in ,

Jemputan Astro Oasis ke Program Qiamullail Perdana Imam Muda

ASTRO OASIS PELAWA SELURUH UMAT ISLAM KE PROGRAM QIAMULLAIL PERDANA IMAM MUDA DI MASJID WILAYAH

Meneruskan tradisi dalam menawarkan program-program bermanfaat kepada masyarakat, Astro Oasis akan menganjurkan program Qiamullail Perdana Imam Muda yang mengalu-alukan kehadiran Muslimin dan Muslimat untuk turut serta mengimarahkan Masjid Wilayah, Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 24 Jun 2011.

Program Qiamullail Perdana Imam Muda akan bermula seawal sebelum solat Jumaat dengan penyampaian tazkirah oleh salah seorang peserta program Imam Muda musim kedua. . Kemuncak program ini adalah sekitar jam tiga pagi untuk jemaah bangun dan melaksanakan solat tahajud. Program yang akan diadakan di sepanjang sepertiga malam ini akan diakhiri dengan kuliah Subuh yang bakal disampaikan oleh Mudir;Dato’ Hasan Mahmud Al Hafiz. Bukan itu sahaja, program Qiamullail Perdana Imam Muda ini juga akan diserikan lagi dengan rakaman program Liga Ilmu dan ceramah perdana yang dijadualkan berlangsung selepas Solat Maghrib pada hari Jumaat.

imam muda

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Hj Izelan Basar berkata, “Astro sentiasa berusaha untuk mendampingi masyarakat menerusi setiap program yang dirancangkan. Berdasarkan sambutan yang diterima terhadap program Qiamullail yang dianjurkan sebelum ini, kami dapat melihat kesungguhan masyarakat untuk turut serta dalam aktiviti keagamaan dan kerohaniaan seumpama ini. Kami mengalu-alukan kehadiran Muslimin dan Muslimat agar bertambah pada program kali ini berdasarkan hebahan dan perancangan serta kerjasama yang diberikan oleh semua pihak. Penekanan masjid sebagai tempat iktikaf turut menjadi objektif penganjuran program ini. Usaha positif ini diharap mampu memupuk semangat untuk lebih mencintai masjid di kalangan masyarakat terutama golongan muda,”

Di samping objektif utama majlis Qiamullail Perdana Imam Muda ini yang diadakan untuk mengimarahkan masjid, program ini juga mengambil kesempatan untuk menyambut sambutan Israk Mikraj yang bakal disambut oleh umat Islam pada 26 Rejab 1432H bersamaan 28 Jun 2011. Selain itu, pihak Astro Oasis juga ingin mengambil peluang ini untuk mengumpulkan Muslimin dan Muslimat bagi menjayakan majlis tahlil untuk mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Hidayah Al-Takwa, Hulu Langat yang berlaku baru-baru ini.

Hj Izelan menambah, “Kami berasa amat terharu dengan sokongan padu yang diberikan oleh pelbagai pihak terhadap program ini. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Masjid Wilayah, Jalan Duta yang memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran program ini. Kami berharap agar usaha yang dilakukan ini mampu memberikan kesedaran kepada anggota masyarakat tentang Iktikaf di masjid dan Qiamullail yang boleh diteruskan secara individu dan istiqamah selepas ini.”

PROGRAM QIAMULLAIL PERDANA IMAM MUDA
Tempat: Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur
Tarikh: 24 – 25 Jun 2011 (Jumaat – Sabtu)

Program:
24 Jun 2011, Jumaat
12.00 tgh hari Tazkirah & Khutbah

Solat Jumaat
4.15 ptg Solat Asar
7.25 mlm Solat Maghrib

Liga Ilmu
8.41mlm Solat Isyak
Ceramah Perdana
Rehat

25 Jun 2011, Sabtu
3.00 – 6.00 pagi Qiamullail
Kuliah Subuh
Tamat

Astro Oasis sekali lagi mempelawa Muslimin dan Muslimat untuk hadir bersama seisi keluarga ke Qiamullail Perdana Imam Muda pada Jumaat, 24 Jun 2011.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Promosi Filem Karipap-Karipap Cinta di Movie Carnival 2011

Dell Blogger Day