in

Isteri Man Kidal Bersyukur Ramai Yang Bantu, Kecewa Bila Baca Kecaman

Isteri kepada pemain gitar legenda, Man Kidal iaitu Norlaila Yusof yang meluahkan rasa syukur apabila dihujani panggilan telefon daripada pelbagai pihak yang ingin menghulurkan bantuan kepada mereka.

Norlaila berkata, dia juga sebak apabila melihat baki akaun bank miliknya menerima sumbangan daripada orang ramai. Norlaila berkata, bagaimanapun dia kecewa apabila ada segelintir pihak yang mempertikaikan tindakan Man Kidal yang tidak menjual gitarnya untuk menampung kehidupan. 

“Tak tahu nak cakap apa sekarang ini, Alhamdulillah saya bersyukur kepada pihak media yang sudi menolong saya kerana sejak semalam tak berhenti orang hulurkan sumbangan. Banyak pihak menghubungi saya seperti Lembaga Zakat Selangor, persatuan-persatuan seni, rakan-rakan artis serta peminat dari seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei yang mahu memberikan sumbangan. 

“Malah, pagi tadi ketika saya melihat baki dalam akaun bank, saya jadi sebak sebab tak sangka ramai yang sudi bantu dalam waktu yang sukar ini. Selama ini, saya tak pernah minta duit daripada kawan-kawan tapi sekarang mereka datang membantu,” 

“Gitar adalah punca rezeki abang Man selama saya bersamanya hampir 40 tahun. Saya rasa kesal apabila ada pihak sanggup berkata begitu kerana seolah-olah kami menipu dan cuba minta belas kasihan. Malah ada juga yang mendakwa salah kami sendiri kerana tiada wang simpanan sedangkan selama dua tahun abang Man tiada kerja, kami menggunakan wang simpanan yang ada untuk teruskan hidup. Kalau ambil sikit-sikit, lama-kelamaan akan habis juga. 

MAN KIDAL

“Bagi saya, kalau tak nak tolong tidak mengapa, tapi janganlah hina kami. Saya sangat kecil hati dan sedih apabila macam-macam hinaan yang kami terima. Anak-anak saya pun sedang berusaha keras untuk teruskan hidup. Mereka memang ada bantu tapi takkan saya nak susahkan mereka lagi,” ujarnya. 

Terdahulu, Norlaila mendedahkan dirinya dan suami berdepan kesempitan hidup sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Mac tahun lalu. Dia juga disahkan positif Covid-19 sejak minggu lalu, manakala suaminya Isnin lalu. Selain Nur Syahira, Norlaila dan Man Kidal mempunyai dua lagi anak lelaki dan perempuan. 

*Sumber: Harian Metro

‘Bendera Putih’ Untuk Man Kidal

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah perkembangan terkini pemain gitar legenda, Man Kidal, 57, yang bukan sahaja disahkan positif COVID-19, malah berdepan kesempitan hidup akibat tidak bekerja lebih setahun lalu.

Berkongsi perkara itu, isteri Man Kidal, Norlaila Yusof mendedahkan hidup mereka sukar sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Mac tahun lalu apabila kerajaan melarang aktiviti persembahan terbuka demi mengawal penularan COVID-19.

Norlaila yang juga pengurus Man Kidal memberitahu, suaminya yang menjadikan bidang muzik sebagai periuk nasi, hilang pendapatan akibat tiada ‘job’.

“Dalam situasi sekarang, saya rasa sedih dengan nasib menimpa suami. Sudahlah hampir dua tahun tidak dapat bekerja, sekarang dijangkiti COVID-19.

“Terus-terang, kami memang mengharapkan bantuan seikhlas hati daripada mana-mana pihak.

“Tidak kisahlah apa sahaja bantuan yang bakal dihulurkan. Dengan keadaan abang Man yang dijangkiti virus COVID-19 dan tidak berkerja, kami terima sahaja.

“Lagipun, sepanjang pembabitan abang Man dalam bidang seni, belum pernah kami meminta bantuan daripada mana-mana pihak. Kalau ada pun, tak pernah dapat,” luahnya kepada BH Online.

Disebabkan tidak dapat bekerja, Norlaila memberitahu, suaminya berusaha mencari ikhtiar lain untuk meneruskan kelangsungan hidup termasuk berniaga dan melakukan projek tertentu yang boleh menampung kehidupan.

Bagaimanapun, usaha itu terbantut disebabkan pandemik COVID-19.

“Kali terakhir abang Man buat persembahan adalah pada 2019 di Singapura. Apabila tidak boleh bekerja, duit simpanan yang ada kami gunakan untuk dijadikan modal perniagaan.

“Selain itu, abang Man ada menjalankan beberapa projek termasuk kolaborasi dengan bekas gitaris kumpulan Search, Hillary Ang.

“Bagaimanapun, pandemik ini menyebabkan perniagaan terjejas dan projek yang dijalankan tertangguh. Duit sudah banyak keluar tetapi yang masuk langsung tiada.

“Tetapi kami faham dalam keadaan hari ini, memang ramai yang terkesan. Sebagai antara mereka yang terkesan, kami memang mengharapkan ada pihak yang simpati dan sudi menghulurkan bantuan,” pinta wanita berusia 57 tahun ini.

Man Kidal, Isteri Positif COVID-19

Pemain gitar legenda, Man Kidal, 57, dan isteri, Norlaila Yusof, 57, disahkan positif COVID-19.

Berita duka itu disahkan oleh anak bongsunya, Nur Syahira Rahman kepada BH Online.

Nur Syahira berkata, ibu bapanya kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Mama mengalami demam berpanjangan dan batuk sejak minggu lalu. Selepas menjalani ujian saringan COVID-19, mama disahkan positif COVID-19 dan diminta menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Bagaimanapun, papa, bapa saudara dan dua anak saudara, kesemua mereka turut menjalani ujian calitan, memandangkan tinggal serumah.

“Sementara menunggu keputusan, papa pula diserang demam panas dan mengalami sakit badan. Keputusan ujian menunjukkan papa positif COVID-19, petang semalam,”

Berkongsi keadaan terkini orang tuanya itu, Nur Syahira memaklumkan, kesihatan ibu bapanya masih belum stabil.

“Saya menghubungi mereka setiap sejam untuk mengetahui perkembangan terkini. Ketika disahkan positif, keadaan mama sangat teruk. Mama demam hingga tidak boleh bangun dan hilang deria bau.

“Bagaimanapun, sakitnya beransur hilang, semalam. Papa pula masih demam dan hilang selera makan,” ujarnya.

Nur Syahira berkata, buat masa ini, mereka masih menjalani kuarantin kendiri di rumah dan menunggu masa untuk dibawa ke pusat kuarantin untuk menerima rawatan COVID-19.

“Saya sudah memaklumkan keadaan mama papa pada Kementerian Kesihatan (KKM), kini hanya menanti tindakan selanjutnya. Bagaimanapun, KKM memaklumkan jika berlaku sebarang kecemasan boleh hubungi mereka dengan segera,” katanya.

Mengakui risau keadaan ibu bapanya, Nur Syahira berkata, dia mengharapkan peminat dapat mendoakan ibu bapanya diberi kesembuhan segera.

“Saya sangat risau memandangkan mama papa sudah berusia. Doakan mereka cepat sembuh,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Selepas Ikuti Isu Caprice,Nadir & Ebit Lew, Ini Ulasan Peguam Dalam Menentukan Siapa Betul

Nadir Al-Nuri Nafi Dakwaan Terima Sumbangan RM20 Juta Setahun