in

Kerana Dia Ayahku di TV2

TELEMOVIE HARGAI PENGORBANAN LELAKI BERGELAR BAPA MENGISI SLOT MUSTIKA @ 2 DI TV2

Istimewa bulan Jun ini pastinya sambutan meraikan Hari Bapa yang disambut saban tahun khas menghargai sumbangan dan jasa seorang ayah berbakti untuk isteri, anak-anak dan keluarga tersayang. TV2 turut tidak ketinggalan mahu berkongsi kemeriahan itu dengan menjanjikan kepada penonton setia salurannya telemovie-telemovie menarik menerusi slot Mustika @ 2 iaitu Kerana Dia Ayahku yang akan disiarkan pada 19 Jun 2009 (Jumaat) dan Fitrah Lelaki pada 20 Jun 2009 (Sabtu), jam 10.00 pagi menerusi slot Mustika @ 2 di TV2.
      
Kerana Dia Ayahku mengisahkan Emma, yang bekerja sebagai kerani tinggal bersama ibunya Zarah di sebuah rumah sewa. Mereka amat rapat, sebagaimana lazimnya anak perempuan dengan ibunya. Suatu hari, sewaktu Emma pulang dari kerja, dia mendapat panggilan dari Salleh, ayahnya yang cuba untuk memberitahu Saniah baru saja meninggal dunia. Emma menjawab sinis sehingga memaksa Zarah sendiri menjawab panggilan. Zarah bergegas bersiap untuk melawat jenazah Saniah, isteri muda Salleh suaminya dan madunya sendiri.

Semasa ketiadaan Emma, Salleh datang bertemu Zarah, isteri pertamanya. Dia segan-segan kerana sudah lama tidak balik ke rumah Zarah mengalu-alukan kepulangannya. Salleh terharu dan mula mengaku yang dia bersalah sebelum ini. Bersalah kerana mengabaikan hidup Zarah dua beranak setelah berkahwin lagi dengan arwah Saniah tujuh tahun lepas. Diakuinya juga yang dia telah tidak memberikan nafkah pada Emma, satu-satunya anak mereka berdua. Emma cuma membesar dengan hasil titik peluh Zarah bekerja di rumah orang.

Salleh juga mengakui telah menerima balasan tuhan kerana tak lama selepas kahwin dulu, perniagaan batiknya merosot dan akhirnya dia jatuh bankrap. Untuk meneruskan hidup selepas itu dan sampai sekarang, dia cuma mampu berniaga buah di pasar dengan modal yang kecil. Hidupnya juga susah sekarang kerana anak-anaknya dengan arwah Saniah masih kecil serta masih memerlukan penjagaan dan biaya yang bukan sedikit, sedangkan pendapatannya yang tidak seberapa.

Di depan ibunya, Emma terus meluahkan rasa bencinya yang menggunung pada ayahnya dan dia enggan mengaku yang anak-anak ayahnya dengan isteri muda adalah adik-adiknya sendiri. Bagi Emma juga, budak-budak itu telah turut merampas ayahnya dari dia, seperti arwah Saniah, dulu dan perlu dimusuhi sampai bila-bila. Dan perbuatan budak-budak itu akan dibalasnya, Itu tekad Emma.

Dapatkah Emma menerima ayah dan adik-adiknya semula atau Emma tetap dengan pendiriannya? Jangan ketinggalan untuk menyaksikan kesudahan drama ini yang dilakonkan oleh Shukery Hashim, Kartina Aziz, Almy Nadia dan Zila Bakarin.

Menyusul pada hari Sabtu, sebuah lagi telemovie menarik Fitrah Lelaki pula menemui penonton. Fitrah Lelaki dilakonkan oleh pelakon hebat seperti Roslan Salleh, Nadia Mustafar , Shahrul Nizam Nor , Aisyah Mat Desa , dan Putra Fatin yang mengisahkan seorang pesara tentera Pak Hamzah yang kesedihan setelah kematian isterinya. Hal ini menyebabkan dirinya tak terurus dan kesihatannya turut terjejas. Anak-anaknya, Amir anak sulong beserta Leena dan Azean bimbang dan bingung apa yang mereka dapat lakukan untuk mengubati kesedihan ayah mereka.

Pak Imam rakan baik Pak Hamzah menasihatinya supaya cuba mengubah susunan perabot di rumah supaya dapat mengurangkan kemurungan yang dialami. Namun ingatan pada arwah isterinya masih kuat. Pak Imam berpendapat Pak Hamzah bersedih kerana dia sentiasa sunyi dan mencadangkan supaya berkahwin dengan anak saudaranya Rosnah.

Cadangan Pak Hamzah untuk berkahwin mendapat tentangan daripada kedua anak-anak perempuannya Leena dan terutamanya Azean anak bongsunya. Begitu juga Saidah isteri Amir. Amir cuba memujuk kedua dua adiknya supaya menerima keputusan yang telah dibuat oleh Pak Hamzah. Namun mereka masih tidak dapat menerima Rosnah.

Sebaliknya mereka marah kepada Amir kerana menyokong tindakan ayah. Bagi mereka Pak Hamzah telah melupakan arwah isterinya dulu. Malangnya jodoh Pak Hamzah bersama Rosnah tidak panjang kerana dia meninggal kerana diserang demam denggi. Sehingga ke saat itu pendirian anak-anak perempuannya terhadap Rosnah masih tidak berubah. Pak Imam yang bimbang keadaan sama akan berulang, dia memberi penjelasan dan mengakui dia yang patut dipersalahkan kerana mencadangkan supaya Pak Hamzah berkahwin.

Pastikan anda meluangkan masa menonton kesudahan telemovie Kerana Dia Ayahku pada 19 Jun 2009 (Jumaat) dan Fitrah Lelaki disiarkan pada 20 Jun 2009 (Sabtu), jam 10.00 pagi menerusi slot Mustika @ 2 di TV2. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini beliau aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Adila & Yazid Peserta Oo La La Pertama Tersingir

Gambar Seksi Jasmin Hamid