in , ,

Johan As’ari Tidak Mahu Adegan Panas dalam Filem PAKU Disensasikan

Pelakon Johan As’ari tidak mahu adegan panas yang pertama kali dilakonkannya dalam filem seram Paku cuba disensasikan.

Johan atau nama sebenarnya Johan Arrif As’ari, 27, berkata ketika melakonkan adegan itu, dia yang bergandingan dengan pelakon baru Aishah Alias telah meminta beberapa krew sahaja dibenarkan berada di set tersebut ketika babak itu dilakonkan.

“Saya pertama kali bawa watak yang saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk melakonkan kerana saya belum berkahwin, begitu juga Aishah, jadi kami minta agar krew yang tidak terlibat keluar daripada set tersebut.

“Saya tidak mahu perkara ini akan menimbulkan fitnah dan mengelakkan gambar yang tidak sepatutnya diambil dan tersebar,”

– Johan As’ari

Tambah Johan, walaupun tiada sebarang aksi yang bersentuhan dan hanya menggunakan teknik kamera namun dia mahu lebih berhati-hati dengan perkara berkaitan sensitiviti masyarakat.

Sementara itu, bercerita pengalaman melakonkan adegan tersebut, Johan berkata, dia terpaksa berlari mengelilingi kawasan lokasi bagi mendapatkan ekspresi yang sepatutnya.

“Saya bertanya kepada pengarah macam mana nak buat aksi ini, dia kata ia seperti selepas bermain bola, jadi saya terpaksa berlari mengelilingi kawasan lokasi terlebih dahulu untuk mendapatkan perasaan itu,”

– Johan As’ari

Dalam pada itu, Johan yang pertama kali melakonkan cerita seram ini mengakui teruja dengan jalan cerita yang berbeza daripada filem seram lain.

“Ketika menerima tawaran ini, saya baca skripnya sangat kuat dan menarik, watak yang saya bawa pula lebih banyak bermain dengan emosi.

“Pada saya watak Fahmi yang tidak dapat menerima kehilangan isteri itu memerlukan saya banyak menangis dan mencabar lakonan saya,”

– Johan As’ari

Filem Paku berkisarkan tentang seorang suami yang tidak dapat menerima kematian isteri, lantas menggunakan ilmu hitam untuk menghidupkan kembali isterinya.

Filem terbitan Nusantara Seni Karya ini turut dibintangi oleh Azad Jasmin, Diddy Hirdi, Zaidi Omar dan Kamal Adli.

Ia akan ditayangkan di pawagam pada 12 Disember depan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ning Bakal Lancar Haruman Jenama NING

ENCHANTEUR Paris Eau De Toilette Terbaru Di Pasaran