in , ,

Janna Nick Dijulang Bintang Paling Popular, Ini Senarai Penuh Pemenang ABPBH Ke-34

Tahniah buat Janna Nick Yang Telah Berjaya Dijulang Sebagai Bintang Paling Popular, Ini Senarai Penuh Pemenang ABPBH Ke-34, Sama-Sama Kita Saksikan!

SENARAI PEMENANG ANUGERAH BINTANG POPULAR ABPBH 34

Pemenang Utama Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH 34:

  •  Janna Nick

Kategori Utama:

  • Artis Baharu Lelaki Popular : Dinie Rashid
  • Artis Baharu Wanita Popular : Dolla
  • Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi : Haqiem Rusli
  • Penyanyi Wanita Popular Xiaomi : Siti Nordiana
  • Pelakon Filem Lelaki Popular : Fattah Amin
  • Pelakon Filem Wanita Popular : Janna Nick
  • Pelakon TV Lelaki Popular : Ben Amir
  • Pelakon TV Wanita Popular : Siti Saleha
  • Artis Versatil Popular : Siti Nordiana
  • Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular : Aina Abdul & Khai Bahar
  • Artis Komedi Popular : Asif Suhaimi
  • Pengacara TV Popular : Janna Nick
  • Penyampai Radio Popular : DJ Lin
  • Watak Animasi Popular : Ejen Ali

Kategori Online

  • Gandingan Serasi Drama Popular : Kamal Adli & Uqasha Senrose
  • Gandingan Serasi Filem Popular : Wanna Ali & PU Riz
  • Watak Antagonis Popular : Liza Abdullah
  • YouTuber Popular : Aqil Zulkefli
  • Artis Tiktok Popular : Khai Bahar
  • Anugerah FANtastik Popular : Siti Nordiana FC

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 

  •  Datuk Habsah Hassan
Abpbh34 Janna Nick

Fattah Amin Rampas Semula Trofi Pelakon Filem Lelaki Popular

Tahniah buat Fattah Amin yang berjaya merampas semula trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

Kali terakhir merangkul trofi itu pada ABPBH 32, Fattah menewaskan empat calon lain iaitu Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Syahmi Sazli dan Izuan Fitri.

“Alhamdulillah, syukur atas rezeki dan kejayaan ini. Saya tidak sangka menang kategori ini buat kali kedua. Terima kasih peminat dan penyokong kerjaya seni saya dari dulu hingga sekarang.

“Biarpun berdepan nasib kurang baik apabila filem ini ditayangkan pada era pandemik COVID-19 hingga tidak ramai berani masuk pawagam, ada hikmah atas semua yang terjadi.

“Saya beroleh rezeki lain dengan kemenangan pada acara festival filem luar negara. Sekarang, ABPBH 34 pula tertulis rezeki ini.

“Terima kasih akhbar BH dan penganjur atas pengendalian acara ini biarpun dalam norma baharu,” 

– Fattah Amin

Fattah bersyukur peminat masih menyokong dan mengambil tahu apa yang dilakukannya dalam dunia seni.

“Apabila dicalonkan dan menang, ini menunjukkan masih ada peminat yang menyokong dan mengambil tahu apa saya lakukan. Ini juga bukti diri ini masih ada permintaan dan dihargai.

“Kejayaan ini jadi suntikan semangat untuk saya terus bekerja keras dan memperbaiki kelemahan. Ini bukan ruang untuk saya terus selesa dengan apa yang sudah ada.

“Di platform media sosial seperti Instagram (IG), saya sedar dan perasan ada peminat beri sokongan jitu segala yang dilakukan. Begitu juga untuk isteri saya, Nur Fazura,” 

– Fattah Amin

Fattah yang juga penerima trofi Bintang Paling Popular ABPBH 3.0, membintangi filem Mimaland arahan Nevin Hiong dan diumumkan Pelakon Lelaki Terbaik di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021.

April lalu, Mimaland turut diangkat sebagai Filem Seram Terbaik pada AltFF Alternative Film Festival Spring 2021 di Toronto, Kanada.

Janna Nick Menang Pelakon Filem Wanita Popular

Mencipta satu lagi kejayaan dalam karier seni, Janna Nick merangkul trofi Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

Kemunculan Janna dalam filem Pasal Kau arahan Adrian Teh yang ditayangkan di Netflix, tahun lalu, berbaloi apabila menewaskan empat pesaing iaitu Sherry Alhadad, Nelydia Senrose, Aprena Manrose dan Zahirah Macwilson.

“Saya fikir rezeki calon lain seperti Nelydia Senrose dan Sherry Alhahad yang menggenggam trofi ini.

“Namun, saya memanjat kesyukuran atas kenikmatan dan kemenangan ini. Terima kasih penyokong saya termasuk kelab peminat Janna Nicker yang selalu bersama.

“Terima kasih ABPBH 34 dan BH,”

– Janna NIck

Janna bersyukur peminat terus menyokong dirinya biarpun dihambat kontroversi bersilih ganti.

“Saya beruntung pada saat jatuh tersungkur, peminat masih tegar menyokong dan memberi semangat hinggalah menang trofi ABPBH 34,”

Janna mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan kekasih tersayang, Dini Schatzmann.

“Buat keluarga dan Dini, kalian lebih mengenali diri ini. Terima kasih atas kesabaran kalian dalam mendukung kejayaan ini bersama.

“Tanpa mereka mungkin saya tak akan mampu berdiri kuat sehingga hari ini,” 

– Janna NIck

Dalam perkembangan baharu, Janna selesai mengarah filem sulung terbitan syarikatnya, JN Studios & Entertainment yang diberi judul Mendua.

Filem itu diterajui Emma Maembong dan Nazim Othman dan Dini.

Siti Nordiana Pertahan Takhta Artis Versatil

Siti Nordiana Alias mempertahankan trofi Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34,  Nana menewaskan saingan terdekat, Janna Nick dalam kategori itu dan turut menewaskan calon senior Erra Fazira, Sissy Imann dan Mira Filzah.

“Nana fikir ramai lagi calon yang lebih versatil. Namun, disebabkan anugerah ini adalah pilihan peminat untuk artis kesayangan, saya anggap malam ini rezeki lebih berpihak kepada Nana.

“Nana lihat kemenangan ini dari sudut positif iaitu memberi semangat untuk memperbaiki aspek nyanyian, lakonan dan pengacaraan.

“Kemenangan ini disebabkan kerja keras kelab peminat, Siti Nordiana FC yang tidak pernah jemu memberi sokongan dan mengundi,” 

– Siti Nordiana

Siti Nordiana terharu biarpun tiada produk baharu tahun ini akibat pandemik COVID-19, peminat masih terus memberi sokongan.

“Nana tidak pernah memaksa, tetapi mereka ikhlas hati memberi sokongan.

“Sesuai dengan gelaran artis versatil, Nana teringin mencuba genre rap. Sebagai penyanyi, kenalah belajar perkara baharu. Selepas ini, kalau ada yang meminta saya untuk menyanyi rap, bolehlah saya tunaikan permintaan itu,”

– Siti Nordiana

Dengan kemenangan Siti Nordiana, kontroversi yang sering dicetuskan Janna Nick tidak mampu membolehkan dia merampas trofi yang menjadi miliknya dua tahun lalu itu.

Siti Nordiana yang kembali meraih populariti selepas menyertai musim kedua program realiti Gegar Vaganza (GV2) pada 2015 adalah antara selebriti yang menjalin hubungan baik dengan peminat.

Pada ABPBH 33, selain trofi Artis Versatil Popular dan Artis Koloborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Siti Nordiana membolot trofi Anugerah FANtastik Popular bersama kelab peminat, Siti Nordiana FC.

Ejen Ali Menang Watak Animasi Popular

Ejen Ali diumumkan pemenang kategori Watak Animasi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 yang diperkenalkan buat kali pertama.

Mencetuskan fenomena, filem Ejen Ali iaitu projek kolaborasi antara Primeworks Studios (PWS) dan WAU Animation, meraih kutipan RM30 juta dalam tempoh enam minggu tayangan pada 2019.

Ejen Ali mengetepikan empat calon lain iaitu Boboiboy, Upin & Ipin, Mechamato dan Alif & Sofia.

Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation and Pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin, berkata pihaknya cukup berbesar hati menerima anugerah itu.

“Terima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus menyokong dan mengundi Ejen Ali hingga kami muncul pemenang dalam kalangan calon hebat lain.

“Terima kasih ini juga ditujukan kepada ABPBH kerana sama merancakkan industri animasi dengan pengiktirafan begini.

“Semoga masa depan industri animasi tanah air terus berkembang maju selagi dengan adanya pengiktirafan seperti ini,” 

– Usamah Zaid Yasin

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh turut hadir menerima trofi berkenaan.

Semua calon yang membolosi senarai Top 5 memiliki pengikut sendiri dan mencatat kutipan pecah panggung seperti BoBoiBoy dan Upin & Ipin.

Siri animasi Ejen Ali pertama kali menemui penonton di TV3 pada 2016. Sejak itu, Ejen Ali terus mengumpul peminat tersendiri.

April lalu, filem Ejen Ali dicalonkan pada Festival Fantaspoa 2021 di Brazil.

Ini membuka laluan kepada filem Ejen Ali menembusi pasaran Amerika Latin.

Khai Bahar Menang Artis TikTok Popular

Khai Bahar muncul selebriti pertama meraih trofi kategori online, Artis TikTok Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 yang diperkenalkan penganjur tahun ini.

Khai menewaskan pesaing hebat antaranya Dato’ Seri Siti Nurhaliza, Siti Nordiana, Dolla dan Haqiem Rusli.

Pemenang anugerah membabitkan kerjasama ABPBH 34 dan TikTok ditentukan melalui undian peminat di aplikasi TikTok sejak 4 Oktober sehingga 7 November lalu. Khai memperoleh 419,009 undi.

Berbekalkan dengan 365,500 pengikut di TikTok, Khai diiktiraf sebagai penghibur berbakat di platform terbabit, sekali gus membuktikan pengaruhnya di laman sosial.

Khai mengaku terharu melihat jumlah undian diterima.

“Saya kagum dengan peminat. Kesungguhan mereka mengundi membuatkan saya sangat terharu.

“Saya sangat berterima kasih kepada mereka, bukan hanya Khai Bahar Empire (KBE), namun, peminat lain secara amnya.

“Saya tidak tahu bagaimana mereka melakukan perkara ini hingga saya boleh mengetepikan artis lebih hebat daripada saya,”

– Khai Bahar

Khai mengaku tidak mampu membalas jasa peminat sebaliknya mendoakan kebaikan dan kesejahteraan mereka.

“Alhamdulillah, ini permulaan yang baik untuk saya apabila saya diundi sebagai pemenang pertama bagi kategori baharu ini.

“Insya-Allah jika kategori ini masih dipertandingkan tahun hadapan, mungkin strategi lain boleh difikirkan,”

– Khai Bahar

Nana FC Menang Anugerah FANtastik Popular

Kelab peminat penyanyi Siti Nordiana iaitu Siti Nordiana FC meneruskan penguasaan mereka dalam kategori Anugerah FANtastik Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 apabila berjaya mempertahankan kemenangan itu.

Kejayaan itu membolehkan Siti Nordiana dan kelab peminatnya membawa pulang trofi berprestij ABPBH34.

Mengulas kejayaan kelab peminatnya, Siti Nordiana bersyukur terus disayangi penyokong.

“Ini anugerah yang tak ternilai daripada Tuhan. Menang dua kali berturut-turut dalam kategori ini adalah sesuatu yang tidak dijangka… Ia sangat bermakna dalam hidup saya.

“Benar kata-kata berbunyi, siapalah artis tanpa sokongan peminat. Walaupun mungkin dilihat klise, itulah simbolik yang tidak boleh dipertikaikan.

“Tuhan menghadirkan perasaan kasih sayang daripada peminat kepada saya. Tiada apa yang saya nak minta, cukup kasih sayang ini berterusan.

“Apabila peminat sayang, jangan sesekali kecewakan mereka. Semoga sokongan ini akan kekal bertahan sampai bila-bila,” 

– Siti Nordiana

Kali pertama diperkenalkan pada ABPBH 33 melalui kerjasama aplikasi Tik Tok 

Pada pertandingan itu, Siti Nordiana FC berjaya mendapat 1,109,214 undi, mengetepikan 18 kelab peminat lain.

Antaranya Sitizoner, Qiemilio, Fattactic_squad, Janna_nicker, Khaibaharempire, Sherryliciousfc, Officially_izzuerss, Arasquadrasmi, fl88wers, Teamsgs, Mawarians_official, Wlfs4eva, Alifsatarofficilafc, feekryers, Ztf_Official, DJLinfollowers, Radinrangers dan 302family.

Sementara itu, Presiden Siti Nordiana FC, Mohd Zuhdi Zainul Abidin, berkata kejayaan itu adalah hasil usaha sama padu peminat.

“Tak sangka, kerja keras itu membuahkan hasil hingga kami mampu mempertahankan kemenangan anugerah ini,”

Mohd Zuhdi berkata, Siti Nordiana FC melancarkan tanda pagar iaitu #inilahmasanya sebagai laungan keramat dalam meraih undi buat artis kesayangan.

“Bukan senang untuk mengekalkan kemenangan lalu. Tapi rezeki masih menyebelahi kami. Usaha, doa dan tawakal mengiringi perjuangan kami,”

– Mohd Zuhdi Zainul Abidi

Habsah Hassan Terima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat

Portfolio cemerlang dalam dunia penulisan melayakkan Datuk Habsah Hassan diangkat sebagai penerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, malam tadi.

Pengiktirafan itu dibuat bagi menghargai bakat serta sumbangannya dalam membantu memartabat serta mewarnai industri muzik menerusi lebih 1,000 lirik lagu ciptaannya termasuk lagu yg malar segar hingga sekarang.

Habsah, 72, menerima trofi daripada Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Rafiq Razali; Pengurus Besar, Pemasaran, Komunikasi dan Sokongan Jualan, The New Straits Times Press (NSTP) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

“Jauh di sudut hati, saya begitu terharu dan rasa diri ini dihormati dan dihargai BH yang juga akhbar paling lama saya ikuti iaitu sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Saya pernah menulis di ruangan surat pembaca akhbar ini suatu ketika dahulu. Jadi, apabila penghargaan ini datang dari akhbar BH, bagi saya, ini adalah suatu anugerah yang cukup bermakna.

“Pemilihan saya sebagai penerima anugerah yang bukan dalam kalangan orang yang berada di depan pentas saya anggap sebagai pembakar semangat untuk terus berkarya.

“Tak pernah terbayang dalam fikiran saya akan diberi penghargaan sebegini kerana selama ini, kita lihat hanya golongan yang glamor sahaja yang diberi trofi ini.

“Terima kasih BH atas anugerah ini. Saya tetap berdoa semoga BH akan terus hidup sampai bila-bila walaupun menghadapi pelbagai cabaran di sekeliling,” 

– Habsah Hassan

Sebagai tanda penghargaan, barisan penyanyi popular dari pelbagai generasi iaitu Jay Jay, Anuar Zain dan Syamel mendendangkan lagu yang liriknya nukilan beliau seperti Cukuplah Sekali, Andainya Takdir dan Salam Terakhir.

Memulakan kerjaya sebagai penulis skrip drama radio sebelum menjadi kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Habsah sehingga kini menghasilkan kira-kira 1,300 lirik lagu.

Menaruh Harapan dan Cinta Beralih adalah antara lirik nukilannya yang mendapat pengiktirafan Lirik Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) lantas menjadi menjadi penulis lirik wanita pertama yang memenangi anugerah itu.

Lirik ciptaan Habsah didendangkan penyanyi popular tanah air seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Francissca Peter, Fauziah Latiff, Aishah, Anuar Zain, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Erra Fazira.

Selain aktif menulis lirik, Habsah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Chah pernah terbabit dalam pembikinan filem seperti Ali Setan (1985) sebagai pengurus produksi.

Menerusi syarikat produksi miliknya iaitu Serangkai Filem Sdn Bhd, beliau menghasilkan beberapa filem seperti Qaisy dan Laila, Hati Bukan Kristal, Soalnya Hati dan Soalnya Siapa?.

Pada 1984, Habsah menjadi penulis tempatan pertama memenangi Anugerah Cakera Emas dari WEA Recording Company (kini Warner Music) kerana menulis paling banyak lirik lagu.

Nafas Cinta Khai, Aina Menang Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular

Tuah terus menyebelahi Khai Bahar apabila satu lagi projek kerjasama dengan penyanyi lain diiktiraf peminat apabila trofi kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 menjadi pemilik anak jati Perlis itu.

Jika tahun lalu kolaborasi Khai dan Siti Nordiana menerusi lagu Satukan Rasa melayakkan mereka berkongsi trofi sama, kali ini, percaturan bersama Aina Abdul melalui lagu Nafas Cinta menjadi pilihan peminat.

Khai bersyukur keterbukaan menjalinkan kerjasama dengan artis lain berhasil.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha keras Khaibahar Empire dan peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya saya dari awal.

“Tanpa kerja keras mereka, tidak mungkin saya berada pada tahap ini,” 

– Khai Bahar

Sementara itu, Aina tidak sangka percubaan pertama merakamkan lagu duet dengan Khai mencapai kejayaan.

Saya berterima kasih kepada Khaibahar Empire dan Ainations. Disebabkan kesungguhan mereka, kami raih kemenangan… Ini hadiah buat peminat.

“Usaha memenangi hati peminat adalah cabaran yang sangat menyeronokkan. Saya tidak akan berada di tempat sekarang tanpa sokongan padu mereka… Peminat adalah segala-galanya bagi anak seni seperti saya,” 

– Aina Abdul

Khai dan Aina menewaskan calon bukan calang-calang iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tampil dengan lagu duet 7 Nasihat bersama bersama Kmy Kmo dan Luca Sicta.

Mereka juga menghampakan calon lain iaitu gabungan tiga penyanyi muda, Hael Hussaini, Naim Daniel dan Haqiem Rusli yang bekerjasama menghasilkan single Lara selain satu lagi projek kolaborasi Khai dengan kumpulan nasyid, Inteam melalu lagu Setanggi Syurga 2020.

Selain itu, Khai dan Aina turut mengenepikan kumpulan sensasi wanita, Dolla yang meledak menerusi lagu Dolla Make You Wanna.

Asif Menang Artis Komedi Popular

Remaja berusia 19 tahun, Asif Suhaimi mencipta kejutan menewaskan calon ‘senior’ apabila diumumkan pemenang kategori Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

Mula mengumpan peminat apabila muncul dalam Drama Spontan di YouTube disusuli filem bajet rendah, Mael Totey The Movie arahan sepupu, Syahmi Sazli yang mencetuskan fenomena pada era pandemik COVID-19, Asif mencuit hati dengan gelagat bersahaja dan dialek Kelantan.

Asif yang mengalami autisme, menewaskan artis nama besar iaitu Jep Sepahtu, Shuib Sepahtu, Atu Zero dan Ain Edruce yang bersaing dalam kategori sama.

“Terima kasih kepada peminat dan penyokong yang tidak lokek mengundi saya. Terima kasih juga kepada keluarga dan sanak-saudara… Semualah. Kalian terbaik!.

“Saya gembira terima anugerah ini. Syukur kepada Allah kerana mengurniakan kejayaan ini,”

– Asif Suhaimi

Ditanya apakah kemenangan itu akan mengubah sikapnya, Asif menafikan perkara itu.

“Sama sahaja… Tiada yang berubah. Saya masih Asif yang dahulu. Kejayaan ini menjadikan saya lebih bersemangat berkongsi kelebihan yang ada di sebalik kekurangan diri.

“Saya tidak akan lupakan jasa dan kebaikan Syahmi yang membuka jalan selama ini,” 

– Asif Suhaimi

DJ Lin Pertahan Trofi Penyampai Radio Popular

Terkenal dengan slot Suria Cinta sejak 2006, penyampai radio Suria FM, DJ Lin atau nama sebenar, Roslinda Abdul Majid mempertahankan trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 buat tahun ketiga berturut-turut.

DJ Lin yang juga Pengurus Besar Stesen Suria FM menewaskan dua rakan penyampai stesen radio sama, Sharifah Shahirah dan Tyzo, selain Jep Sepahtu dan Siti Elizad.

DJ Lin kali pertama merangkul trofi itu pada ABPBH 2015, diikuti edisi ke-32 dan tahun lalu.

“Saya sangat gembira kerana bukan mudah membawa harapan peminat. Apabila diumumkan secara rasmi kemenangan ini, saya sangat bersyukur kepada Allah.

“Ini adalah hadiah kepada peminat dan hadiah hari kelahiran saya ke-46 tahun yang akan disambut pada 31 Disember ini,” 

– DJ Lin

Selain kemenangan di pentas ABPBH 34, DJ Lin menyifatkan 2021 tahun terindah apabila dipilih Penyampai Radio Paling Dipercayai pada Anugerah Jenama Paling Dipercayai anjuran Reader’s Digest, baru-baru ini.

“Terima kasih kepada semua peminat yang bertungkus-lumus berkempen dan mengundi saya. Juga ahli keluarga dan rakan sekerja di Suria FM yang sentiasa bersama saya dalam apa keadaan sekalipun.

“Ini adalah hadiah untuk semua yang mendoakan saya,” 

– DJ Lin

Kejayaan DJ Lin dianggap suatu pengiktirafan ke atas kredibiliti dan populariti selama 22 tahun dalam industri radio di Malaysia.

Selain kemenangan di pentas ABPBH 34, DJ Lin menyifatkan 2021 tahun terindah apabila dipilih Penyampai Radio Paling Dipercayai pada Anugerah Jenama Paling Dipercayai anjuran Reader’s Digest, baru-baru ini.

“Terima kasih kepada semua peminat yang bertungkus-lumus berkempen dan mengundi saya. Juga ahli keluarga dan rakan sekerja di Suria FM yang sentiasa bersama saya dalam apa keadaan sekalipun.

“Ini adalah hadiah untuk semua yang mendoakan saya,” 

– DJ Lin

Kejayaan DJ Lin dianggap suatu pengiktirafan ke atas kredibiliti dan populariti selama 22 tahun dalam industri radio di Malaysia.

Siti Nordiana Menang Penyanyi Wanita Popular Xiaomi

Siti Nordiana membuat kejutan apabila merampas semula trofi kategori Penyanyi Wanita Popular Xiaomi, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 daripada Wany Hasrita.

Biarpun disaingi Ernie Zakri, Sissy Iman dan Wany Kayrie, namun, tidak keterlaluan dikatakan kategori itu menyaksikan persaingan dua penjuru antara Siti Nordiana dengan Wany yang mula mencipta populariti menerusi lagu Menahan Rindu itu.

Pada ABPBH 31, Wany membuatkan Siti Nordiana yang popular dengan lagu Hatiku Milikku, ‘putih mata’ apabila merampas semula gelaran sama daripada Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana.

“Kemenangan Nana ini tidak akan menjadi realiti tanpa sokongan padu kelab peminat Nana iaitu Siti Nordiana FC.

“Apa yang Nana perhatikan, saban tahun peminat Nana ‘all out’ untuk mengundi dalam apa sahaja kategori yang Nana dicalonkan.

“Pada ABPBH 33, Nana tiada single dan tidak dicalonkan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular.

“Walaupun Nana berjaya memenangi kategori ini tapi ia bukanlah bermakna Nana merampas trofi itu tetapi situasinya lebih kepada rezeki.

“Tidak dinafikan, single Nana berjudul Angkara banyak membantu dari segi populariiti kerana lagu itu dipilih untuk menjadi runut bunyi drama Angkara Cinta dan Rindu Awak Separuh Nyawa,”

– Siti Nordiana

Nana tidak menganggap kejayaan itu menandakan dirinya lebih hebat daripada calon lain.

“Nana melihat Wany mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh kerana selain masih muda. Dia juga boleh menyanyi lagu Irama Malaysia, sama seperti Nana.

“Begitu juga dengan calon lain seperti Ernie Zakri, Wani Kayrie dan Sissy Iman yang tidak kurang hebatnya. Ernie umpamanya pernah menjadi guru vokal Nana dan sangat menghormatinya,” katanya.

– Siti Nordiana

Nana berkata, kejayaan merangkul trofi ABPBH 34 adalah hadiah hari jadi Nana pada 22 November ini.

“Tahun ini juga Nana lalui banyak perkara… Masing-masing ada dugaan hidup.

“Justeru, Nana anggap kemenangan ini sebagai satu anugerah dari Allah kerana setiap ujian yang Allah berikan, ia akan digantikan dengan perkara yang lebih baik,” katanya.

– Siti Nordiana

Pada ABPBH 32, Nana kembali bangkit untuk mengenepikan Wany apabila undian peminat memihak kepadanya. Lalu Nana dinobatkan sebagai pemenang kategori Penyanyi Wanita Popular sebelum anugerah itu kembali ke tangan Wany pada ABPBH 33.

Janna Nick Dijulang Bintang Paling Popular

Dengan 86,374,777 undi, trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, milik artis serba boleh, Janna Nick.

Terdahulu, pelakon, pengacara, penyanyi dan pengarah popular berusia 26 tahun ini membolot trofi Pelakon Filem Wanita Popular mengetepikan Sherry Alhadad, Nelydia Senrose, Zahirah MacWilson dan Aprena Manrose.

Janna atau nama sebenar, Nurul Jannah Muner juga meraih trofi Pengacara TV Popular menewaskan Azira Shafinaz, Mira Filzah, Sherry dan Jihan Muse.

Sejak sembilan tahun lalu, Janna menjadi antara selebriti yang tidak pernah lekang dihimpit kontroversi.

Ada sahaja cerita negatif menghambat dirinya, baik dalam aspek kerjaya, peribadi mahupun imej. Semua ini mengheret bekas pengacara Melodi itu dalam kemelut tidak berkesudahan.

Mei lalu, gadis kelahiran Alor Setar, Kedah itu berkongsi menjalani rawatan dengan pakar psikiatri untuk mengubati gangguan bipolar disorder.

Dalam satu lagi pengakuan mengejutkan, Janna mendedahkan pernah dua kali cuba membunuh diri sepanjang hidupnya.

Terbaru, Janna terguris dilabelkan ‘orang gila’ oleh warga netizen apabila berkongsi sering mengalami situasi otak yang didakwa sangat ‘bising’ kerana mendengar lima suara sepanjang hari.

Biarpun terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada program hiburan sensasi, Melodi terbitan TV3 yang dikendalikan selama empat tahun berakhir 25 Julai lalu, minat Janna dalam dunia pengacaraan tidak pernah padam.

Baru-baru ini, Janna mengendalikan program ilmiah, Banteras COVID-19 terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

ABPBH 34 yang berakhir malam tadi, dianjurkan secara hibrid tanpa penonton dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

ABPBH 34 bertemakan #KITABERSAMA dibawakan oleh Xiaomi.

Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Mat Dan | 15

Lakonan Mat Dan Dalam Telemovie BUSKER BERCINTA di TV2

Haqiem Rusli | 16

Haqiem Rusli Umum Bakal Nikah Pada 19 November 2021