in , ,

Kaka Azraff Kini Bangkit Dari Rasa Sedih Setelah Lama HILANG

Juara AJL Ke-35 Abadikan Kehilangan Orang Tersayang Dalam Single Terbaharu Bergenre Pop Unik Sarat Dengan Mesej Mendalam

Bila disebut tentang kehilangan orang tersayang buat selamanya, pasti kerinduan itu terlalu dalam. Episod kehilangan ayah tercinta ketika umur baharu sahaja menginjak 10 tahun, kemudian nenek tersayang yang menjadi tulang belakang dan disusuli pula sahabat karib yang sering menemani waktu susah dan senang bukanlah perkara mudah.

Namun buat penyanyi wanita popular tanah air yang merupakan juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35 menerusi lagu ‘Gila’, Kaka Azraff bangkit dari kesedihan lampau dengan karya terbaharunya berjudul ‘HILANG’ hasil ciptaan komposer terkemuka, Omar K bersama Ezra Kong, dan diterbitkan oleh label rakaman terunggul, Warner Music Malaysia.

One3Four9626

“Hampir setahun saya tidak muncul dengan mana-mana single kerana memerlukan masa untuk memproses segalanya. Selepas kehilangan nenek tersayang dan sahabat rapat yang banyak membantu dalam kerjaya seni, saya seakan kehilangan arah dan semangat untuk terus berkarya.

“Namun, pada penghujung tahun lepas selepas mendengar demo lagu ini, saya temukan semangat baharu dan nekad untuk kembali berkarya kerana kehilangan sangat memberi kesan,” kongsi ibu kepada dua putera comel, Aslan dan Aryan.

Lagu ‘HILANG’ persembahan Kaka merupakan pengubat jiwa bagi dirinya yang ‘hilang’ dek kerana kehilangan individu penting dan dicipta begitu puitis sekali dengan melodi yang unik.

“Idea di sebalik pembikinan lagu ini datangnya dari saya sendiri, saya abadikan kehilangan orang tersayang dalam sebuah karya buat mereka yang telah pergi untuk selamanya.

“Ayah merupakan insan pertama dalam hidup saya yang mula-mula mengesan bakat nyanyian yang saya ada, manakala nenek pula merupakan insan terpenting kerana dibesarkan olehnya, masih saya ingat lagi bila ada artikel yang keluar mengenai saya pasti dipotong dan disimpannya, dan Emmy Agung, bukan sahaja jurusolek hebat bahkan sahabat yang sentiasa menemani saya ke mana sahaja, samada ke mesyuarat mahupun persembahan,” cerita Kaka dalam nada sebak.

KAKA AZRAFF

Maksud di sebalik single ini menceritakan tentang kehilangan seseorang dalam hidup kita yang memberi impak mendalam, Kaka menjelaskan, “Saya tujukan lagu ini buat mereka yang telah ‘hilang’ secara zahirnya, tetapi sebenarnya tidak ‘hilang’ dan sentiasa ada dalam hati. Kita sering mengambil mudah dalam banyak hal, dan apabila mereka tiada baharulah kita sedar peri pentingnya seseorang itu dalam hidup. Lumrah manusia mengingati sesuatu yang telah tiada.

Pada single kali ini, pendengar akan terpesona dengan alunan muzik pop yang diadun bersama elemen tradisional yang diberi nafas baharu yang segar dan moden. Kaka sering menampilkan muzik baharu dan unik yang jarang didengar namun senang ‘ditangkap’ oleh peminat muzik.

“Sebagai penyanyi, saya sukakan karya yang ‘edgy’, moden dan baharu, lain dari lain serta unik. Setelah berada hampir 10 tahun dalam industri muzik, saya lebih matang dalam memilih ‘material’ untuk dijadikan lagu, kalau dahulu apa yang ‘trending’ itu menjadi ikutan tetapi kini, saya nak hasilkan sesuatu yang dapat menggembirakan saya dahulu sebelum membuat orang lain gembira dengan lagu-lagu saya.

“HILANG tidak mengambil masa yang lama untuk dirakamkan, hanya sekitar 2 jam sahaja. Menariknya ketika itu, saya sedang sarat 7 bulan dan Ezra sempat mengusik ‘takut-takut’ kalau nafas tidak sampai. Alhamdulillah proses rakaman berlangsung dengan lancarnya,” kata Kaka.

One3Four2017

Akhiri Kaka penuh pengharapan: “Saya hanya mahukan lagu ini diterima baik oleh semua, dan semoga mendapat tempat di hati peminat dan pencinta muzik serta harapan saya seterusnya, dapat memasuki AJL sekali lagi Insya-Allah. Agar mereka yang kehilangan tersentuh dengan karya saya ini, sentiasalah kenang pada mereka yang telah pergi dan hargai mereka yang masih ada bersama kita.

Lagu ‘HILANG’ boleh dimuat turun di iTunes mulai 2 September 2022 dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lokasi Siaran Langsung Gelanggang Awesome Raja Lawak Telah Ditukar

ANUAR ZIANA ZAIN

Banyak Bercakap Dari Menyanyi, Ini Penjelasan Ziana Zain & Anuar Zain