in

Kisah Sepah Raja Lawak di Astro Ria

KISAH SEPAH DI ASTRO RIA

Astro RIA (saluran 104) dengan bangganya meneruskan inisiatif untuk memberikan hiburan untuk seisi keluarga yang berterusan dengan membawakan sebuah lagi program yang bakal mencuit hati para penonton melalui program Kisah Sepah yang akan bersiaran pada setiap hari Ahad, jam 9.30 malam bermula pada 29 Mac 2009 ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro RIA (saluran 104), Encik Khairul Mizan Shagul berkata, “Seperti yang telah dijanjikan, juara bagi program realiti Raja Lawak Astro akan muncul melalui program khas sejurus selepas bergelar juara sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang tidak jemu-jemu menyokong pembabitan mereka semasa pertandingan berlangsung.

Kami yakin kumpulan Sepah mempunyai peminat tersendiri yang akan terus menyokong kerjaya mereka sehingga menjadi kumpulan pelawak yang disegani tidak lama lagi. Program khas yang telah disediakan ini merupakan salah satu daripada batu loncatan yang telah dirancang bagi memulakan  kerjaya mereka selaku  pelawak yang bukan sahaja berkualiti  malah  disegani .”

“Selepas kejayaan program Raja Lawak Astro musim ketiga berjaya menarik perhatian ramai penonton terutamanya pada episod akhir yang berjaya meraih lebih daripada 1.3 juta penonton, kami yakin pelawak-pelawak yang kami lahirkan melalui program ini mempunyai ruang untuk terus berkarya di dalam industri hiburan tanahair.

Prestasi yang membanggakan ini juga merupakan salah satu daripada testimoni utama kami dalam memberikan hiburan yang berterusan dengan menonjolkan juara bagi program Raja Lawak Astro, iaitu kumpulan Sepah  melalui sebuah program khas lapan episod,” ujar Khairul lagi.

Kisah Sepah akan memaparkan perjalanan dan aktiviti kerjaya seni kumpulan Sepah selepas mereka dinobatkan sebagai juara bagi program realiti mencari bakat lawak melalui Raja Lawak Astro musim ketiga. Segala pengalaman pahit manis dan suka duka mereka yang baru pertama kali bergelar artis akan dipaparkan dalam program khas ini selama 30 minit pada setiap minggu.

Pelbagai gelagat spontan mereka boleh diikuti semasa menghadiri sesi fotografi, membuat persembahan pentas di khalayak umum dan majlis tertutup serta kegiatan mereka di masa lapang. Para penonton juga dapat melihat bagaimana mereka bersatu dalam mengeluarkan idea-idea bernas sebelum mengadakan persembahan pentas.

Kumpulan Sepah yang terdiri daripada Shuib, Mamat dan Jep juga akan berkongsi pengalaman suka-duka sebelum menyertai pertandingan Raja Lawak Astro.

“Istimewanya program khas ini juga ialah apabila para penonton akan didedahkan dengan pengakuan-pengakuan kumpulan Sepah sebelum dan semasa pertandingan berlangsung yang belum pernah dihebahkan kepada mana-mana pihak seperti Shuib dan Jep yang bernazar untuk membotakkan kepala jika terpilih memasuki pertandingan Raja Lawak Astro musim ketiga,” ujar Khairul lagi.

Selain dari mengikuti kegiatan kumpulan Sepah di belakang tabir, para penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan sketsa pendek sebagai selingan program.

Bagi mereka yang merindui gelagat dan persembahan pentas kumpulan Sepah pada setiap minggu melalui pertandingan Raja Lawak Astro musim ketiga, jangan lupa untuk saksikan perjalanan pertama mereka bergelar anak seni melalui program Kisah Sepah pada setiap hari Ahad, jam 9.30 malam bermula pada 29 Mac 2009 ini. Eksklusif di Astro RIA!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

PRICE MAXIS IPHONE 3G LAUNCH KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE

Drama Merah Putih Lakonan Zahiril Adzim dan Ellyas Abdullah