in , ,

Kesiannya! Semua Tak Boleh Balik Raya di Kampung Aidilfitri Ini

Hari ini tanggal 1 Mei, tenaga kerja di seluruh Malaysia meraikan sambutan Hari Pekerja dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pastinya ia berbeza selepas kita menempuhi pelbagai cabaran berikutan pandemik COVID-19.

Tiada perhimpunan hari pekerja seperti kebiasaannya, sama ada yang dirancang oleh Kerajaan Persekutuan mahupun negeri dan ini adalah sebahagian daripada normal baharu yang perlu dilalui masyarakat Malaysia pada hari ini. Hari Pekerja kali ini disifatkan ‘unik’ kerana berjaya menaikkan semangat pekerja untuk memberikan yang terbaik kepada kesejahteraan negara terutamanya kepada petugas barisan hadapan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Mereka semua bekerja tanpa mengenal erti penat lelah untuk memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan.

Sementara itu, pekerja yang bukan daripada sektor yang dibenarkan kerajaan untuk beroperasi diminta agar kekal duduk di rumah supaya dapat bersama-sama memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 ini.

Dalam masa yang sama, tidak dilupakan juga terdapat pekerja yang pendapatan mereka terjejas sewaktu wabak ini menyerang, antaranya seperti sektor pelancongan dan juga sektor perniagaan kecil-kecilan contohnya makanan. Walaupun ada yang masih boleh beroperasi, tetapi terhad dengan kekangan PKP.

Statistik menunjukkan penularan ini berjaya diratakan dan bilangan kes positif COVID-19 secara harian yang konsisten iaitu pada kadar dua angka dalam tempoh 14 hari berturut-turut sejak 17 April yang lalu. Ia menyaksikan Malaysia kini memberikan sedikit kelonggaran dalam peraturan sekatan pergerakan yang kini dilanjutkan sehingga 12 Mei ini.

Ketua Pengarah Kesihatan iaitu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat semalam, penularan COVID-19 di negara ini telah menjangkiti 6,002 orang dan meragut sebanyak 102 nyawa.

Namun, kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj kini meningkat sebanyak 4,171 kes atau 69.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. 

Rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan perutusan khas sempena Hari Pekerja, pada Jumaat.

Pkp

Muhyiddin berkata, ia antara langkah yang digariskan selepas kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei ini.

Menurutnya, kerajaan sedia membuka semula aktiviti ekonomi secara terkawal dan berhati-hati mengikut syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi

“Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal,” kata Muhyiddin.

– Tan Sri Muhyiddin Yassin

Muhyiddin berkata, perjalanan rentas sempadan negeri juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri selepas terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.

“Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan.

“Buat masa ini, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka,” katanya.

– Tan Sri Muhyiddin Yassin

Beliau berkata, majikan digalakkan membenarkan kakitangan mereka bekerja dari rumah atau secara selang-seli bagi selepas kerajaan membenarkan sektor ekonomi dibuka semula.

Menurutnya, langkah itu juga boleh membantu ibu bapa menyelesaikan masalah penjagaan anak-anak.

“Walaupun pusat penjagaan kanak-kanak akan dibuka dengan mengamalkan standard prosedur operasi (SOP) tertentu tetapi ramai ibu bapa yang masih bimbang untuk menghantar anak-anak ke pusat penjagaan kanak-kanak.

“Kalau majikan boleh membenarkan datang kerja secara selang-seli ia boleh membantu selesaikan masalah ini.

“Jika anak tak perlu dihantar ke pusat jagaan, ia secara tidak langsung memudahkan penjaga mengikut SOP yang ditetapkan ketika penjagaan kanak-kanak,”

– Tan Sri Muhyiddin Yassin

Berikut Antara Yang Dibenarkan Atau Tidak Dibenarkan Sepanjang PKPB:

– Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran tidak dibenarkan.

– Selain perniagaan, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan.

– Ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium. Aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan.

– Boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton. Jogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan.

– Majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

– Aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumahrumah ibadat juga tidak dibenarkan.

– Perjalanan rentas sempadan negeri juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.

– Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Bon Jovi | 16

Tangguh Bayaran Pinjaman Bank, Pelanggan Diberi Dua Pilihan

Yuna | 17

Video GlamBOT Yuna Raih Perhatian di Karpet Merah Anugerah People’s Choice