in , ,

iQIYI Lancar Siri Original RAMPAS CINTAKU Lakonan Fasha Sandha & Afieq

iQIYI Lancar Siri Original Tempatan Rampas Cintaku dengan Plot Berani & Provokatif. Memaparkan realiti kisah cinta dan perkahwinan yang jarang dibincangkan penonton dewasa hasil lakonan mantap Fasha Sandha dan Afieq Shazwan

Peneraju platform penstriman Asia, iQIYI hari ini melancarkan siri Original tempatan berjudul Rampas Cintaku yang bakal ditayangkan pada 23 September ini. Dibintangi aktres berkaliber Malaysia, Fasha Sandha, drama original tempatan ini bakal menyorot realiti kisah cinta dan perkahwinan yang jarang diketengahkan secara umum. 

Rampas Cintaku mengisahkan Rizal (lakonan Afieq Shazwan), seorang anak muda yang terdesak untuk keluar daripada bebanan hutang, kemiskinan dan gangguan pengutip hutang. Rizal pertaruhkan segala-galanya dan berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di kelab malam demi meraih pendapatan yang lebih baik. 

iQIYI Lancar Siri Original RAMPAS CINTAKU Lakonan Fasha Sandha & Afieq Shazwan

Dia kemudiannya bertemu dengan seorang ahli perniagaan kaya dan menggoda iaitu Datin Safieya (lakonan Fasha Sandha) yang menjanjikannya kehidupan mewah sekiranya dia bersetuju menjadi kekasih gelapnya, meskipun Datin Safieya sudah berkahwin dengan Datuk Jefri (lakonan Zarul Husin). Terdesak untuk melunaskan hutang keluarganya, Rizal menerima tawaran Datin Safieya, namun akhirnya jatuh cinta terhadap Datin Safieya. 

Fasha Sandha yang memegang peranan sebagai Datin Safieya merupakan tonggak utama drama Rampas Cintaku. Fasha mencabar bakat seninya dengan peranan baharu sebagai ahli perniagaan dan isteri kaya, yang tersepit di antara keinginannya dan maruah keluarga. Drama ini juga menyaksikan cabaran baharu kepada Fasha apabila perlu menjayakan karakter kontroversi selain memaparkan sisi baharu dirinya yang tidak pernah disaksikan dalam karya-karya yang pernah dijayakan sebelum ini. 

iQIYI Lancar Siri Original RAMPAS CINTAKU Lakonan Fasha Sandha & Afieq Shazwan

Selain lakonan hebat Fasha Sandha, drama Rampas Cintaku turut dibintangi oleh Afieq Shazwan yang memiliki wajah remaja comel dan berbadan sasa. Afieq memegang karakter sebagai Rizal yang bertemu dengan Datin Safieya dalam beberapa pertemuan sebelum jatuh cinta dalam sebuah perhubungan yang penuh bahaya. 

Watak Datin Safieya turut dikelilingi oleh beberapa lelaki antaranya Datuk Jefri lakonan Zarul Husin yang curang terhadap Datin Safieya. 

iQIYI Lancar Siri Original RAMPAS CINTAKU Lakonan Fasha Sandha & Afieq Shazwan

Sebaik mengetahui hubungan sulit suaminya, Datin Safieya merancang untuk membalas dendam dengan turut terlibat dengan kecurangan. 

Dalam masa sama, Aidil yang merupakan suami kepada Fasha Sandha dalam kehidupan realiti sebenar turut menjayakan siri Rampas Cintaku dengan memegang watak sebagai Syahrul, bekas teman lelaki kepada Datin Safieya yang toksik. Syahrul mampu membuatkan ramai wanita cair tatkala melihat ketampanannya dan sering dikelilingi wanita-wanita kaya. Akhir sekali watak Ashraf yang melengkapkan jalan cerita siri ini. 

Dibintangi oleh Ady Mohammad, wataknya adalah kawan baik kepada Rizal yang membawa Rizal ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.  

Didorong oleh ketamakan dan mengejar kemewahan, Ashraf juga terjerat menjadi ‘anak ikan’ kepada wanita-wanita kaya.  

iQIYI Lancar Siri Original RAMPAS CINTAKU Lakonan Fasha Sandha & Afieq Shazwan

Memaparkan kisah balas dendam dan ‘plot twist’ yang sukar diramal penonton, Rampas Cintaku memiliki jalan cerita yang dramatik dan menarik serta melangkaui realiti kehidupan yang tidak sempurna. 

Tindakan berani platform penstriman ini turut memaparkan topik ‘taboo’ yang tidak ramai berani ceburi. Topik ini mengangkat kehidupan rumit dalam perhubungan, perselingkuhan, pemerkasaan wanita dan pengorbanan generasi muda yang kurang bernasib baik terhadap orang tersayang.

Pengurus Negara iQiyi Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam berkata, “Rampas Cintaku mempunyai jalan cerita provokatif yang meneroka beberapa realiti kehidupan yang jarang dibincangkan, termasuk topik yang kebanyakannya masih ramai berdiam diri. Kami menghargai pandangan sama yang dibawakan MIG Production untuk menghasilkan siri ini dalam menterjemahkan jalan cerita yang penuh cabaran. Kami berharap Rampas Cintaku akan membuka mata lebih ramai syarikat produksi tempatan bagi menghasilkan karya menarik, mencetuskan perbualan dalam kalangan penonton dan meletakkan nama Malaysia sebagai penghasilan kandungan yang berkualiti.” 

iQIYI Lancar Siri Original RAMPAS CINTAKU Lakonan Fasha Sandha & Afieq Shazwan

Rampas Cintaku adalah produk iQIYI hasil kerjasama dengan syarikat produksi tempatan terkenal, MIG Production dan syarikat pengurusan pelaburan dan hak global, Motion Content Group, serta Grab Malaysia sebagai rakan bersama. 

Bercakap mengenai konsep jalan cerita Rampas Cintaku yang berani, David Teo, Ketua Pegawai Eksekutif MIG Production dan Penerbit Rampas Cintaku berkata, “Selama lebih 20 tahun berkecimpung dalam industri seni, kami selalu mencabar diri untuk mencipta kandungan berkualiti bagi menarik perhatian penonton. Rampas Cintaku mengangkat topik yang tidak ramai berani menyahut cabaran dan kami teruja untuk melihat perbincangan yang akan diperdebatkan oleh masyarakat kita. Berpegang kepada tagline Bukan Janji Tapi Pasti,  kami yakin penonton akan terpikat dengan jalan cerita Rampas Cintaku yang matang selain memberi kesedaran,”katanya. 

Rampas Cintaku dilancarkan secara global di platform iQIYI dan iQIYI International (www.iq.com) merentasi 191 negara dan wilayah pada 23 September 2022. Melodrama tempatan ini menampilkan pelakon tempatan yang berbakat besar seperti Fasha Sadha, Afieq Shazwan, Aidil Aziz, Zarul Husin , Ady Mohammad, Erynn Abdullah, Zarynn Min, Puteri Balqis dan ramai lagi. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

beIN SPORTS CONNECT, iQIYI & TVBAnywhere+ Apps kini di Astro Ultra Box

tony fernandes airasia-2020

AirAsia Catat Jualan Pecah Rekod, Setengah Juta Tempat Duduk Laris