in ,

Yang Anda Perlu Tahu Tentang Koir Kebangsaan Malaysia

Berikut di bawah ini adalah fakta-fakta atau profile yang anda mungkin cari dan nak tahu pasal Koir Kebangsaan Malaysia

Koir Kebangsaan Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1991 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan yang kini dikenali sebagai Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Dari tahun 2004 hingga kini, Koir Kebangsaan Malaysia telah dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Koir Kebangsaan Malaysia merangkumi tiga buah kumpulan iaitu :-

i. Koir Kebangsaan (18 tahun ke atas)
ii. Koir Remaja Kebangsaan (13 tahun hingga 17 tahun)
iii. The Consort (ensembel seramai 12 orang)

Selain memperjuangkan lagu-lagu rakyat serta tradisional Malaysia, kumpulan ini juga berkebolehan menyanyikan lagu – lagu klasikal, kontemporari dan pop dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Mandarin, Tamil, Jerman, Itali, Perancis, Sepanyol dan juga Latin.

Koir

Koir Kebangsaan Malaysia sering mengadakan persembahan – persembahan di seluruh negara dan juga di peringkat antarabangsa. Selain daripada mengadakan persembahan di hadapan pembesar-pembesar negara, kumpulan koir ini juga sering diundang untuk mengiringi persembahan artis-artis ternama tempatan seperti Dato’ Siti Nurhaliza, M.Nasir, Mawi, Zainal Abidin, Dayang Nurfaizah, Dato’ Khadijah Ibrahim dan lain-lain.

Koir ini juga turut mengadakan persembahan bersama kumpulan koir antarabangsa seperti koir Isahaya Boys dan Girls Chorus Group dari Nagasaki Jepun, Song Company dari Australia selain bergandingan dengan penyanyi-penyanyi klasikal seperti Syafinaz Selamat, Heidrun Maria Hahn, Siti Chairani Proehoema, Chin Young dan Cecilia Yap.

Selain sering berkolaborasi dengan Orkestra Simfoni Kebangsaan dan Malaysian Philharmonic Orchestra, kumpulan koir ini sering mendapat bimbingan daripada konduktor – konduktor tersohor seperti Roland Peelman (Australia), Antony Walker (Australia), Tong Suan (Thailand), Drs. Yoesbar D’jaelani (Indonesia), Tazul Izan Tajuddin (Malaysia) dan Yap Cheng Mei (Malaysia). Antara konsert – konsert besar yang dijalankan dengan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan ialah Konsert Bel Canto, “Carmina Burana oleh Carl Orff”, “Haydn – The Creation”, “Beethoven – Symphony No. 9”, “Motet, Ave Verum Corpus oleh Mozart” dan “Horrortorio oleh Joseph Horovitz”.

Konsert “In Love With Peace” pertama kalinya dipertontonkan kepada masyarakat pada Disember 2009. Lantaran sambutan yang di luar jangkaan, kumpulan koir ini telah dijemput untuk membuat persembahan di Perlis dan Pulai Pinang pada tahun berikutnya. Pada tahun ini, konsert ini di bawa ke beberapa buah IPTA untuk dapat memberikan pendedahan kepada pelajar, khususnya pelajar bidang muzik khasnya dan pelajar UiTM amnya.

Baru-baru ini Koir Kebangsaan telah menghasilkan sebuah buku dan CD lagu – lagu tradisional Malaysia “Koleksi Lagu –Lagu Koir Kebangsaan Malaysia”.

Isi Kandungan:

PROFIL

PENGARAH KOIR – Tunku Marina Tunku Dato’ Zubir.

Pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang perniagaan dan pentadbiran dari Universiti Ohio, Amerika, Tunku Marina juga merupakan graduan muzik dari Institut Teknologi MARA. Bermula sebagai salah seorang penyanyi Koir Kebangsaan, beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Koir Kebangsaan pada tahun 1995. Di bawah tampuk pimpinannya, kumpulan ini telah berjaya melebarkan sayapnya ke seluruh Malaysia dan berpeluang membuat persembahan di majlis-majlis berprestij.

Di samping tugasnya sebagai pengurus kepada penyanyi klasikal tersohor, Syafinaz Selamat, beliau juga adalah pensyarah jemputan di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UiTM .

PENGARAH PERSEMBAHAN & VOKAL – Syafinaz Selamat

Syafinaz Selamat merupakan graduan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari jurusan Muzik pengkhususan dalam Vokal dan Piano telah berkecimpung di dalam nyanyian semenjak dari zaman kanak – kanak. Bersuara coloratura soprano, beliau sering mendapat jemputan untuk mengadakan persembahan di dalam dan luar negara seperti di Jerman, Monaco, Spain, Korea dan sebagainya. Disamping itu beliau juga sering dijemput untuk mengadakan persembahan – persembahan klasikal bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Dalam kapasiti beliau sebagai pengarah persembahan beliau telah mengarahkan persembahan – persembahan Koir Kebangsaan Malaysia dan yang terbaru adalah “Konsert Dir… Suara 1 Malaysia” dan “The Music Makers”.

Sebagai penyanyi berpendidikan tinggi dan dikenali, Syafinaz merupakan juri yang disegani dan sering dijemput untuk mengadili pertandingan – pertandingan nyanyian dan program-program realiti. Pada tahun 1999 beliau telah memenangi pingat emas di sebuah pertandingan berprestij di Amerika.

Beliau juga telah dijemput untuk menyanyi pada majlis penutup ‘World Economic Forum’ di Davos Switzerland (2007), persembahan di World Expo di Zaragoza, Spanyol (2008) dan menyanyi untuk SEA GAMES di Vientiane, Laos (2009) dan baru –baru ini beliau telah dijemput untuk menyanyi di Islamic Fashion Week di Monte Carlo, Monaco (2010), di hadapan Putera Albert.

Syafinaz adalah pensyarah vokal di UiTM dan ASWARA. Selain tugasnya sebagai penasihat dan pengarah vokal bagi Koir Kebangsaan Malaysia, beliau telah dilantik oleh Datin Seri Rosmah Mansur, isteri Perdana Menteri Malaysia sebagai Pengarah Koir Permata Seni Koir.

KONDUKTOR – Amri Zane

Amri Zane merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Universiti Teknologi MARA pengkhususan dalam Vokal. Beliau telah mengadakan persembahan solo di dalam dan luar negara, antaranya Korea dan Singapura.

Mula berkhidmat sebagai Konduktor Koir Remaja Kebangsaan pada tahun 1996 sehingga 2000 dan seterusnya dilantik untuk menjadi konduktor Koir Kebangsaan Malaysia pada 2004 sehingga kini. Bertugas sebagai pensyarah jemputan di beberapa buah pengajian tinggi di sekitar Lembah Klang seperti di Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA), dan Universiti Teknologi MARA.

KOIR KEBANGSAAN

KONSERT “CINTAKAN KEDAMAIAN”JELAJAH IPTA 2011

Pengarah Koir – Tunku Marina Tunku Dato’ Zubir
Pengarah Persembahan & Vokal – Syafinaz Selamat
Konduktor – Amri Zane

SOPRANO
Azzahra Shafie
Chermaine Low Hui Ting
Dayang Siti Hazar Awang Hassim
Lilis Syafiza Mohd Yatim
Lilis Syafuza Mohd Yatim
Rabi’atul Raba’ah Baharudin
Tan Yon Lynn

ALTO
Ainaa Yasyira Ab Ghafar
Aryanti Harny Hamli
Athira Yuhada Ab Ghafar
Iklil Jannah Johari
Nurul Farhana Abd Razak
Phoon Ru Yi
Qurratul ‘Ainn Rozaini

TENOR
Azahar Abdullah
Lazarul Afiezy Zakaria
Mohamad Izwan Mohd Izhar
Mohd Fakhri Hanif Dimyati
Mohd Radzi Abd Rashid
Shaffiq Erwin
Wong Chee Kan

BASS
Abdullah Azizi Iskandar Dzulkurnain
Ammar Asyraf Saiful Azrin
Andrew Saw Tek Wei
Kong Ding-Xuan
Mohd Izaaq Rusly
Tan Yi Han

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Trending Huawei | 23

Jom Join Peraduan Sepetang Bersama Yazer

Dynas Mokhtar Menyelongkar Derita Pesakit HIV dalam Drama JALAN TERAKHIR MAMA