in

Kejutan 6 Peserta Layak ke Peringkat Akhir Bintang RTM 2012

Kejutan 6 Peserta Layak ke Peringkat Akhir Bintang RTM 2012

Siapa sangka daripada lima orang peserta yang dijangkakan pada mulanya bakal melangkah kaki mara ke peringkat akhir namun pada saat akhir seorang lagi peserta dipilih menjadikan mereka enam orang semuanya yang bakal bertarung merebut gelaran Juara Bintang RTM 2012 (BRTM 2012) pada 8 Julai depan.

Kejutan diberikan pihak juri terdiri komposer terkenal; Adnan Abu Hassan, pensyarah vokal; Syafinaz Selamat dan komposer Jari dari Bahagian Muzik RTM nyata memihak kepada peserta berasal dari Pahang, Aisha yang mengiringi lima peserta lain Hafsham, Aree, Shazia, Christine dan Fitri yang nama mereka diumumkan pada konsert penyingkiran Peringkat Separuh Akhir 2 BRTM 2012 yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Sabtu lalu.

6 peserta yang layak ke final

Ini dia kesemua 6 peserta yang layak ke final.

Persembahan duet pertama Fitri dan Charles membawa lagu Bukan Kerana Nama (Ramli Sarip) dan diikuti oleh persembahan kedua oleh Firdaus dan Farhan dengan membawa lagu bertajuk Pokok (Hazama & Meet Uncle Hussein). Seterusnya Aisha dan Christine berduet dengan dendangan lagu Ku Mahu (Dato’ Siti Nurhaliza) manakala peserta dari Sabah Aree dan Hafsyam muncul menyanyikan lagu bertajuk Jangan Bersedih Lagi (Anuar Zain).

Diteruskan kemudiannya dengan duet oleh Shazia dan Darren membawa lagu Hati Ini Telah Di Lukai (Kris Dayanti & Ajai). Persembahan terakhir adalah dari peserta bersuara lantang Diandra dan Shalina dengan persembahan lagu Permata Biru (Ella). Konsert turut dihiburkan dengan penampilan istimewa Farahwahida dengan lagu Jangan Tanya Aku Lagi.

Pada majlis Sidang Media Pertandingan Akhir BRTM 2012 yang diadakan, Dato’ Norhyati Ismail, Ketua Pengarah Penyiaran berkata, “Alhamdulillah RTM telah berjaya mencari bakat yang terbaik daripada yang baik. Namun setiap pertandingan mesti ada peserta yang tersingkir. Saya mengharapkan pada 8 Julai depan akan menjanjikan satu persembahan yang hebat dan peserta melakukan yang terbaik seperti Dato’ Siti Nurhaliza bukan hanya di negara kita sebaliknya hingga diterima di luar negara”.

Tambahnya lagi, penglibatan peserta daripada pelbagai bangsa dari semua negeri ini dilihat positif dan RTM berjanji untuk mengembangkan bakat semua terlibat dalam persembahan-persembahan yang diadakan di RTM selepas ini.

Menariknya, setiap peserta akan dapat lagu baru sebagai sandaran dalam industri muzik manakala peserta yang tidak berjaya layak ke peringkat akhir juga akan dipanggil balik untuk diberikan lagu “cari makan” yang bakal diputarkan di semua 34 stesen radio RTM di seluruh negara. Perkara ini diumumkan oleh Dato’ Mokhzani Ismail, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik dalam sidang media yang sama.

Bagi memberi peluang kepada enam peserta akhir membentuk keserasian menyanyikan lagu baru dengan diiringi orkestra, Konsert Pra Akhir BRTM 2012 akan diadakan pada 30 Jun depan dan turut diumumkan hadiah-hadiah kepada pemenang BRTM 2012 dan penonton di rumah. Kemuncaknya pada 8 Julai 2012 dimana bakal berlangsungnya Pertandingan Akhir Bintang RTM 2012 bertempat di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur.

Babak mencemaskan apabila Muaz mengumumkan peserta yang layak ke final

Muaz sebagai pengacara. Babak mencemaskan apabila Muaz mengumumkan peserta yang layak ke final

Farahwahida ... turut membuat persembahan pada malam penyingkiran

Farahwahida… turut membuat persembahan pada malam penyingkiran

Acara cabut undi giliran persembahan malam final

Acara cabut undi giliran persembahan malam final

Dato Norhyati Ismail, Ketua Pengarah Penyiaran ketika sesi Sidang Media

Dato Norhyati Ismail, Ketua Pengarah Penyiaran ketika sesi Sidang Media

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

EURO Dream Comes True with Canon

Gambar Sekitar Pelancaran Album Love Me Butch