in

Zero Juara Maharaja Lawak Mega 2014

From Zero to Hero, begitulah sesuai ditujukan kepada Kumpulan Zero yang dianggotai oleh Sahrif Kadil Doli Sahrif, Mohammad Syaiful Doli Sahrif dan Sharif Kunal Doli Sahrif setelah berjaya diumumkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) yang disiarkan secara langsung di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, malam tadi. Budiey ucapkan tahniah kepada kumpulan yang berasal dari Sabah ini. Sejurus selesai, satu sidang media diadakan dan Budiey sempat menemubual Zero. Nantikan video temubual bersama kumpulan ini di saluran Youtube Channel Budiey.com. Jom SUBSCRIBE: www.youtube.com/budiey27

Zero

Kemenangan tersebut melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 dan trofi sumbangan Astro.

Gelaran naib juara pula dimenangi oleh Sepahtu yang disertai oleh Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jep) dan Shahmira Muhammad (Shuip). Mereka berkongsi hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 berserta sebuah trofi.

Sementara itu, peserta solo, Nabil mendapat tempat ketiga dan menerima hadiah berupa wang tunai RM150,000 berserta sebuah trofi. Jep (Sepahtu) turut memenangi kategori Man of the Match.

Kumpulan Shiro menduduki tempat keempat dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi. Manakala kumpulan Bocey berada di tempat kelima. Bocey membawa pulang hadiah iaitu wang tunai RM15,000 berserta trofi.

Kesemua peserta peringkat akhir dikehendaki membuat dua persembahan dengan bertemakan muzikal komedi dan bebas. Para peserta telah diadili dengan sistem pemarkahan yang masing-masing mewakili 70 peratus daripada juri tetap dan selebihnya undian penonton di rumah.

Empat juri tetap yang mengadili peserta pada MLM2014 akhir itu terdiri daripada Datuk Jalaluddin Hassan, Taufiq Batisah, Nur Fazura dan Farah Quinn. Ia dihoskan oleh Datuk AC Mizal.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh pelawak veteran Datuk Jamali Shadat. MLM 2014 bersiaran secara langsung bermula 14 November lalu, pada setiap Jumaat di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Selain itu, MLM 2014 akhir boleh ditonton secara langsung di 13 pawagam TGV dan 12 pawagam MBO terpilih. Antaranya adalah Sunway Pyramid, Subang; Space U8, Shah Alam, Melaka Mall, Melaka, MBO U-Mall Skudai, Johor, The Spring Kuching, Sarawak dan Mesra Mall, Terengganu.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis & Trailer Filem RUN ALL NIGHT Lakonan Liam Neeson

Teater KENA MAIN Arahan Khalid Salleh