in , ,

Istana Pahang Tarik Semula Gelaran Datuk bagi Farid Kamil dan Boy Iman

Gelaran darjah kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada dua selebriti tanah air, Farid Kamil Zahari dan Boy Iman ditarik semula oleh Istana Pahang.

Dua pelakon sensasi yang sebelum ini dikurniakan Darjah Kebesaran oleh Istana Pahang, tidak lagi dibenarkan menggunakan gelaran Datuk berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman penarikan semula darjah kebesaran itu dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Pahang selaku Pendaftar Darjah menerusi kenyataan media.

“Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur kepada penama berikut ditarik balik dan dibatalkan.

“Penama terbabit tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan dan perlu mengembalikan Darjah Kebesaran yang dikurniakan sebelum ini kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Negeri Pahang serta-merta,” kata kenyataan itu.

Istana Pahang Tarik Semula Gelaran Datuk bagi Farid Kamil dan Boy Iman

Selain Farid Kamil dan Boy Iman atau nama sebenarnya, Noruliman A Rahman, turut ditarik semula pingat kebesaran mereka ialah tiga ahli perniagaan iaitu Wong Shee Kai @ Ricky (DIMP) ; Tran Thi Mai @ Maimunah dan Syed Mohammad Faiz Syed Azemman.

Pengumuman berkenaan turut memaklumkan tarikh penarikan semula gelaran berkenaan daripada penerima-penerima itu kecuali Syed Mohammad Faiz berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Penarikan semula darjah kebesaran daripada Syed Mohammad Faiz pula berkuat kuasa 12 November 2020.

Kesemua mereka turut diarahkan menyerahkan kembali pingat dan darjah kebesaran yang diterima.

Farid Kamil Terima Keputusan Pihak Istana, Boy Iman Bakal Hantar Surat Kepada SUK Pahang?

Umum mengetahui, gelaran ‘Dato’ bagi kedua-dua pelakon tempatan ini iaitu Farid Kamil dan Boy Iman telah dibatalkan oleh Sultan Pahang yang berkuatkuasa pada 1 Februari lalu.

Terbaru, Farid Kamil, memuat naik satu posting di Instagram di mana dia meluahkan rasa hormat dan menerima keputusan dari pihak Istana Pahang.

Assalamualaikum w.b.t. Sejak 16 Disember 2017 saya amat berbangga dan berbesar hati membawa gelaran Dato’ yang dikurniakan oleh Istana Pahang. Saya menjunjung kasih di atas penganugerahan tertinggi dalam hidup saya ini dan menerimanya dengan penuh kerendahan diri pada ketika itu. Hari ini juga saya dengan penuh rasa hormat menerima keputusan dari pihak Istana Pahang menarik balik gelaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ kepada saya. Saya kini dalam usaha memasarkan filem Remp-it 2 yang akan menemui penonton dalam tahun ini juga. Salam Hormat, Farid Kamil Zahari.

Menurut Farid, dia berasa bangga dan berbesar hati kerana Istana Pahang telah menganugerahkannya gelaran ‘Dato’ pada tahun 2017. Tambahnya lagi, dia turut berasa hormat dan menerima keputusan bahawa gelaran yang diberikan kepadanya itu ditarik balik.

Boy Iman Belum terima sebarang surat

Setakat ini saya belum menerima sebarang surat rasmi daripada Kerajaan Pahang berhubung penarikan balik darjah kebesaran. Saya tidak kecewa namun saya sendiri terkejut apabila dapat tahu daripada kawan-kawan media bukan daripada surat yang sepatutnya diberikan kepada saya melalui pihak istana. Saya rasa sedikit ralat kerana apa yang dilakukan tidak melambangkan kredibiliti atau protokol sedangkan saya sendiri tidak menerima sebarang surat rasmi daripada pihak istana sampai hari ini.

Saya tak berani nak komen panjang. Saya tunggu sampai Jumaat ini kalau belum ada apa-apa surat istana atau SUK Pahang, saya sendiri melalui peguam saya akan tulis surat kepada pihak mereka. Sebab bagi saya, surat rasmi kepada mereka yang terlibat (ditarik balik darjah kebesaran) harus didahulukan sebelum memberi kenyataan media kepada wartawan.

Menerusi laporan Kosmo, Boy Iman memberitahu bahawa dia tidak tahu mengenai perkara tersebut sehinggalah dihubungi pihak media untuk mendapatkan maklum balas. Dakwanya, penarikan balik darjah kebesaran tersebut juga dilakukan tidak mengikut saluran yang betul sebelum disebarkan kepada orang ramai melalui media.

Tambahnya, dia tidak akan teragak-agak untuk menulis surat sendiri kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (SUK Pahang) untuk bertanyakan sebab sebenar mengapa darjah kebesaran yang diberikan kepadanya ditarik balik.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

8TV Kini Disiarkan Secara HD di MYTV

Mengalami Was-Was Yang Teruk, Harris Annuar Pernah Persoalkan Kewujudan Tuhan