in , , ,

Kaka Azraff & Aizat Amdan Nyanyi Lagu Tema GOL & GINCU VOL. 2

Selepas 13 tahun filem dan siri ‘Gol & Gincu’ dilancarkan dan menjadi fenomena, peminat filem tempatan kembali teruja apabila francais terkenal itu kembali dengan filem terbaru versi reboot, ‘Gol & Gincu Vol. 2’. Sebagaimana filem pertama yang dihasilkan pada tahun 2005, filem terbaru ‘Gol & Gincu Vol. 2’ turut dilengkapi dengan seleksi lagu terbaik yang memberi lebih jiwa kepada penceritaan filem tersebut.

Kaka Azraff & Aizat Amdan Dipilih Menyanyikan Lagu Tema GOL & GINCU VOL. 2

Bertepatan dengan tema yang dipaparkan dalam filem tersebut, maka dengan itu lagu ‘Shout It Out’ nyanyian Kaka Azraff dan ‘Hari-Hariku’ nyanyian Aizat Amdan feat. Intan Serah dan Annabel Michael dipilih sebagai seleksi lagu tema yang mewarnai filem ‘Gol & Gincu Vol. 2’.

Kaka Azraff & Aizat Amdan Dipilih Menyanyikan Lagu Tema GOL & GINCU VOL. 2

Sekiranya sebelum ini, lagu nyanyian ibu saudaranya, Ella ditampilkan sebagai penyanyi lagu tema, kali ini Kaka pula dipilih untuk menyanyikan lagu tema ‘Gol & Gincu Vol. 2’. Lagu ‘Shout It Out’ merupakan karya ciptaan bersama Audi Mok, Shazee Ishak dan Atilia Hanna. Lagu yang mendapat sentuhan moden ini menampilkan lirik yang membangkitkan semangat percaya diri.

Manakala lagu ‘Hari-Hariku’ pula ditulis oleh Aizat sendiri bersama Mel Ramlan. Lagu yang mempunyai melodi yang mesra telinga dengan lirik yang mengangkat tema setiakawan disusun dengan muzik bertenaga oleh Faridz Fazmel dan Izzy Musa. Lebih istimewa lagi, lagu ‘Hari-Hariku’ diserikan dengan penampilan barisan pelakon ‘Gol & Gincu Vol. 2’ sendiri.

Sememangnya lagu memainkan peranan yang penting dalam melengkapi penceritaan sesebuah filem. Namun begitu, bukan lagu saja yang perlu diteliti, malah karakter penyanyi yang menyanyikannya turut menjadi nilai tambah. Mengulas tentang pemilihan Kaka dan Aizat untuk menyanyikan lagu tema filem tersebut Lina Tan, penerbit ‘Gol & Gincu Vol. 2’ berkata,“Kaka mempunyai karakter yang sesuai untuk menghidupkan lagu ‘Shout It Out’, sebuah lagu yang boleh membangkitkan semangat dan boleh dikatakan bakal menjadi lagu anthem orang muda zaman sekarang. Manakala pemilihan lagu ‘Hari-Hariku’, bukan saja kerana lagu itu kedengaran sangat fun dan sempoi tapi disebabkan karakter Aizat sendiri yang friendly sesuai dengan tema kesetiakawanan dalam lirik lagu ini”.

Filem ‘Gol & Gincu Vol. 2’ merupakan arahan sulung Umi Salwana Omar terbitan Red Films, menampilkan Diana Danielle dan Ummi Nazeera sebagai teraju utama. ‘Gol & Gincu Vol. 2’ juga menampilkan semula dua pelakon asal filem pertama iaitu Sazzy Falak dan Sharifah Amani serta pelakon lelaki popular masa kini Syafiq Kyle dan Aedy Ashraf. Cerita yang diilhamkan oleh Rafidah Abdullah yang juga penulis asal ‘Gol & Gincu’ telah diberi olahan segar oleh Nadia Khan, seorang novelis yang terkenal dengan novel terlaris beliau iaitu ‘Gantung dan Kelabu’. Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 25 Oktober 2018.

Bagi membina momentum menjelang tayangan perdana ‘Gol & Gincu Vol. 2’ pada 17 Oktober nanti, kedua-dua lagu tema filem tersebut iaitu ‘Hari-Hariku’ dan ‘Shout It Out’ telah dilancarkan dikesemua pelantar digital tepat jam 12 malam tadi. Manakala video muzik rasmi untuk kedua-dua lagu ini pula akan dilancarkan pada 20 September 2018.

‘Hari-Hariku’ dan ‘Shout It Out’ merupakan single terbitan dan edaran Warner Music Malaysia dengan kerjasama Red Films. Dengarkan ‘Hari-Hariku’ dan ‘Shout It Out’ di pelantar digital kegemaran anda seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 7 SEPTEMBER 2018. Manakala video muzik rasmi untuk kedua-dua lagu ini boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia bermula 20 SEPTEMBER 2018.

Kaka Azraff & Aizat Amdan Dipilih Menyanyikan Lagu Tema GOL & GINCU VOL. 2

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Tayangan Menonton Filem SEARCHING

Video Reaksi Sufian Suhaimi Trending di Youtube Malaysia