in ,

Karyawan Desak Sheila Majid Letak Jawatan Pengerusi Recording Performers Malaysia

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mendesak Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM), Datuk Sheila Majid meletak jawatan berikutan kegagalannya menyelesaikan isu royalti artis.

Freddie berkata, Sheila sudah tujuh tahun menjawat jawatan itu, tetapi isu royalti belum ada kesudahan sehingga kini.

“Dia ternyata sukar mahu memberi kerjasama. Dia gagal hadir dalam dua perjumpaan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Jawatankuasa muzik di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) aturkan perjumpaan untuk selesaikan masalah royalti artis. Yang hadir hanya wakil dari Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) dan Public Performance Malaysia (PPM). RPM tak hadir dan tiada wakil,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, menteri KPDNHEP meminta Sheila datang untuk perjumpaan, tetapi dia tidak hadir. 

“Kalau begini, macamana nak selesaikan masalah artis? Menteri boleh buat macam-macam untuk selesaikan isu ini, namun Sheila pula sebaliknya tak berikan kerjasama. Menteri nampaknya lebih berminat selesaikan hal ini berbanding Sheila.

“Dia sebenarnya bukan dipilih oleh artis sebaliknya oleh syarikat rakaman untuk menerajui RPM. Apabila dia gagal menyelesaikan masalah artis dan isu royalti, dia kena letak jawatan,” katanya. 

Freddie yang mendapat sokongan ramai penyanyi dan pemuzik turut mendesak Ahli Lembaga Pengarah RPM meletak jawatan dan memberikan hak demokratik kepada ahli untuk memilih barisan baru bagi menyelesaikan semua masalah yang wujud sejak 20 tahun lalu.

“Ada puluhan juta Ringgit yang harus diberikan kepada artis tapi dia tidak tahu nak selesaikan. Saya rasa dia tiada kelayakan dan kemampuan untuk selesaikan masalah ini. Dia harus mengakui perkara ini. Sheila boleh buat satu mesyuarat agung dan letak jawatan. Ada ramai calon lagi yang minat untuk menerajui RPM.

 “Ahli Lembaga Pengarahnya iaitu Jaclyn Victor dan Ana Raffali juga tak buat apa-apa. Sheila sendiri pun tak pernah bercakap hal ini. Dia tak buat apa-apa kenyataan mengenai royalti,” katanya.

Freddie berkata, Sheila ada menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 28 September lalu tetapi tarikh ini kurang sesuai kerana bertembung dengan mesyuarat MACP.

“RPM buat AGM secara virtual dan hanya 20 ahli yang menyertainya. Ahli-ahli mereka yang lain menyertai mesyuarat virtual MACP yang dibuat pada masa yang sama. Kenapa buat pada hari yang sama? MACP buat jam 12 tengah hari, RPM pula jam 3 petang. Mesyuarat MACP berlangsung sampai malam. Beratus-ratus ahli RPM tak dapat turut serta kerana bertembung dengan MACP,” katanya.

Freddie menyifatkan pengurusan yang lemah membuatkan perkara ini berlaku. 

Isu ini tercetus apabila Music Rights Malaysia (MRM) yang ditubuhkan sebagai konsortium empat syarikat iaitu MACP, PPM, RPM dan Badan Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) untuk kutipan royalti dibubarkan kerajaan pada 10 Julai lalu. 

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk menghubungi Sheila bagi mendapatkan komennya tidak berjaya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kes Siasatan SPRM Akan Selesai – Sharnaaz

Kira-Kira 4 Billion Manusia Dijangka Alami Obesiti & Kegemukan Menjelang 2050!