308 (Grey Zone) RM438 (VIP Zone)

Konsert AWIE ROMANTIKA
Konsert AWIE ROMANTIKA
Konsert AWIE ROMANTIKA
Konsert AWIE ROMANTIKA
Konsert AWIE ROMANTIKA

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Premiere With Budiey Filem SAAHO

Pelancaran Pelan Terbaharu Hotlink Postpaid Flex & Big Stage Showdown