in , ,

Juki Buat Kemunculan di Showcase Dolla Dengan Single Pertama, PACU

Def Jam Recordings Malaysia mencungkil sebutir lagi bintang berbakat dalam bentuk Juki, seorang penyanyi rap wanita yang teguh menjiwai seni muzik hip hop.

Juki merupakan pemenang pertandingan rap Playaz Rap Challenge 2020 dan pernah muncul dalam lagu DUA PULUH bersama bintang-bintang hip hop lain seperti Benzooloo, Siqma, Yonnyboii, Ical Mosh, Kmy Kmo & Luca Sickta.

Juki juga sempat membuat kemunculan Februari lalu dan mendapat sambutan meriah di Mini Showcase kumpulan nyanyian wanita yang sedang popular, DOLLA.

Kini setelah bersedia, Juki tampil dengan karya sulungnya berjudul PACU. Disusun, diterbit dan digubah oleh Mingaling, lagu ini juga mendapat sentuhan lirik Amir Hasan bersama Juki sendiri.

“Lagu ini ada bayangan saya di dalamnya. Ia mengisahkan pencapaian matlamat dan motivasi diri. Saya ingin kongsikan pendapat saya ini dengan semua yang mendengar. 

Saya berikan segala-galanya untuk PACU. Saya harap semua akan memahami pesanan yang cuba saya luahkan dalam lagu ini. Saya mahu semua orang sedar bahawa jika mereka jatuh mereka hanya perlu bangkit semula,” jelas Juki.

PACU yang telah menjalani proses rakaman tahun lalu mengambil masa sehari untuk diselesaikan.

“Kami mengambil masa sehari untuk menguruskan semuanya, termasuk pemilihan lirik dan cubaan untuk memasukkan irama berkaitan dan melihat hasilnya. Rakaman dilakukan pada hari kedua kerana saya mempunyai sedikit kesukaran untuk menulis korus dan pre-hook lagu tika itu. Setelah siap dengan verse, Amir telah menyiapkan bahagian yang tinggal untuk Pacu. Akhirnya, semuanya berbaloi,” tambahnya lagi.

JUKI

Lagu ini turut menampilkan sebuah muzik video hebat yang mengambil masa 12 jam untuk dirakam.

Kami memulakan rakaman pada jam 11 pagi dan selesai sekitar jam 10 hingga 11 malam pada hari yang sama. Saya terpaksa ganti pakaian dan solekan beberapa kali pada hari itu, memang memenatkan. Itulah kali pertama saya lihat orang bekerja di belakang tabir. Dan kini saya mengerti kerja keras di balik semua itu,” ujar Juki lagi.

Juki berharap karya sulungnya ini akan dihargai oleh semua yang mendengarnya.

“Banyak usaha di balik projek ini dan saya harap motivasi serta cinta yang saya kongsikan akan dapat dirasai oleh semua yang mendengarnya,” kata Juki menutup bicara dengan gembira.

PACU bakal dilancarkan di semua wadah penstriman digital bermula Jumaat, 11 Mac 2022 manakala video muzik rasminya akan dipertontonkan pada hari yang sama bermula jam 9 malam di saluran YouTube rasmi JUKIVEVO. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Airliftz Shares Emotionally-Charged Pop-Punk Banger, ‘NOT TODAY’

Master In The House Malaysia Berada Di Dalam Hati Son Sung Deuk