in , , ,

Jumpa Pengurusan MPA, Betul Ke Tyzo Sah Akan Jadi Penyampai Hot FM?

Desas-desus bekas penyampai radio sensasi, Tyzo bakal menyertai Media Prima Audio (MPA) kembali hangat diperkatakan susulan pertemuan dengan pengurusan tertinggi stesen terbabit, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran bagaimanapun berkata, pihaknya kebetulan bertembung dengan Tyzo atau nama sebenar, Tuah Zolqarnain Idris di satu lokasi.

“Terserempak. Nak ‘check’ (periksa) siapa nampak lagi muda. Beza setahun saja. Salam kenalan bro Tyzo Xander,” tulisnya dalam hantaran di Instagram.

Menerusi perkongsian itu, Nazri turut membuat naik gambar mereka bersama Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Biarpun dilihat berseloroh kononnya perjumpaan berkenaan tidak dirancang, ramai berpendapat itu antara ‘bunga-bunga’ petunjuk kolaborasi antara kedua-dua pihak semakin hampir.

Sebelum ini Hot FM membuat kaji selidik dalam kalangan pendengar selepas personaliti penyiaran berdua 48 tahun itu ditamatkan kontrak dari Suria FM secara mengejut.

Begitupun, selepas itu bahagian Jenama & Komunikasi MPA menyatakan tiada perancangan mengambil penyampai radio baharu kerana hantaran dibuat sekadar pertanyaan spontan.

Pada masa sama, rata-rata pendengar Hot FM menyatakan akan terus memberi sokongan padu sekiranya stesen terbabit mengambil Tyzo untuk bersiaran.

Selain rangkaian di bawah MPA, difahamkan beberapa saluran lain juga dikatakan sedang merisiknya ketika ini.

Terdahulu, penerima trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular (ABP) Ke-35 baru beberapa hari kembali ke tanah air selepas dua minggu mengerjakan umrah.

Sementara itu, Tyzo belum memberikan maklum balas terhadap khabar angin yang kembali bertebaran itu. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Siri ‘I.D’ Lakonan Naim Daniel, Amelia Henderson, Aedy Ashraf

Tyzo & Rara Kembali Bergabung di Pentas KNKV Viral Award 2024