in ,

Kamal Adli, Diana Rafar dalam Senandung Semalam

KISAH CINTA TIGA SEGI DALAM TELEMOVIE SENANDUNG SEMALAM DI TV1

Cinta tiga segi yang berlaku apatahlagi melibatkan antara tiga individu yang bersahabat baik sememangnya memerlukan pengorbanan meskipun hakikatnya amat menyakitkan. Meninggalkan mahupun ditinggalkan pastinya mengundang perasaan sedih bercampur kecewa kerana kegagalan cinta yang berlaku menghalang penyatuan hati seperti diharapkan.

Menggandingkan pelakon Kamal Adli, Diana Rafar, Asry Azizan dan Siti Saleha menjayakan peranan utama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi plot konflik cinta remaja ini menerusi drama menarik Senandung Semalam yang disiarkan pada 9 Oktober 2010 (Sabtu), jam 3.05 petang di TV1.

senandung semalam

Mengisi slot tontonan ramai Panggung 1, drama ini mengisahkan persahabatan antara tiga remaja melibatkan Hazry, Norman dan Malisa yang terancam dengan kemunculan seorang gadis bernama Julia. Hazry dan Norman sama-sama jatuh cinta dengan Julia. Pada mulanya Hazry cuba menyembunyikan perasaannya terhadap Julia demi persahabatannya dengan Norman.

Dia dan Malisa kemudiannya menolong Norman memikat Julia. Hazry telah meminjamkan suaranya kepada Norman untuk menyanyi kepada Julia yang sukakan lagu-lagu Alleycats. Selepas itu Julia mula memberi perhatian terhadap Norman.

Apabila Malisa mendapat tahu tentang perasaan Hazry terhadap Julia, dia bersimpati dengan Hazry walaupun dia sendiri sebenarnya sayangkan Hazry. Dalam satu majlis Malisa telah membongkar rahsia penipuan Norman dan seterusnya membuatkan Julia berubah hati terhadap Norman.

Julia kemudiannya mula rapat dengan Hazry selepas mendapat tahu perasaan hati Hazry terhadapnya. Norman marah dengan perkembangan tersebut dan menyerang Hazry semasa dia membawa Julia datang ke rumahnya. Selepas pergaduhan itu Hazry dan Julia ditimpa kemalangan jalanraya dan Julia telah meninggal dunia.

Beberapa bulan selepas kemalangan tersebut Hazry mendapat tawaran belajar keluar Negara. Dia berlepas ke luar negara membawa hatinya yang luka.

Lapan tahun kemudian Hazry pulang ke Malaysia. Dia berjumpa semula Malisa yang secara kebetulan bekerja sepejabat dengannya. Tanpa pengetahuannya Norman dan Malisa sudah menjadi kekasih dan akan mendirikan rumahtangga.

Kepulangan Hazry mengingatkan Malisa tentang cintanya kepada Hazry. Dia mula merasa ragu-ragu terhadap keputusannya hendak berkahwin dengan Norman. Tanpa pengetahuan Norman, Malisa kembali berkawan rapat dengan Hazry. Apabila Norman mendapat tahu tentang Malisa dan Hazry, dia datang menemui Hazry di pejabat dan memberitahu Hazry yang dia dan Malisa sudah bertunang.

Hazry sangat terkejut kerana selama ini Malisa tidak pernah memberitahu tentang perhubungannya dan Norman. Malisa kemudian meluah perasaan hatinya kepada Hazry. Hazry tidak dapat menerima Malisa kerana Malisa sudah bertunang dan dia tidak pernah melupakan Julia.

Norman yang masih menyimpan dendam telah mengajak kawan-kawannya memukul Hazry. Hazry tercedera dalam serangan itu tetapi tidak memberitahu pihak polis siapa yang menyerangnya. Norman yang terhutang budi dengan Hazry datang berjumpa Hazry untuk meminta maaf.

Namun adakah kemaafan yang dipohon Norman diterima oleh Hazry seadanya? Bagaimana pula pengakhiran cinta Malisa dan siapakah yang dipilihnya antara dua pemuda itu sebagai teman hidup?

senandung semalam...kamal adli dan siti saleha

senandung semalam.1

5 Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Komedi Seram CROSSING di NTV7

TomTom Lancar Produk Navigasi GO 750, XXL 550, XL 25